Kurikulum baharu mulai 2016
KEMENTERIAN Pelajaran akan melaksanakan kurikulum persekolahan baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah - Semakan Semula (KSSR) mulai 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017 dalam usaha melonjak sistem pendidikan negara.
Kurikulum
baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan
murid dan pelajar yang dilahirkan oleh sistem persekolahan di negara ini
memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
Ia
merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta
menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis,
kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam
aktiviti sukan dan kurikulum.
Pengenalan
kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah
Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid tahun
enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.
Ini
kerana mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam tidak akan
lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi digabung sekali
dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.
Pelaksanaan
kurikulum baru ini pula akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu
(2012-2015) iaitu fasa persediaan, gelombang kedua (2016-2020) iaitu
fasa pelaksanaan dan gelombang ketiga (2021-2025) iaitu fasa
pentaksiran.
Menurut
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebagai
persiapan sebelum memperkenalkan kurikulum baru itu kementerian akan
memurnikan kurikulum sedia ada dan mempergiatkan sokongan kepada guru
bagi meningkatkan sistem penyampaian.
"Kementerian
sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan
pelaksanaan kedua-dua aspek kurikulum baru ini, untuk itu gelombang
pertama transformasi pendidikan akan memberi tumpuan kepada inisiatif
jangka pendek.
"Ia
bagi memastikan kurikulum bertulis, kurikulum yang diajar dan kurikulum
pentaksiran dapat ditambah baik selain meletakkan asas kepada perubahan
fundamental sebelum gelombang kedua dan ketiga dilaksana dan dikaji
semula untuk melihat tahap pencapaian," jelas laporan itu.
- UTUSAN
No comments:
Post a Comment