.................
................................................
....Hebatnya Pencipta.....
-----------------------------------------------
Siapa kita untuk membangga diri?

Radio Islamik (Indonesia)

" ISLAM DIHAYATI, RAJA DITAATI, RAKYAT DINAUNGI "

Suara Bacaan Yang Tetap Diingati

Berita Kepada Kawan

Pengorbanan

Dari Ku Untuk Mu

Logo KPM Kini

Logo KPM Kini

Ikhlas Bertugas - Menginsafi Perjalanan Ini

Thursday, July 23, 2009

Oh PPSMI.. banyak kenangan ku bersama mu

PPSMI
Pengenalan

PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002.

Pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah.

Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.

Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Kesimpulannya, keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI bertujuan memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik di kalangan murid memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, pelaksanaan PPSMI diharapkan akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Peranan BBT dalam PPSMI

Peranan BBT telah bermula sejak 2002 sebaik sahaja kabinet memutuskan dasar PPSMI dilaksanakan mulai tahun 2003. BBT berperanan dalam menguruskan penghasilan dan pembekalan Pakej Buku Teks dan Buku Glosari Sains dan Matematik untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Beberapa perubahan telah dilakukan oleh BBT yang melibatkan komponen bagi Pakej Buku Teks Sains dan Matematik dengan tujuan membantu guru dan murid dalam menjayakan program PPSMI ini.

Antaranya, Pakej Buku Teks Mathematics Year 1 merangkumi komponen Buku Teks, Buku Latihan dan Aktiviti, CD-ROM untuk murid (MyCD), CD-ROM untuk guru dan Buku Panduan Guru.

Semua komponen ini diterbitkan dalam dua jilid (Part 1 dan Part 2) bertujuan mengatasi masalah beg berat.

Pada tahun pertama (2003) pelaksanaan PPSMI, pakej buku teks tambahan telah dibekalkan kepada semua sekolah.

Pembekalan pakej buku teks tambahan ini adalah secara one off dan di bawah pengurusan SPBT sekolah. Pakej buku teks tambahan ini boleh dipinjamkan kepada murid untuk rujukan mereka dan juga bagi tujuan guru melaksanakan P & P Matematik di dalam bilik darjah.

BBT turut menguruskan penghasilan Buku Glosari Sains dan Matematik untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Penghasilan buku glosari ini adalah sebahagian daripada Program Intervensi PPSMI yang dimulakan pada tahun 2005.

Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk PPSMI

Buku teks Sains dan Matematik yang dibekalkan ke sekolah di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) adalah secara berpakej. Penulisan pakej buku teks ini adalah berdasarkan keperluan dan hasrat yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Sains dan Matematik masing-masing.

Pakej Buku Teks Sains dan Matematik terdiri daripada beberapa komponen bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah.

Fungsi setiap komponen secara umumnya adalah seperti berikut:

i) Buku Teks (Textbook)

Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.

ii) Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book)

Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.

iii) Buku Panduan Guru (Teacher's Guide)

Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.

iv) MyCD (Pupil's CD-ROM)

MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.

v) CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM)

CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.

vi) Buku Amali Sains (Science Practical Book)

Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.

vii)Buku Glosari

Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat. Selanjutnya »

Senarai Pakej Buku Teks Yang Dibekalkan oleh BBT

Senarai judul Pakej Buku Teks Sains dan Matematik yang dibekalkan ke sekolah berserta komponennya adalah seperti pada lampiran di bawah :

* Sekolah rendah
* Sekolah menengah

viii) Pakej Pembelajaran Kendiri oleh BPG -- (teringat tandatangan SAP nilaian RM 3 juta untuk Kelantan.. bulan puasa berbuka di Bilik Kebal PPD Kota Bahru penghujung Tahun 2002.

