Anggota
Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan tanggapan bahawa
tindakan beliau membantu berhubung tuntutan royalti minyak Kerajaan
PAS Kelantan sebelum ini telah menjejaskan perjuangan Umno dan BN.
Sebaliknya,
kata beliau, semua kenyataan yang dikeluarkan itu bagi mengembalikan
keyakinan rakyat khususnya pengundi Kelantan terhadap Umno dan BN
terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
"Lagi
pun apa yang saya perkatakan dalam beberapa kenyataan sebelum ini
membabitkan desakan ke atas Petronas sahaja dan tidak ada kena mengena
dengan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno
bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di Gua Musang, hari ini.
Tengku
Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata beliau bukan
hendak membela kerajaan negeri pimpinan Pas itu, tetapi apa yang
diperkatakan adalah bagi menjelaskan perkara sebenar yang terkandung
dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri terbabit.
Katanya,
beliau berhak menjelaskan perkara itu supaya rakyat lebih yakin dengan
perjuangan Umno dan BN walaupun masalah itu menjadi tanggungjawab
Petronas untuk menyelesaikannya.
"Sumber sebenar hasil itu
(petroleum) diperoleh Petronas dan Petronaslah yang harus
bertanggungjawab membayar semua tuntutan kerajaan negeri terbabit
seperti yang terkandung dalam perjanjian yang saya lakukan kerana ketika
itu saya menjadi Pengerusi Petronas.
"Memanglah ramai yang
membuat tafsiran salah berhubung kenyataan saya itu hingga ada yang
menuduh lebih memihak kepada pembangkang dan saya ingin jelaskan
kenyataan itu adalah hakikat yang patut kita sama-sama selesaikan,"
katanya.
Beliau berkata segala perjanjian yang dibuat antara
kerajaan negeri dengan Petronas ketika itu juga mendapat persetujuan
Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan
semuanya terkandung dengan jelas dalam akta petroleum berkenaan.
"Saya
bukan nak berada di sebelah mana-mana pihak berhubung tuntutan
berkenaan dan apa yang saya lakukan itu untuk memberi faedah bersama
termasuk rakyat. Jika rakyat mendapat manfaat sudah tentu akan menyokong
kita pada PRU-13 tidak lama lagi," katanya.
Mengenai persiapan
menghadapi pilihan raya umum, Tengku Razaleigh berkata, persiapannya
sudah diatur dengan baik khususnya di bahagian Gua Musang bagi
mengekalkan kubu kuat Umno di Kelantan itu yang tidak pernah tewas
kepada pembangkang.
"Saya mempunyai strategi sendiri bagi
mengekalkan kemenangan itu, tetapi pada PRU-13 nanti terpulanglah kepada
rakyat untuk membuat penilaian terbaik, tetapi saya harap sokongan
mereka tidak berubah dan memberi kemenangan kepada BN," katanya.
- Bernama
p.s.: Sebagai seorang profesional akta itu adalah fakta
No comments:
Post a Comment