Presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali kecewa kerana tidak diberikan laluan oleh untuk bertanding atas tiket BN bagi mempertahankan Parlimen Pasir Mas yang dimenanginya pada 2008.

Justeru, beliau akan tetap mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum pada 5 Mei ini, lapor Astro Awani.

Ibrahim berkata, beliau kecewa kerana kerana tidak diberikan alasan sedangkan naib presiden PERKASA Zulkifli Noordin dicalonkan oleh BN di Parlimen Shah Alam.

"Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya.

"Tapi saya ingin nyatakan di sini walaupun saya bertanding di Pasir Mas bukan bererti saya menentang BN. Saya kira hal Pasir Mas ini kes terpencil," beliau dipetik sebagai berkata kepada portal berita itu.

Ibrahim dilaporkan berkata demikian kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan disambut oleh kira-kira 300 penyokongnya.