Lagi..Kursus ETeMS 2002 hingga 2007 dan 2008(pra), Kursus KOSM, Kursus Bahasa Inggeris, PTP 2007, PTP 2008,Diognostik LPM,OPSME, SMERP,Program Intervensi lain, Program Interim, Program MTDP Gua Musang,pemantaun PPSMI bersama JNS+ PPK+ BS,peralatan PPSMI, CD Teaching Courseware , SBT, SAL, data G4P, dan bermacam lagi. Urusan BISP semua guru. penerimaan dan agihan Note Book JPN dan PPD...serta pelbagai lagi.. Itu lah tugas... Kini tugas dah berubah... kecemerlangan terus di fokuskan dengan penglibatan semua sebagaimana dulu..tugas baru akan bermacam-macam lagi.. KINI merupakan NOSTALGIA buat ku.. harapku.. bangsa ku terus maju dengan Bahasa Melayu bahasa ILMU..

Teringat kata Dr. Fuad Zarkashi Timbalan Menteri Pelajaran semasa singgah di JPN pada akhir Jun 2009... PPSMI sebenarnya memakan belanja RM 12 billion...

Saya juga hadir di majlis ini..

Alhamdulilah pada hari Isnin jam 1.30 t/hari saya bersama Tuan KSPA dengan menaiki kenderaan JPN Kelantan bertolak ke KL untuk menghadiri majlis bersama YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Majlis ini diadakan pada keesokan hari bermula jam 8.45 pagi bertempat di PICC. Ia diadakan bertujuan memberi penerangan mengenai halatuju PPSMI di mana akhirnya telah ditamatkan dengan digantikan dengan MBMMBI.Selesai majlis sekitar jam 12.30 t/hari kami bertolak balik ke Kelantan. Majlis dihadiri oleh semua wakil JPN dan PPD seluruh negara serta pengetua/guru besar dari Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Berikut adalah tek ucapan beliau... sama-sama kita renung dan fikirkan sebelum kita memulakan tugas baru dalam menjayakan MBMMBI..



TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI MUHYUDDIN BIN HJ. MOHD YASSIN

TIMBALAN PERDANA MENTERI

MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA



DI MAJLIS PERJUMPAAN KHAS YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA PENDIDIK



PADA 21 JULAI 2009, PUKUL 9.00 PAGI BERTEMPAT DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTER (PICC)







Bismillahirrahmanirrahim.



YB Datuk Dr. Wee Ka Siong,

Timbalan Menteri Pelajaran 1.



YB. Dr. Mohd. Puad Zarkashi,

Timbalan Menteri Pelajaran II.



Y. Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain Bin Hj. Awang

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia



Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Bin Hj. Mohd. Dom

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia



Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran



Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri.



Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang saya hormati sekalian.



Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.



1. Pertama sekali saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya saya dapat bersama-sama dengan warga pendidik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan pada pagi ini. Terima kasih saya ucapkan kepada tuan-tuan yang sudi meluangkan masa untuk hadir pada majlis ini yang memberi peluang kepada saya untuk membuat penjelasan mengenai beberapa pengumuman yang telah saya buat baru-baru ini berkaitan dengan dasar pendidikan di negara kita.



2. Sejak memegang tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri lebih 100 hari yang lepas, saya sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul sememangnya amat mencabar, apatah lagi apabila Kementerian Pelajaran juga merupakan teras utama tugas saya. Namun, saya juga sedar bahawa tugas paling mencabar yang telah diamanahkan oleh YAB Perdana Menteri ini merupakan satu penghormatan yang amat tinggi kepada saya. Menerajui sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam menjana modal insan negara sesungguhnya menuntut pewujudan sinergi mantap semua pihak, khasnya di kalangan warga pendidik, untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.



