Saya
ingin menulis sesuatu yang agak peribadi, tetapi rasanya boleh
dikongsi. Ini kerana baru-baru ini saya menerima beberapa mesej bertulis
dari orang-orang muda yang dihantar kepada saya oleh beberapa pihak
yang merasakan tidak sedap hendak disebut nama saya bersama dengan
gelaran Dato' kerana tidak mesra kata mereka.
Mereka kata kami
semua sejak dulu terbiasa memanggil Dr Asri ataupun Dr MAZA, rasa macam
tidak sedap sebut Dato' pula di depan nama. Saya senyum. Saya tidak
pernah kisah tentang itu semua.
Sebelum saya
meneruskan, saya ingin terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada
DYMM Raja Perlis atas penganugerahan kepada saya gelaran Dato' Arif
Perkasa sempena hari keputeraan ada 17 Mei 2012 yang lepas. Semasa itu
saya berada di UK dan tidak dapat menghadiri upacara berkenaan.
Hanya
pada 25 September baru-baru ini saya dapat menghadirkan diri untuk sesi
saya yang tertangguh tersebut. Saya berterima kasih kerana pihak Istana
Arau sudi kerana mentauliahkan saya yang merupakan rakyat marhaen ini
Dato' bergelar bagi Istana Arau. Di sini saya coret satu perkara yang
boleh kita kongsi.
Carilah orang yang salih
Apabila
pihak kerajaan Perlis mengumumkan anugerah tersebut di media pada bulan
Mei lepas, ramai yang menghantar ucapan tahniah. Namun dalam masa yang
sama ada beberapa e-mel yang saya terima memohon agar saya tidak memakai
apa-apa gelaran kebesaran. Saya perlu kekal sebagai Dr Asri, ataupun Dr
MAZA. Saya perlu kekal sebagai suara rakyat marhaen, kata mereka.
Baru-baru
ini setelah pulang ke Malaysia dan saya terlibat dengan banyak program,
seringkali nama saya diiklankan bersama gelaran Dato', beberapa orang
menghantar pandangan kepada saya dengan sungutan seakan "alangkah
baiknya jika Dr Asri ataupun Dr MAZA itu kekal dengan panggilan
asalnya".
Itu lebih mesra dan dekat di hati kami. Saya terkesan dengan hal itu.
Sebenarnya,
anugerah yang diberikan kepada saya itu, hanyalah atas kemurahan hati
pihak Istana Perlis sahaja. Dari segi jasa, tiada apa jasa besar saya
untuk disebut ataupun dikenang. Dari segi harta, jika gelaran Dato' itu
sering dibayangkan orang yang berharta, maka saya tidak termasuk untuk
dibayangkan.
Saya tidak berharta, melainkan sekadarnya seperti
rakyat kebiasaan yang lain. Sehingga artikel ini ditulis, jika anda
berjumpa saya di hotel mewah, itu biasanya ada penganjur program yang
sewakan untuk saya. Jika anda bertemu saya dalam kereta mewah, itu
menunjukkan ada orang bermurah hati menumpangkan saya. Rezeki masa depan
hanya Allah Yang Maha Tahu.
Setiap kita
mengetahui siapakah diri kita. Selepas Allah Yang Maha Tahu segalanya,
insan itu sendirilah yang paling tahu tentang dirinya. Segala
penampilan, pujian, gelaran dan pangkat yang manusia berikan tidaklah
semestinya sama dengan hakikat sebenar diri yang berkaitan itu di sisi
Allah Yang Maha Mengetahui.
Betapa ramai orang yang dipuji
dengan pelbagai pujian, dia sendiri pun tahu dia bahawa dia bukan layak
dengan segala ungkapan itu. Betapa banyak orang yang dianggap tiada
nilai ataupun rendah kedudukannya, dia di sisi Allah jauh lebih baik
dari mereka yang banyak dipuji dan dipuja.
Nabi SAW bersabda:
"Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu
(tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama Allah
nescaya Allah tunaikan." (Riwayat Muslim).
Justeru,
orang yang mempunyai gelaran kebesaran, belum tentu lebih baik di sisi
Allah dibanding rakyat marhaen biasa. Ustaz yang berceramah di depan
majlis, belum tentu lebih disayangi Allah dari mereka yang duduk di
bawah mendengar ceramahnya. Bahkan mungkin yang berceramah itu Allah
benci disebabkan kesombongan, riak dan ‘gila dunia' yang bersarang dalam
jiwanya.
Sementara yang hadir mendengar dengan ikhlas, tanpa
sebarang tujuan melainkan mencari redha Allah, dia sangat Allah sayangi.
Saya memberitahu dalam kuliah saya bahawa dalam sunah, bayi yang lahir
dibawa kepada Nabi SAW lalu didoakan. Maka, eloklah membawa anak kita
kepada orang salih yang mustajab doanya supaya mendoakannya.
Ada
yang salah faham, mereka sering membawa anak-anak mereka berjumpa saya
supaya saya mendoakannya. Saya terpaksa beritahu mereka, saya mungkin
seorang yang agak terpelajar dalam bidang agama tetapi itu tidak
menunjukkan saya seorang salih, ataupun saya ini dikasihi Allah sehingga
doa saya mustajab. Carilah orang yang salih, sekalipun mereka itu tidak
ternama.
Rahsia insan
Insan
yang baik ialah insan yang hubungannya dengan Allah sangat indah,
melebihi apa yang disangka oleh manusia. Sesiapa yang baik hubungannya
dengan Allah, maka Allah akan membaiki urusannya.
