24 Ramadhan 1433H.
Kita selalu diberitahu oleh tok-tok guru tentang tawaran khusus pada bulan Ramadan berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a:
عَنْ
أبي هريرة، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ : أَوَّلُ شَهْرِ رَمَضَانَ رَحْمَةٌ، وَوَسَطُهُ مَغْفِرَةٌ،
وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ " ابن عساكر
Maksudnya:
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Awal bulan Ramadan
rahmah, pertengahannya maghfirah (pengampunan) dan akhirnya pembebasan
daripada api neraka.” Riwayat Ibnu Asakir)
Persoalannya,
siapa yang sudah mendapat rahmat Allah pada fasa pertama Ramadan?
Rahmat Allah ialah kasih sayang Allah, tentu semua orang memperolehnya.
Buktinya, kita boleh mengecap nikmat Allah dengan mudah. Kita masih
bertenaga untuk beribadah. Kalau kita masih berdosa dengan Allah, masih
dilihat oleh Allah. Tetapi siapa yang mensyukurinya?
Apabila
masuk fasa kedua, Allah sediakan peluang keampunan. Tetapi adakah kita
mengambil peluang untuk meminta ampun atas dosa-dosa kita? Kebanyakan
manusia membiarkan masa itu tanpa meminta ampun, malah terus melakukan
dosa. Mereka seharusnya bertaubat dalam tempoh itu kerana Allah bersedia
menerima taubat hambanya. Alangkah ruginya manusia ini.
Dalam
hal ini bukan sahaja orang politik tidak berhenti buat dosa; mengumpat,
menyebar fitnah, orang ramai juga turut diheret ke kancah itu tanpa
sedar. Apakah mereka mengharapkan Allah ampun dosa mereka sedangkan
mereka tidak pernah memohon ampun dan bertaubat?
Sebenarnya
kalau mereka sedar bahawa mereka berdosa, pasti mereka berhenti
daripada tabiat itu, sebaliknya mereka sentiasa ingat Allah, ingat
hukuman Allah, ingat kebaikan Allah sudah cukup untuk Allah memaafkan
mereka. Demikian itu disokong oleh hadis berikut.
Umar
r.a. meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW bahawa dalam bulan Ramadan
sesiapa yang mengingati Allah SWT akan diampunkan dosanya dan sesiapa
yang meminta sesuatu daripada Allah SWT tidak akan dihampakan.
Kini
sudah masuk fasa ketiga, pembebasan daripada api neraka. Maknanya Allah
tawarkan peluang dibebaskan daripada api neraka. Siapa yang mengambil
peluang ini? Ramai yang sudah mengosongkan surau dan masjid, ramai yang
masih lalai daripada melakukan ibadah. Bolehkah dalam keadaan itu mereka
beroleh pembebasan api neraka.
Sebenarnya
dalam fasa ini, kita perlu banyak berdoa agar kita dibebaskan daripada
api neraka. Tapi tahukah anda ada tiga golongan yang tidak ditolak doa
mereka berdasarkan hadis berikut.
Daripada
Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW telah bersabda. "Tiga orang yang tidak
ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka,
seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa seorang yang dizalimi. Allah
SWT akan mengangkatnya ke atas awan dan dibuka untuknya pintu-pintu
langit dan Allah SWT akan berfirman, "Demi kemuliaan-Ku, pasti Aku akan
menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika (demi sesuatu muslihat)."
Menyentuh
bulan puasa, sepatutnya kita berdoa pada siang hari sewaktu berpuasa.
Sepatutnya kita kurang bercakap sia-sia sebaliknya peluang itu dipenuhi
dengan berdoa. Kalau mereka tidak mahu berdoa bermakna mereka tidak
minat pengampunan Allah dan tidak minat diselamatkan daripada neraka.
Nauzubillah.
Oleh
yang demikian beberapa hari yang berbaki ini marilah kita banyak berdoa
agar kita selamat daripada api neraka. Dan kesempatan ini juga saya
mengucapkan selamat menyambut hari raya Idulfitri, maaf zahir dan batin,
Kullu amin wa antum bikhair.
Ahmad Baei Jaafar
No comments:
Post a Comment