3. Dalam memastikan sistem pendidikan sesebuah negara sentiasa relevan, Kerajaan perlu terus mengkaji dan menilai dasar pendidikan sedia ada. Justeru penggubalan dan pengumuman dasar-dasar dan strategi-strategi baru ke arah penambahbaikan sistem pendidikan yang berterusan bagi kepentingan negara dan rakyat perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Oleh yang demikian, selaras dengan gagasan yang telah diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri kita iaitu “1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”, maka beberapa dasar baru telah diperkenalkan, antaranya adalah penetapan had 10 mata pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, pemerkasaan sukan sekolah, cadangan Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus untuk SPM dan pemansuhan PPSMI mulai tahun 2012.



4. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi kita khasnya warga pendidik untuk memahami dan menghayati dasar-dasar baru yang telah diumumkan. Hanya dengan pemahaman yang mendalam, barulah kita warga pendidik dapat sebulat suara memberikan penjelasan kepada masyarakat umum agar ia tidak disalah tafsir dan dijadikan isu politik dangkal yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada sistem pendidikan negara. Adalah lumrah bagi sesetengah kumpulan masyarakat sukar menerima sesuatu perubahan yang dicadangkan. Malahan, sebarang pembaharuan yang diperkenalkan di mana-mana tahap sekalipun akan sentiasa dipertikaikan.



5. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada tuan-tuan dan puan-puan berkenaan dengan beberapa pengumuman yang telah saya buat mengenai dasar dan strategi pendidikan di negara kita baru-baru ini. Pertamanya ialah penetapan had 10 mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada tahun 2010. Keputusan ini diambil setelah kerajaan mempertimbangkan implikasi trend di kalangan pelajar pada masa kini untuk mengambil jumlah mata pelajaran yang terlalu banyak dalam peperiksaan SPM. Sebagai contoh, bagi peperiksaan SPM pada tahun ini, seramai 48,784 atau 11.68 peratus calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran mendaftar lebih daripada 10 mata pelajaran.



6. Trend ini adalah tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk melakukan anjakan dalam sistem pendidikan kita, iaitu daripada sistem yang berorientasikan peperiksaan kepada sistem yang berorientasikan pentaksiran yang lebih menyeluruh, sejajar dengan amalan di negara-negara maju. Sistem pendidikan di negara kita tidak wajar dijadikan tempat perlumbaan untuk menguji keupayaan pelajar mengutip sebanyak mungkin pangkat A dalam sesuatu peperiksaan sehingga mengabaikan perkembangan potensi mereka secara holistik.





7. Keputusan mengehadkan 10 mata pelajaran ini adalah selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sementara pencapaian dalam peperiksaan boleh mengukur keupayaan kognitif pelajar, aspek soft-skills yang penting untuk meningkatkan daya kebolehkerjaan (employability) dan kebolehpasaran (marketability) pelajar kita dalam era globalisasi yang lebih kompleks dan kompetitif pada hari ini hanya boleh dinilai melalui satu sistem pentaksiran yang lebih menyeluruh. Oleh itu, Kementerian Pelajaran pada masa ini sedang dalam proses memperkenalkan satu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan yang bukan sahaja mengukur aspek keupayaan kognitif pelajar, tetapi juga aspek soft-skills yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti bina upaya insan (human capacity building) selaras dengan amalan di negara-negara maju.



8. Di samping itu, pihak Kementerian juga telah membuat penelitian secara terperinci dan mendapati bahawa jumlah 10 mata pelajaran adalah lebih daripada mencukupi untuk menilai potensi dan kemampuan sebenar pelajar untuk menguasai ilmu-ilmu teras yang penting dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Sesungguhnya, keputusan mengehadkan 10 mata pelajaran ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kita untuk membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.



