Catatan peribadi mengenali Dr Bouti
Nik Nasri Nik Malek, | 24 Mac 2013 |
Tiada siapa menyangka Dr Muhammad Said Ramadhan al-Bouti akan
meninggal dunia dengan cara dibom tetapi penuh misteri. Pelbagai cerita,
berita, pandangan diberi. Macam-macam pendapat tentang siapa yang
mengebom atau membunuhnya dan mereka di dalam masjid Iman dengan
pelbagai versi. Namun, hakikatnya taqdir Allah jua yang mengatasi.
Barangkali ada hikmah tersembunyi. Boleh jadi juga niat Dr Bouti yang
benar dengan Ilahi. Tiada siapa yang mengetahui. Namun, kebenaran tetap
akan terbongkar nanti.
Saya tidak yakin pengeboman dibuat oleh anasir FSA atau aktivis
revolusi. Kalau masih ada iman di dalam dada tidak tergamak membunuh
diri dan membunuh ulama sedang mengajar dan muridnya yang mengaji. Tidak
mustahil kalau diandaikan talibarut regim Basyar yang membuat operasi.
Tidakkah Dr Bouti berada dalam kawalan ketat di Damsyik yang tidak mudah
anasir FSA menyelinap masuk membawa bom pada diri? Apatah lagi apabila
dikatakan Dr Bouti sudah mempunyai kecenderungan untuk tidak menyokong
Bashar lagi.
Saya kenal Dr Muhammad Said Ramadhan al-Bouti melalui buku dan
karyanya yang dibaca dan dibeli. Pelbagai kitabnya dalam pelbagai
jurusan masih banyak tidak dibaca disimpan dalam almari. Kitab Fiqh
Sirahnya diterjemah dalam bahasa Melayu saya jadikan teks kuliah Maghrib
di Masjid Sultan Mizan, Kerteh dan dikupas selama 7 tahun menelusuri
sirah Nabi. Ketika belajar di Jordan, saya sentiasa menonton TV Syria
yang boleh dicapai dari Jordan mengikuti kuliah Dr Bouti di TV. Dalam
kesempatan ke Syria (Kembara Ilmu 14),
saya pernah solat Jumaat di masjid berhampiran rumahnya mendengar
khutbah Jumaat dari mulutaya sendiri. Di Masjid Jenghiz Khan di tengah
Damsyik, beliau mengajar kitab Fiqh Sirahnya dengan kehadiran melimpah
dan Alhamdulillah saya pernah hadiri. Keset syarah kitab Hikam saya beli
berjumlah lebih 200 buah dan sehingga kini masih tersimpan tak habis
dengar lagi. Barangkali dari keset itu kemudiannya jadi kitab berjilid
sekarang yang boleh dibaca dengan huraian menarik dan mudah sekali.
Beliau pernah ditanya tentang bentuk jihad yang dilalui oleh Ibn
Taimiyyah dan beza jalan yang dilalui oleh Imam Ghazali. Huraiannya
ilmiah dan menarik untuk diteliti. Ketika itu mereka yang mendengar
kuliahnya di Damsyik itu ramai juga anak muda dari Algeria yang menurut
jalan Salafi jihadi. Banyak juga ilmu dari Dr Bouti yang saya jadikan
dalil dan hujah bahan ilmiah dalam disertasi.
Dalam
konteks politik, suasana Syria menguji para alim ulama, pendokong
gerakan Islam termasuk Dr Bouti. Sheikh Said Hawa dari Hama kalau tak
silap tapi anaknya Ahmad, Muaz dan lain-lain berada di Jordan kerana tak
dapat kembali. Ramai para ulama dan pendokong Islam dipenjara, dibunuh
semenjak zaman ayah Basyar iaitu Hafiz Asad lagi. Ikhwan tidak dapat
bergerak malah terpaksa aktif dari luar negeri. Setiap rumah di Syria
ada mukhabarat (SB), tak terkecuali majlis ilmu ada yang sentiasa
memerhati.
Pada pandangan Dr Bouti dan ijtihadnya, pendekatan silmiyyahnya
membuahkan beberapa hasil seperti alim ulama yang dapat dikeluarkan dari
penjara dan balik dari luarnegeri. Di zaman Basyar yang muda ini, Dr
Bouti sudah begitu tua dan barangkali mengharapkan anak muda ini tidak
sama dengan bapanya yang sudah pergi. Namun, sangkaan meleret kerana Dr
Basyar yang merupakan seorang doktor perubatan ini juga tak ubah seperti
kata peribahasa ‘mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’. Malah fitnah
di zaman pemerintahan Basyar ini kelihatan lebih dahsyat lagi.
Dr Bouti dalam kuliahnya banyak sebut ‘nastalihu maaAllah’ (kita
mesti sentiasa kembali dan perbetulkan diri dengan Ilahi). Mudah-mudahan
ijtihadnya dalam politik penuh fitnah di Syria-walaupun kita tidak
bersetuju dengan pandangannya-diberi satu pahala dan beliau diampunkan
Allah, sebelum melihat fitnah lain yang entah besar mana lagi.
Kemaman, Terengganu.
No comments:
Post a Comment