Namun
dalam pergaulan sesama insan, kita tidak disuruh oleh Islam untuk
mencari rahsia peribadi orang lain. Bahkan kita diharamkan menyingkap
keaiban yang disembunyikan oleh seseorang. Kita menilai manusia apa yang
zahir sahaja. Adapun urusan batinnya, itu antara dia dengan Allah.
Khalifah ‘Umar bin al-Khattab menyebut:
"Sesungguhnya
manusia pada zaman Rasulullah SAW diambil tindakan berdasarkan
(pemberitahuan dari) wahyu. Sesungguhnya wahyu pada hari ini telah
terputus. Maka kami pada hari ini bertindak berdasarkan apa yang zahir
pada kami dari amalan kamu. Sesiapa yang menzahirkan kebaikan, maka kami
berikannya kedamaian (tidak diganggu) dan memuliakannya. Kami tidak
masuk campur urusan rahsia batinnya. Sesiapa yang menzahirkan keburukan,
maka kami tidak berinya kedamaian dan tidak mempercayainya sekalipun
dia berkata batinnya baik."(Riwayat al-Bukhari).
Batin
yang baik, akan melahirkan akhlak yang baik. Namun tidak dinafikan, ada
batin yang jahat, tetapi berpura-pura baik pada zahirnya. Adapun kita
hanya mampu menilai yang zahir, urusan rahsia batin seseorang akan
dinilai oleh Tuhan.
Justeru, kita berdoa agar batin dan zahir
kita, kesemuanya dinilai baik di sisi Tuhan. Allah Maha Mengetahui yang
nyata dan yang tersembunyi.
Ada apa pada gelaran
Kita
hormati gelaran baik yang orang berikan. Namun, kita hendaklah sentiasa
tahu hakikat diri kita bukan bergantung kepada apa orang sangka, tetapi
kepada siapa sebenarnya kita. Rahsia batin antara dia dan Tuhan adalah
intipati sebenar diri seseorang.
Saya tersenyum apabila
mendengar kisah ada orang agama yang cuba memberikan pelbagai gelaran
kehebatan untuk dirinya sendiri. Saya teringatkan Nabi SAW yang
menyebut:
"Jangan kamu memujiku berlebihan
seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang
hamba Allah. Katakanlah: Hamba Allah dan rasul-Nya." (al-Bukhari).
Namun
dalam pergaulan, sebagai Muslim, agama mengajar kita menghormati orang
lain dan beradab sopan. Kita memanggil manusia dengan panggilan yang
layak atau panggilan baik yang dipanggil kepada mereka.
Ketika Nabi SAW menghantar surat kepada maharaja Rom, baginda Nabi SAW tetap menyebut kebesaran pangkatnya.
Nabi SAW memulakan surat baginda: "Dengan
nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad
pesuruh Allah kepada Hercules Orang Maha Besar Rom..." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Nabi SAW menyebutkan selepas namanya kedudukannya sebagai azim ar-Rum. Azim bererti orang yang teramat besar Rom.
Saya
tidak kisah sama ada sesiapa hendak memanggil saya Dato' ataupun tidak.
Itu semua tidak mengubah apa-apa dalam hidup saya sebagai rakyat
marhaen ini. Namun, saya tidak menggalak hal itu dibuat kepada orang
lain, kerana mungkin nanti mereka tidak suka. Sedangkan dalam hadis
riwayat Muslim secara ta'liq dan sahih:
"Kata ‘Aishah r.a: Nabi SAW memerintahkan kami meletakkan manusia pada kedudukannya."
Adapun
saya, tidak kisah selagi tidak memanggil dengan panggilan yang buruk
kerana itu tidak disukai oleh agama ini. Kemuncak kepada kehidupan bukan
gelaran dan pangkat, tetapi di manakah nanti tempat kita di akhirat.
Ini mengingatkan saya sekali lagi kepada dialog Khalifah Umar bin ‘Abdul
Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah.
"Kata Rajak bin Haiwah, ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku:
"Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju. Aku
pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus
dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya
dan berkata: Bagus, cuma ia murah.
"Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: Belikan untukku sehelai baju".
"Maka
aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana,
harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka
beliau memegangnya dan berkata: Bagus, cuma ia mahal.
"Aku
kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah
beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan
baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap
mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun
menangis.
"‘Umar bin Abdul Aziz bertanya: Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?.
"Kataku: "Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?
"Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: "Wahai
Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan.
Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih
dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul
Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor,
lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan
khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku
harap aku dapat menjadi penghuninya." (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).
Pangkat dan nama adalah panggilan dan kedudukan di dunia. Hakikatnya apabila mati, seperti yang Allah nyatakan (maksudnya):
"Dan
demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada Hari Kiamat)
dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan
kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada
kamu; dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu
dakwa bahawa mereka ialah sekutu sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi
sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka),
dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa." (Surah
al-An'am, 94)
Panggillah saya dengan apa sahaja
panggilan yang sopan sebagai insan Muslim, yang sesuai pada penilaian
anda. Panggillah dengan panggilan yang masing-masing dapat menjaga
kesopanan Muslim serta menjadikan jiwa kita lunak dan kita dapat
bersahabat di dunia dan di akhirat. Marilah kita pentingkan persahabatan
melebihi segala pangkat dan panggilan.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.