9. Dengan mengehadkan 10 mata pelajaran bagi peperiksaan SPM, Kerajaan berharap agar tekanan peperiksaan yang berlebihan ke atas pelajar akan dapat dikurangkan, di samping memberi ruang kepada pihak pihak sekolah untuk mempergiatkan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan sukan di luar waktu belajar. Aktiviti-aktiviti ini adalah penting untuk menggarap soft-skills para pelajar sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan potensi pelajar secara holistik. Sehubungan dengan ini juga, saya telah membuat pengumuman mengenai pemerkasaan semula sukan sekolah dengan mempergiatkan acara sukan peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Jurulatih sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah untuk mengurus acara sukan sekolah dan mencungkil bakat-bakat baru yang boleh dilatih untuk menyertai sukan prestasi tinggi. Untuk tujuan ini, satu Institut Pendidikan Guru khusus untuk melatih jurulatih-jurulatih sukan sekolah akan ditubuhkan.



10. Perkara Kedua ialah cadangan menetapkan syarat wajib lulus bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Saya menerima pelbagai maklumbalas daripada masyarakat umum sejak saya melontarkan cadangan ini pada bulan Jun yang lalu. Pada dasarnya ramai yang bersetuju dengan cadangan ini. Mereka berpandangan bahawa hanya dengan cara ini sahaja kita dapat memastikan pelajar-pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam alam pekerjaan yang mementingkan penguasaan lebih daripada satu bahasa, iaitu bahasa Inggeris selain daripada Bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda yang lain.



11. Penguasaan bahasa Inggeris yang baik sudah tentu akan memberikan nilai tambah kepada palajar-pelajar kita untuk menceburkan diri dalam sektor ekonomi berpendapatan tinggi. Kerajaan juga sedar bahawa mempunyai sumber manusia yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan satu nilai tambah kepada negara dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang lebih kompetitif.



12. Oleh kerana itu, saya percaya bahawa sudah sampai masanya semua pelajar kita dipastikan dapat menguasai asas-asas bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ilmu, bahasa maklumat, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Jika mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sudah tentulah mereka akan mendapat banyak kelebihan untuk bersaing dalam era globalisasi yang lebih kompetitif pada hari ini. Dengan meletakkan syarat wajib lulus bahasa Inggeris, Kerajaan berharap agar para pelajar akan melonjakkan usaha untuk lebih tekun mempelajari bahasa Inggeris dan berusaha dengan lebih gigih dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.



13. Pada masa yang sama, ada juga pihak yang melahirkan kebimbangan jika cadangan ini dilaksanakan sekarang, ramai pelajar terutamanya di luar bandar akan terkandas dalam pelajaran. Dalam peperiksaan SPM tahun 2008 misalnya, hanya 26.9 peratus calon di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini bermakna 73.1 peratus pelajar di luar bandar akan gagal memperolehi sijil sekiranya syarat wajib lulus bahasa Inggeris dilaksanakan. Kerajaan sedar bahawa ini adalah satu jumlah yang besar, dan ia juga menunjukkan bahawa pencapaian bahasa Inggeris pelajar-pelajar di luar bandar adalah amat rendah.



14. Dalam menghadapi cabaran era globalisasi yang semakin kompetitif pada hari ini, kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang, melayani pandangan kedua dan berhenti daripada melakukan perubahan dan pembaikan. Kita tidak boleh mengambil pendekatan “levelling down” dalam usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara kita. Sebaliknya, kita perlu berani untuk mengambil pendekatan “levelling up”, iaitu berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan keupayaan pelajar-pelajar yang lemah dalam menguasai sesuatu ilmu, sehingga mereka boleh menguasai ilmu itu dengan baik. Jika kita yakin bahawa perubahan dan pembaikan adalah penting untuk meningkatkan mutu pendidikan negara, dan sekali gus melonjakkan kemajuan negara pada masa hadapan, kita perlu berani melakukannya sekarang.



15. Dalam konteks penguasan bahasa Inggeris, syarat wajib lulus bahasa Inggeris adalah usaha “levelling up” yang akan mengangkat upaya pelajar-pelajar kita, terutamanya pelajar-pelajar di luar bandar, untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik, dan sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif. Walaupun Kerajaan masih belum membuat keputusan akhir mengenai perkara ini, usaha-usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, terutamanya di kalangan pelajar di luar bandar mesti bermula dari sekarang.



