Politik baru lepas PRU ke-13
Saya
teringatkan keadaan Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA yang menjadi khalifah
selepas krisis paling besar dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa
pembunuhan khalifah ketiga, Saidina ‘Uthman bin ‘Affan.
Umat
Islam terpinga-pinga dengan keadaan politik baru ketika itu. Suatu
pengalaman yang cukup baru, khalifah dibunuh dan pemberontak menguasai
negara.
Dalam celahan itu, dengan desakan pemberontak dan umat
Islam juga sebahagiannya bersetuju maka terlantiknya ‘Ali bin Abi Talib
memegang jawatan khalifah.
Gawat
Suasana prasangka memenuhi dunia Islam ketika itu. Ini persis kata-kata Abu al-Hassan ‘Ali al-Nadwi:
"Pelantikan
Saidina ‘Ali sebagai khalifah dibuat dalam keadaan yang paling gawat
dan penuh dengan ujian getir dalam sejarah. Ini kerana apabila ‘Ali
dilantik sebagai pimpinan kerajaan dan masyarakat atau dibai'ah sebagai
khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya Khalifah al-Muslimin ‘Uthman
ibn ‘Affan RA baharu sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam
dan ganas.
"Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor negatif
seperti ketidakpuasan hati, sentuhan perasaan dan jiwa. Banyak pula
khabar angin, persoalan dan salah faham yang timbul. Perasaan ingin tahu
dan meminta penjelasan semakin melonjak-lonjak. Berita syahidnya
‘Uthman menjadi tajuk perbualan di mana-mana.
"Suara orang ramai
kedengaran di sana-sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh balas
terhadap pembunuh ‘Uthman. Begitulah keadaan masyarakat manusia pada
setiap masa dan zaman apabila berlakunya kejadian yang asing bagi
mereka. Maka hilanglah ketenteraman dan ketenangan". (Al-Nadwi, Al-Murtadha, ms 141. Dar al-Qalam: Damsyik)
'Ali
menerima jawatan tersebut dalam keadaan yang demikian. Hasilnya,
berlakulah pergolakan politik yang dahsyat. Perpecahan rakyat,
kemunculan pelbagai aliran mazhab, pertumpahan darah dan seumpamanya.
Saya
tertarik dengan jawapan Abdullah bin ‘Abbas apabila ‘Ali bertanya
pandangannya tentang keadaan polisi-polisi yang ‘Ali ambil pada masa
tersebut.
Antaranya, Abdullah bin ‘Abbas berpendapat sepatutnya
semasa pembunuhan ‘Uthman, ‘Ali keluar ke Mekah dan tinggal di sana.
Apabila orang ramai tidak dapat mencari pengganti khalifah mereka akan
mencari ‘Ali dan menjemputnya ke Madinah lalu melantiknya sebagai
khalifah.
Ini tentu tidak akan menimbulkan sebarang sangkaan
buruk Bani Umayyah. Namun apa yang berlaku sekarang ialah ‘Ali
menggantikan jawatan khalifah yang dibunuh ketika beliau sendiri berada
di Madinah. Sudah tentu ada pihak yang menganggap ‘Ali perlu
dipertanggungjawabkan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/438-439. Rawa‘i al-Turath al-Islami: Beirut).
Tempoh perubahan
Pandangan
Ibn ‘Abbas itu ada benarnya. Ketika negara dalam krisis kepimpinan,
pemimpin yang selamat ialah pemimpin yang berkemampuan yang digesa oleh
rakyat untuk memimpin mereka.
Ini lebih baik dari pemimpin yang
mengambil kedudukan dalam keadaan rakyat masih terpinga-pinga. Ya,
walaupun pemimpin penyelamat semasa gawat juga diperlukan, namun sangat
terdedah kepada pelbagai fitnah dan ketidakpuasan hati rakyat. Hal yang
sama kita lihat berlaku kepada Presiden Morsi di Mesir sekarang.
Oleh
kerana banyak dan tingginya ‘expectation' rakyat, di samping kekangan
pelaksanaan yang ada disebabkan saki baki regim yang lepas dan
pengalaman yang belum cukup baik, maka ia merupakan saat yang paling
mencabar dan mudah disalahfahami.
Dr Morsi akhirnya dilihat
terpaksa bertindak dengan gaya yang sedikit sebanyak ada persamaan
dengan regim Mubarak yang lepas. Di samping al-Ikhwan al-Muslimin yang
berpecah dan mempunyai beberapa pendekatan yang kontraversi dalam
politik perubahan.
Keadaan ini kadang-kala
menunjukkan ada baiknya tokoh-tokoh gerakan Islam dan ilmuwan dalam masa
transisi politik berjalan hendaklah bersabar dengan memberi laluan
kepada pihak lain terlebih dahulu.
Apa yang penting hendaklah
dipastikan pihak lain tersebut mendokong hasrat perubahan kepada yang
lebih baik. Selepas tempoh yang rumit dan mood rakyat hendakkan
perubahan yang seterusnya, maka di situ mungkin peranan tokoh-tokoh yang
berwibawa akan lebih berkesan.
