Sebaik saja calon PKR menerima surat pelantikan dari Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, sekurang-kurangnya seorang penyandang di Pulau Pinang yang digugurkan, bertindak keluar parti dan mahu bertanding sebagai calon Bebas.

ADUN Machang Bubok, Tan Hock Leong (kiri) melepaskan semua jawatan dalam parti malam tadi dan berkata beliau akan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum ke-13.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pusat perkhidmatannya malam tadi, Tan berkata beliau akan bertanding kerusi tersebut kerana mahu berkhidmat kepada rakyat Machang Bubok sepertimana yang telah dilakukannya sejak lima tahun yang lalu.

Tan yang juga timbalan speaker DUN negeri berkata, beliau kecewa dengan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman kerana tidak membincangkan penggugurannya sebelum ini.

"Beliau hanya menelefon saya untuk memberitahu saya telah digugurkan. Tiada sebab diberikan. Di manakah Keadilan?", Keluh ADUN pertama panjang itu.

Tan mendakwa bahawa kepimpinan PKR mengamalkan kronisme kerana calon dari Selangor - Lee Khai Loon - telah dibawa masuk untuk menggantikannya beberapa bulan sebelum Parlimen dibubarkan pada 3 April.

Tan, yang juga Ketua PKR Bukit Mertajam Bukit, menambah bahawa dakwaan kronisme itu bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang, tetapi juga di Perak dan Selangor.

Lee, yang juga ketua penerangan Pemuda PKR kebangsaan, juga merupakan ahli Majlis Perbandaran Selayang dan berasal dari kawasan parlimen Bukit Mertajam yang merangkumi kerusi DUN Machang Bubok. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan berkata walaupun diserang strok ringan pada 2011 dan pulih semula tiga bulan selepas itu, beliau tetap menjalankan tugas wakil rakyat dan Timbalan Speker DUN seperti biasa.
  
"Saya harap pengundi di Machang Bubuk akan menilai pengorbanan dan hasil kerja keras selama lima tahun berkhidmat. Untuk makluman bukan saya seorang keluar daripada PKR sebaliknya ramai lagi terutama pengikut di sini turut serta," katanya.
  
Dalam pilihan raya umum lepas, Tan mengalahkan calon BN Datuk Lee Kah Choon dengan majoriti 4,080 undi.