16. Perkara ketiga yang ingin saya sentuh pada hari ini ialah keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012, dan pada masa yang sama mengambil langkah-langkah drastik untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pemansuhan PPSMI ini walau bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Keputusan ini adalah lambang iltizam dan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita dengan mengambil langkah-langkah yang wajar untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, dan pada masa yang sama memantapkan penguasaan bahasa Inggeris.



17. Dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, dan bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran ini. Strategi Ini mengambil kira fakta yang disokong oleh kajian-kajian saintifik bahawa peningkatan kefahaman pelajar mengenai konsep-konsep sains dan matematik adalah berkait rapat dengan penggunaan bahasa pengantar yang mudah difahami oleh mereka. Pada masa yang sama, kita percaya bahawa peningkatan penguasaan bahasa Inggeris boleh dicapai melalui penambahbaikan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.



18. Pada kesempatan ini saya ingin mengemukakan data-data emprikal yang menjadi asas kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI. Pertama, data-data rasmi menunjukkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik merosot semasa pelaksanaan PPSMI. Dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2008, hanya 79.7 peratus pelajar luar bandar lulus mata pelajaran Sains berbanding 83.2 peratus pada tahun 2007. Bagi pelajar bandar pula, peratusan lulus telah merosot daripada 85.1 peratus pada tahun 2007 kepada 82.5 peratus pada tahun 2008.



19. Bagi mata pelajaran Matematik pula, pencapaian lulus murid di bandar telah merosot daripada 84.8 peratus pada tahun 2007 kepada 80.9 peratus pada tahun 2008. Pencapaian murid di luar bandar juga merosot daripada 80.9 peratus pada tahun 2007 kepada 77 peratus pada tahun 2008. Ini bermakna hampir 170,000 orang pelajar gagal bagi kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains di peringkat UPSR semasa PPSMI dilaksanakan.



20. Kegagalan menguasai Matematik dan Sains di peringkat rendah sudah tentu akan menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar ini dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut di peringkat menengah, dan sekali gus menjejaskan hasrat kita untuk menjana modal insan yang memiliki ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi, sebagai wahana penting untuk melonjakkan kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.



21. Kedua, kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dan juga para penyelidik bebas mendapati bahawa pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana dan lemah menghadapi kesukaran untuk memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dalam peperiksaan UPSR 2008, 30.6 peratus pelajar luar bandar gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka masih berada di tahap yang lemah. Ini menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.



22. Hasil pemantauan Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru menghadapi masalah untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Hanya 8.6 peratus guru menggunakan lebih 90 peratus masa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris adalah jauh lebih rendah bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Inggeris yang amat rendah di kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman. Keadaan ini memaksa guru-guru untuk menggunakan dwi-bahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, dalam pengajaran Sains dan Matematik. Soalan peperiksaan juga terpaksa dibuat dalam dwi-bahasa kerana masalah penguasaan bahasa Inggeris yang rendah di kalangan pelajar. Justeru, apa yang dilaksanakan sejak enam tahun yang lalu bukanlah PPSMI, tetapi PPSMI/BM. Guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Hanya segelintir pelajar yang dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan baik, dan mereka ini ialah pelajar-pelajar yang telah menguasai bahasa Inggeris dengan cemerlang. Berdasarkan pemantauan Kementerian Pelajaran, kelompok pelajar ini tidak lebih 8 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar di negara ini.

23. Berdasarkan realiti ini, Kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeopardy. Kajian saintifik menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak meningkat, dan pada masa yang sama mereka juga gagal menguasai konsep-konsep asas Sains dan Matematik. Sekiranya keadaan ini berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi knowledge deficit di kalangan pelajar, di mana pelajar-pelajar yang gagal menguasai konsep-konsep asas sains dan matematik oleh kerana halangan bahasa, akan menghadapi masalah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi. Keadaan ini tentunya akan mendatangkan kesan negatif kepada pembangunan modal insan di negara kita dalam jangkamasa panjang.



