Isu Utusan: Kalimullah sanjung sikap bos AirAsia X
Ahli
perniagaan Datuk Seri Kalimullah Hassan tampil mempertahankan ketua
pegawai eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani, yang dikecam hebat Utusan
Malaysia kerana mengkritik pemberitaan akhbar milik Umno itu.
Kalimullah,
dalam tulisannya di Twitter malah menyanjung tindakan dan sikap Azran
dan menyifatkan eksekutif muda di syarikat penerbangan tambang murah itu
sebagai “warga Malaysia sebenar”.
“Hanya orang yang taksub akan
melihat komen seperti yang diutarakan Azran Osman-Rani itu sebagai
(komen) menyakitkan hati,” kata Kalimullah dalam tulisan bertarikh 18
Mei.
Beliau yang pernah memimpin akhbar New Straits Times sebagai ketua pengarang kumpulan juga menyatakan rasa hairan dengan sikap yang ditunjukkan Utusan dalam isu Azran itu.
“Kadang-kadang, saya terfikir dari celah batu mana sesetengah personaliti Utusan ini muncul,” katanya, pada 8 Mei.
Dalam
satu lagi tulisan, juga pada 8 Mei, beliau turut menyatakan rasa
gembira apabila melihat rakyat Malaysia bersatu mengutuk “sikap rasis”
Utusan.
"Amat mengujakan apabila melihat rakyat Malaysia bersatu
dalam mengutuk (sikap) rasis Utusan yang terang-terangan dan
berterusan," katanya.
Kenyataan berkenaan dipercayai merujuk
kepada laporan muka depan Utusan bertarikh 7 Mei dengan tajuk besar "Apa
lagi Cina mahu?"
Azran juga mula mendapat perhatian Utusan apabila beliau meluahkan rasa jengkelnya terhadap isu perkauman dalam laporan akhbar berkenaan.
Dalam
tulisan di laman sosial Facebook dan Twitter, Azran dilaporkan turut
mengkritik Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sebagai
pertubuhan tidak relevan yang menyebabkan orang Melayu berfikiran
sempit.
Dalam reaksi balas, Utusan pada 14 Mei lalu menyiarkan
kenyataan dari pemimpin PERKASA, Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) dan juga kenyataan aktivis anti-PKR yang antara lainnya menyelar
Azrin sebagai “bongkak” dan “lupa diri”.
Pengarang akhbar Utusan
dalam pojok akhbar berkenaan seterusnya pada hujung minggu lalu
mempertahankan laporan bertajuk 'Apa lagi Cina mahu' itu dengan
kenyataan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pengarang itu juga
menonjolkan betapa wartawan yang hadir di satu sidang media Najib
bertepuk tangan apabila perdana menteri berkata: "Awak salahkan Utusan,
bagaimana pula akhbar berbahasa Cina?"
Dalam tulisan di pojok
tersebut, pengarang Utusan turut menyatakan keyakinan bahawa akhbar
berkenaan akan dapat bertahan walau tanpa iklan dari AirAsia.
Malah,
nilai iklan tersebut lebih rendah daripada yang diperolehi mereka
daripada iklan jamu atau rawatan rambut, kata pengarang berkenaan.
Dalam
laporan hari ini pula, Utusan menonjolkan tuntutan dari satu NGO yang
mahu pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz untuk memohon maaf bagi
pihak Azran.
Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri
Kedah Khairul Anuar Ramli dalam laporan itu menyebut, bekas ketua Wanita
Umno itu perlu berbuat demikian kerana Azran didakwanya "menghina
maruah kaum sendiri".
"Tidak guna menjadi pengerusi AirAsia X jika
hanya duduk macam tunggul kayu dan tidak mampu bertindak terhadap
kesalahan tersebut," kata Khairul Anuar seperti dalam laporan itu.
Selain itu, Utusan turut melaporkan kenyataan dari persatuan pengguna yang mengkritik mutu perkhidmatan AirAsia.
Kritikan itu adalah berhubung tindakan AirAsia yang menghalang seorang bayi pengidap demam campak daripada menaiki penerbangan syarikat itu dari Ho Chi Minh pada Sabtu lalu.