14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Saya suka dengan perkataan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz kepada
‘setiausaha politiknya’ Rajak bin Haiwah. Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz:
“Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan.
Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih
dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul
Malik, lalu aku mengahwininya.
Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya.
Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, alu aku mencapainya.
Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi
penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi
al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).
Manusia yang normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah
kepada yang lebih baik. Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan
manusia terpaksa mengalami kesusahan. Persis seperti orang yang
berpindah rumah dari yang kecil kepada yang lebih besar, selesa dan
baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak kesusahan di peringkat
awal. Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum mampu membeli
rumah baru yang besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang berat.
Mungkin juga ada barang kesayangan yang terjatuh dan rosak. Terpaksa
tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri
dengan persekitaran baru dan pelbagai lagi. Namun jika dia tidak pindah,
taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan susah hidup dalam rumah
yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan hidup yang lebih
selesa dan persekitaran yang lebih nyaman.
Esok Lebih Baik
Manusia yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari
hari ini. Mengubah persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah
tabiat manusia bertamadun. Hanya yang kita tidak ubah ialah
prinsip-prinsip kebenaran yang merentasi masa dan tempat. Pun begitu,
cara melaksanakan prinsip-prinsip kebenaran itu juga kadang-kadang
berubah. Cara menegakkan keadilan dalam masyarakat berubah dari satu
keadaan kepada keadaan yang lain. Pendekatan mencegah kezaliman juga
berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun tanggungjawab menegakkan
keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga kiamat.
Manusia yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko
yang tidak pasti asas ialah manusia yang dungu. Seseorang yang takut
hendak belajar ke peringkat tinggi kerana bimbang dianggap sombong
adalah orang membodohkan dirinya.
Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan
berpenyakit dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia
akan makan nasi lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi. Dia
lupa bahawa kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang
mungkin dia tambah jika dia sihat. Demikian dalam politik.
Pindah
Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk
digunakan. Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya.
Air yang bertakung kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu.
Kuasa politik juga demikian. Jika ia terlalu berada dalam genggaman
seseorang, banyak keburukannya. Ketamakan, salahguna, keegoan,
kesombongan dan sebagainya akan berlaku. Jika hal itu mula kelihatan
pada seseorang atau sesuatu pentadbiran maka hendaklah kuasa itu
dialirkan ke pihak lain agar dapat mengelakkan keadaan yang seperti itu.
Di situ datangnya peranan pilihanraya dalam democracy system. Dalam
konteks Malaysia, perkara ini terpakai untuk negeri-negeri yang dikuasai
oleh BN ataupun PR. Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam
al-Syafii: ‘Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di
satu tempat.
Tinggalkanlah tanahair dan mengembaralah. Bermusafirlah, nescaya engkau
dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah, kerana
kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat
terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia
tidak mengalir tidak baik’.
Hijrah dalam Islam mempunyai perlambangan yang tersendiri. Ia adalah
perlambangan betapa perlunya kita berpindah kepada yang lebih baik.
Negara kita tidak boleh berpolitik dengan tahap lama lagi. Kita perlukan
politik masa depan yang lebih matang dan berkualiti. Kita tidak wajar
membandingkan kehidupan kita dengan zaman Jepun makan ubi kayu. Mengapa
kita tidak bandingkan kualiti integrity kepimpinan kita dengan Negara
Jepun?!
Media tidak wajar memperbodohkan akal rakyat dengan menemu bual
pakcik-pakcik kampong yang bercakap tentang zaman Jepun. Pemimpin
sepatutnya berusaha mendidik rakyat maju ke hadapan, bukan melihat ke
belakang. Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata
Plato: “Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka
diciptakan bukan untuk zaman kamu”.
Dalam kerangka politik, saya tidak menaruh penuh kepercayaan kepada BN
ataupun PR. Saya tidak beriman kepada parti-parti itu bahawa mereka akan
memenuhi segala maksud kebaikan untuk sebuah negara yang bernama
Malaysia ini. Saya rasa tabiat politik antara keduanya masih banyak yang
sama. Walaupun masing-masing ada kebaikan dan keburukan yang
tersendiri. Mungkin ada beberapa tokoh dalam parti-parti itu yang
berkualiti tinggi, namun kedua gabungan politik itu masih banyak yang
terikat dengan ‘order lama’ politik.
Lihat sahaja cara Dr Haron Din dan Karpal Singh membincangkan tentang
isu hudud di waktu sepatutnya focus rakyat kepada perkara-perkara yang
lebih praktikal untuk masa ini. Lihat pula bagaimana BN mengendalikan
media massa semasa pilihanraya ini.
Namun, saya percaya satu perkara; perubahan, pengaliran kuasa,
pengiliran, menghadkan tempoh kekuasaan, memberi peluang kepada
tawaran-tawaran baru untuk rakyat adalah satu cara untuk mematangkan
politik dan membawanya ke arah yang lebih baik.
Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang
terbaik dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik. Kita
hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada PR, ataupun PR kepada BN
ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik
baru sehingga kita menemui yang terbaik. Apabila yang terbaik itu mula
‘merepek’, kita akan tukar lagi. Kita tidak pentingkan nama parti,
tetapi kualiti service yang mampu diberikan! Kita sanggup menukar jika
perlu tanpa mengira BN ataupun PR. Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga
yang baik diperolehi.
The Malaysian Insider/-