24. Ketiga, kajian di peringkat antarabangsa, termasuk oleh UNESCO, yang memperakukan bahawa bahasa yang mudah difahami oleh pelajar, seperti bahasa ibunda, adalah bahasa terbaik untuk dijadikan bahasa pengantar, terutamanya di peringkat rendah. Laporan Education for All Global Monitoring Report 2009 yang dikelolakan oleh UNESCO memperakukan kepentingan menyediakan pendidikan dalam bahasa ibunda sebagai kunci kepada kejayaan pendidikan. Laporan ini memetik satu kajian yang melibatkan 22 buah negara dan 160 kumpulan linguistik yang mendapati bahawa kehadiran murid ke sekolah meningkat sebanyak 10 peratus bagi sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, khususnya di peringkat pendidikan rendah.



25. Dapatan ini adalah selari dengan dapatan yang diperolehi oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati bahawa kebanyakan pelajar yang lemah dan sederhana dalam menguasai bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan luar bandar, tidak menunjukkan minat untuk mempelajari Matematik dan Sains ketika dasar PPSMI dilaksanakan.



26. Selain daripada itu, laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 (TIMMS) juga mendapati bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding negara-negara yang tidak menggunakan bahasa ibunda. Lebih daripada itu, UNESCO juga memperakukan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian matlamat Education for All, iaitu matlamat untuk menyediakan akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan kepada semua tanpa mengira perbezaan bahasa, lokaliti, taraf sosio-ekonomi dan gender.



27. Berdasarkan dapatan-dapatan ini, Kerajaan yakin bahawa keputusan memansuhkan PPSMI adalah satu keputusan yang tepat dan merupakan satu langkah ke hadapan dalam menambahbaik kualiti pendidikan di negara ini. Keputusan ini sesungguhnya mengambilkira kepentingan pelajar serta matlamat membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi demi kepentingan negara pada masa depan. Keputusan ini juga adalah selaras dengan amalan pendidikan terbaik di peringkat antarabangsa.



28. Justeru, ingin saya tegaskan di sini bahawa keputusan memansuhkan PPSMI bukanlah satu keputusan politik, malah ianya memerlukan iltizam politik (political will) yang tinggi untuk dilaksanakan. Pendidikan anak-anak adalah sesuatu yang cukup besar dan bermakna bagi sesebuah negara untuk dipolitikkan. Kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan sekali-kali memperjudikan nasib anak bangsa dan masa depan negara semata-mata untuk meraih keuntungan politik sempit.



29. Pemansuhan PPSMI tidak bermakna Kerajaan mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan bahasa Inggeris pelajar akan dipertingkatkan dengan beberapa langkah menambahbaik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Saya telah pun menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar ketika membuat pengumuman mengenai strategi “Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” (MBMMBI) baru-baru ini. Ini termasuklah menambah bilangan guru bahasa Inggeris, menambah waktu belajar bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan, memperkenalkan program sastera kontemporari kanak-kanak untuk mengukuhkan asas penguasaan bahasa Inggeris di peringkat umur yang awal, memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, menekankan komponen tatabahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dan mendedahkan pelajar dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.



30. Pihak Kementerian juga telah bersetuju untuk mewujudkan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Inggeris khusus untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris. Kementerian juga secara dasarnya telah bersetuju untuk menempatkan guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru yang akan diambil dari luar negara di kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar luar bandar. Insentif khusus akan diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia untuk berkhidmat di luar bandar. Jawatan pembantu guru bahasa Inggeris juga akan diwujudkan bagi kelas besar, seperti kelas yang melebihi 35 orang murid, untuk meningkatkan “contact-time” antara guru dan murid. Dengan mewujudkan jawatan guru pembantu bahasa Inggeris ini, tumpuan yang lebih boleh diberikan kepada pelajar-pelajar yang lemah penguasaan bahasa Inggeris. Mereka ini boleh dibimbing secara lebih dekat untuk membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.