Mungkin laluan terpaksa diberikan kepada orang yang kurang kualiti tetapi mampu menjayakan perubahan yang seterusnya.
Nabi menyatakan kadang-kala orang yang jahat secara tidak langsung dapat membantu agama.
Sabda
Nabi SAW: "Tidak akan masuk syurga melainkan orang yang beriman, dan
sesungguhnya Allah (kadang-kala) menolong agama ini dengan lelaki
jahat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Cabaran
Keadaan
dalam masa transisi mungkin banyak perkara tidak dapat dilaksanakan.
Suasana yang tidak kondusif akan menggagalkan banyak idea-idea yang
baik. Hal ini dirasai oleh Khalifah ‘Ali bin Abi Talib apabila dia
dipersoalkan tentang kegagalan melaksanakan undang-undang ke atas
pembunuh khalifah ‘Uthman bin ‘Affan.
Para sahabat Nabi SAW termasuk Talhah dan al-Zubayr telah menemui ‘Ali meminta kepadanya:
"Wahai
‘Ali! Kami mengisyaratkan agar engkau menegakkan hukum bunuh balas.
Mereka adalah kaum yang terlibat dalam konspirasi pembunuhan ‘Uthman dan
menghalalkannya.
Jawab ‘Ali: "Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku
bukannya jahil tentang apa yang kamu semua tahu. Namun apa yang boleh
aku lakukakn terhadap suatu kaum yang menguasai kita dan kita tidak
mampu menguasai mereka.
"Hamba kamu dan golongan badawi yang ada
telah menyertai mereka. Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah
menyertai mereka. Mereka berada di tengah-tengah kamu dan bertindak apa
sahaja yang mereka suka. Apakah kkamu melihat adanya kemampuan terhadap
apa yang kamu mahu?" (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/ 437).
Akhirnya,
Ali yang diheret ke dalam kancah perbalahan sesama sahabah Nabi SAW
yang padahal kesemua mereka mempunyai hasrat baik yang sama.
Proses perubahan yang paling mencabar ialah setelah sesuatu regim ataupun kuasa yang dinyahkan rakyat itu tumbang.
Seringkali
mengisi kemenangan jauh lebih sukar dan mencabar dibandingkan
merebahkan sesuatu kuasa. Saki-baki kesan kuasa yang lepas, mentaliti
rakyat, mentaliti dan sikap pendokong perubahan itu sendiri setelah
mencapai kemenangan, kemampuan idealisme dan kewibawaan kepimpinan
menjadi cabaran bagi sesebuah kerajaan baru.
Congakan politik
hendaklah kemas kepada sesiapa yang membuat keputusan yang menjadi
pemimpin utama sebaik sahaja mana-mana regim ataupun kuasa ditukar. Al-Rabi' al-‘Arabi (Arab Spring) memberi banyak pengajaran kepada pejuang perubahan.
Pasca PRU-13
Kita
inginkan landskap baru politik bagi negara ini setelah nanti
berlangsungnya ibu segala pilihan raya bagi negara ini iaitu PRU-13.
Kita ingin melihat tamatnya krisis politik warisan kepada kemunculan
urus tadbir yang sangat baik sebuah kerajaan (good governance).
Bermula
dari kita tidak ingin lagi mendengar kisah pertarungan politik
Mahathir-Anwar yang tidak habis-habis dan memakan korban pelbagai pihak,
kepada tamatnya monopoli kerajaan terhadap harga diri rakyat, kronisme,
rasuah, penyalah gunaan kuasa seperti di Sarawak dan seumpamanya.
Kita
tidak ingin lagi memilih pemimpin yang kurang buruk secara
perbandingan, tetapi ingin memilih pemimpin yang terbaik antara yang
terbaik. Era dan warisan krisis politik Mahathir-Anwar mestilah
diakhirkan kepada nafas politik baru yang lebih segar.
Kita
mesti pencenkan dinasour-dinasour politik yang sedia ada samada di
pihak BN ataupun Pakatam. Di samping semua mereka ada sumbangan
tersendiri dan kita menghargainya, tetapi mereka telah membawa dendam
warisan, politik era lama yang tidak sesuai lagi bagi generasi yang mahu
ke hadapan.
Kita mahu politik yang lebih segar bukan politik selak kain, tetapi politik telus dan idea yang bernas.
Ini
harapan kita. Masih banyak kerja yang perlu dibuat selepas PRU-13.
Masih banyak ruang untuk diisi dan perjuangan yang mesti dilangsungkan.
Kita
ingin melihat Malaysia baru yang segar dan bebas dari mimpi-mimpi buruk
semalam. Namun kita sedar semua itu tidak boleh berlaku melainkan PRU13
mesti mencetus satu perubahan besar yang memberi ruang dan peluang
untuk perubahan seterusnya dapat dilakukan.