Sistem demokrasi dan pilihan raya yang diamalkan di negara ini selari seperti sistem yang diguna pakai pada awal pentadbiran Islam selepas kematian Rasulullah SAW, kata khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut khutbah yang disediakan untuk masjid-masjid di Wilayah Persekutuan hari ini, konsep yang digunapakai menggunakan prinsip musyawarah dan kekuasaan sejajar dengan firman Allah dalam al-Quran.

"Oleh itu, mimbar ingin menyatakan bahawa demokrasi yang diamalkan di negara ini dalam pemilihan ialah seperti mana yang berlaku di zaman khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA dan Umar al- Khattab RA, di mana mereka diputuskan oleh Jawatankuasa Syura dan kemudiannya diadakan pemilihan umum untuk mendapat sokongan rakyat," khutbah itu dipetik.

Sementara itu, mimbar juga berkata, pendekatan pemerintah melalui sistem demokrasi telah memperlihatkan keupayaan kita sebagai khalifah Allah untuk mentadbir dan pada masa yang sama menghormati hak rakyatnya.

"Ini membuktikan bahawa Islam sangat mementingkan prinsip kedaulatan rakyat dan menjadi gaya pemikiran politik kebanyakan pemerintahnya," menurut khutbah itu lagi.