31. Dengan melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, disertai dengan komitmen para guru untuk menggunakan kaedah terbaik dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Kerajaan menaruh keyakinan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita akan meningkat. Untuk mencapai matlamat ini, warga pendidik perlu melakukan lonjakan berganda untuk menterjemahkan dasar dan strategi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan. Kita sesungguhnya tidak mempunyai banyak masa untuk mencapai matlamat penting ini. Keupayaan negara untuk melahirkan modal insan yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan kompeten terletak di bahu warga pendidik.



32. Pemantapan penguasaan bahasa Inggeris perlu bergerak seiring dengan pengukuhan penguasaan bahasa Malaysia. Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia di kalangan pelajar melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penekanan juga akan diberikan kepada penghayatan dan apresiasi kesusasteraan Melayu bagi pelajar di peringkat sekolah menengah. Keputusan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memperkukuh dan memartabatkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan negara. Dengan pelaksanaan keputusan ini komponen Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di Tahap 1 sekolah kebangsaan meningkat daripada 60 peratus kepada 75.6 peratus, manakala di Tahap 2 meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus. Peningkatan yang sama juga berlaku di peringkat sekolah menengah.



33. Melihat ke hadapan, dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran pada ketika ini sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti. Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.



34. Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. InsyaAllah, berkat kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.



35. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada warga pendidik yang telah menyatakan sokongan padu kepada dasar-dasar dan strategi baru yang telah saya umumkan. Sesungguhnya, sebagai Menteri Pelajaran, saya amat mengharap dan menghargai sokongan dan dokongan padu warga pendidik untuk merealisasikan wawasan dan gagasan Kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.



36. Akhirnya, saya ingin mengajak seluruh warga pendidik untuk bersama-sama mara ke hadapan, memperkukuhkan iltizam dan melakukan lonjakan berganda untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di negara kita.



Wabillahi al-taufiq wal hidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam hormat.

KENYATAAN MEDIA PEMANSUHAN PPSMI

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU, MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS: TAWARAN BARU SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,
MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS:
TAWARAN BARU SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA

8 JULAI 2009


Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia.

Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan mula berkuatkuasa pada tahun 2012. Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula pada tahun 2012. Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.

Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.

Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati:

* Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
* Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53–58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
* Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.
* Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
* Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.


Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.

Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil SJK(T).

Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

* Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Ini termasuklah 1000 orang guru luar negara, 600 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS. Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik. Pihak Kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 bagi kelas besar seperti kelas yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua untuk meningkatkan ”contact time” antara guru dan murid.
* Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
* Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
* Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.
* Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
* Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada 3 jam menjadi 6 jam seminggu.
* Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
* Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
* Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
* Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
* Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.


Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah.

Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan untuk memperkayakan aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia.

Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Kerajaan percaya bahawa dengan pendekatan baru ini kita akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan negara.

Monday, July 13, 2009

Berita PPSMI - Kerja Buat Kami mulai 2003 lagi..KINI

PPSMI dimansuhkan mulai 2012
Jul 8, 09 1:05pm
kemaskini 5.05pm Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

mYcALeNdEr

TUAN ADALAH SAHABAT SAYA


BUAT SAHABAT YANG LAHIR PADA HARI INI SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR DENGAN SENTIASA MUHASABAH DIRI KE ARAH KEBAIKAN

"Insan Berkualiti Sentiasa Berusaha Menambahkan Amal Makruf dan Sentiasa Berusaha Mengelakkan Nahi Mungkar"

KLIK SIARAN PILIHAN ANDA

mY pLAYLIST

&&&&&&&&&&&&& POP Yeh Yeh Ungu

Kelih-Dengar deh