Anas bin Malik pernah mengungkapkan daripada Nabi SAW iaitu:
“Seseorang kamu tidak beriman (masih tidak sempurna Imannya) sehingga
Allah dan Rasul-Nya lebih disayanginya (dicintainya) daripada apa yang
selain kedua-dua itu (Allah dan Rasul-Nya).” (Hadis riwayat Ahmad)
Lalu,
saya kagum dengan kebangkitan umat Islam serluruh dunia mempertahankan
Nabi Muhammad SAW. Dunia seluruhnya menjadi saksi, inilah saki-baki
kecintaan umat Islam kepada nabi, walaupun realitinya sunnah nabi
semakin dipinggirkan kini. Dunia sedar, mempermainkan Muhammad samalah
seperti menendang kepala setiap umat Islam. Ia membawa padah!
Ironisnya,
kenapakah kejadian penghinaan ini terus berulang-ulang. Tidak sekadar
sekali, bahkan berkali-kali. Nabi Muhammad SAW pernah digambarkan dalam
pelbawai watak karikatur yang amat bercanggah dengan sifat mulia baginda
yang sebenar.
Elemen keganasan yang ditempel pada wajah baginda,
amat tidak tepat. Realitinya Muhammad adalah manusia paling santun dan
penyabar. Buktinya dalam sejarah, Muhammad tidak sewenang-wenang
menyakiti apatah lagi memerangi manusia lain.
Cuba lihat, ketika
masih di Kota Mekah dan kala itu Mekah dikuasai oleh kaum jahiliyah
Quraisy, Muhammad pernah dihina dan diaibkan dengan dilempari kata-kata
kesat, dianggap gila, pernah dicekik ketika sedang solat di hadapan
Ka’abah bahkan tubuhnya pernah dilambakkan najis perut unta ketika
sedang sujud menyembah Allah SWT.
Apakah Muhammad bingkas bangkit
melawan para pendengki? Tidak, Muhammad bersabar dan darjah kesabaran
itu saya yakin, tidak mampu dimiliki oleh manusia lain selainnya.
Walhal, sebelum Muhammad menyeru seluruh manusia agar beriman kepada
Allah dan Rasul-Nya, baginda digelar al-Amin (paling terpercaya) oleh
seluruh manusia Mekah. Mereka mempercayai Muhammad melebihi mereka
meyakini anak isteri mereka sendiri!
Apa yang berlaku, penindasan
itu turut melanda umat Islam yang bersifat minoriti dan lemah di Mekah.
Ammar bin Yasser, Sumaiyah, Bilal bin Rabah, Khabbab dan ramai lagi
menderita siang dan malam dibelasah kaum jahiliyah Mekah.
Akhirnya,
golongan tertindas ini tidak mampu menahan diri lantas menemui Muhammad
dan meminta agar baginda berdoa memohon pertolongan Allah. Muhammad
merasa terganggu dengan sikap ‘tidak sabar’ sahabat-sahabatnya, sehingga
nabi menyatakan, umat terdahulu lebih teruk diuji dan disiksa, maka
kenapakah mereka tidak bisa bersabar?
Ada dua kepelikan di sini.
Pertama, pelik betapa penghormatan golongan Quraisy boleh lenyap hanya
kerana seruan Muhammad. Kenapakah seruan tidak dibalas dengan seruan.
Jika mereka merasa benar, berhujahlah dengan Muhammad secara bijaksana
dan bukannya menggunakan kekerasan dan najis unta. Kepelikan kedua,
kenapa Nabi Muhammad SAW enggan melawan. Sebaliknya mengambil pendekatan
bersabar dan mencari jalan mengelakkan pertempuran.
Masa
berlalu. Islam yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW pasca
kewafatannya terus berkembang. Islam pernah mendominasi dunia, dari
Jazirah Arab sehinggalah ke Benua Afrika. Islam berkembang ke Asia juga
Benua Eropah. Kepulauan yang terpencil seperti di nusantara ini pun,
turut menerima kehadiran Islam dengan senang hati. Tidak tercatat dalam
sejarah Melaka atau di Jawa, berlakunya peperangan menerima kedatangan
Islam oleh sultan dan rajanya.
Jika kita terus membaca sejarah,
ramai tokoh pemimpin Islam yang mewarnai peperangan dan siasah dengan
pertunjuk Rasulullah SAW. Ambil sahaja Umar al-Khattab yang ditangannya
Kerajaan Farsi menyerahkan mahkota kaisarnya, bukankah Farsi tunduk
kepada Islam lantaran akhlak pemimpin dan tentera Islam. Begitulah juga,
saat Umar al-Khattab dikhabarkan datang membuka pintu kota Baitul
Maqdis di Jerusalem, beliau hanya mengenakan jubah yang bertampal
sahaja!
Begitu juga, sewaktu Sultan Muhammad al-Fateh mahu
membuka pintu Kota Konstantinopel, siapakah yang membantu baginda jika
bukan bekas musuh-musuh Islam yang akhirnya memeluk Islam dan membantu
semahunya. Kenapakah mereka berpaling tadah menyebelahi Islam? Tidak
lain, kerana pemimpin dan tenteranya berakhlak mulia seperti mana
Rasulullah SAW.
Terlalu banyak teladan mulia pemimpin Islam dan
juga tokoh-tokoh rakyat biasa yang boleh dijadikan pedoman. Namun, tidak
perlu rasanya kita mengulang baca sejarah itu di sini. Yang lebih
utama, hari ini kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW tidak lagi menjadi
realiti. Ia hanya menjadi bahan kajian, dibukukan dan disyarahkan, sama
ada di dalam dewan kuliah universiti ataupun di masjid dan surau. Seerah
nabi memang dibaca, tetapi kosong, kurang penghayatan apatah lagi
pengamalan. Lalu, di manakah buktinya cinta?
Allah SWT
menyatakan: “Katakanlah (wahai Muhammad kepada seluruh manusia): "Jika
benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi
kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani).” (Surah Ali Imran: 31)
Ingatlah,
cinta kepada Muhammad, mestilah mengikut neraca Allah iaitu wajiblah
mengikuti akhlaknya Muhammad. Itulah sunnah yang dititipkan buat seluruh
umat. Sunnah ini, bila diamalkan secara leluasa, ambil sahaja sunnah
memberi dan menjawab salam, maka akan menzahirkan kemuliaan Islam. Ia
menjadi tunjang kepada akhlak bermuamalah dan bermua’syarah
(berhubungan) sesama manusia. Inilah intipati Islam, iaitu akhlaknya.
Lalu,
apabila mutakhir ini musuh-musuh Islam cuba mencari titik-titik
kelemahan umat Islam, ternyata pekerjaan mereka menjadi mudah. Ia mudah,
lantaran umat Islam sendiri memang sudah menjauh daripada al-Quran dan
as-sunnah. Maka, dengan hanya melontarkan sebiji bola, umat Islam pun
tenggelam dalam kesibukan mengejar bola tersebut. Pada masa yang sama,
musuh-musuh Islam pun memulas leher, kaki, tangan dan kepala umat Islam
lain di luar padang bola berkenaan.
Inilah realiti umat Islam
dalam menangani pelbagai isu hari ini. Isu penghinaan nabi memang
serius, ia amat tragis dan tidak patut dibiarkan tanpa pembelaan.
Yakinlah, andai Nabi Muhammad SAW ada hari ini, pasti baginda menitiskan
air mata melihat betapa tabahnya umat baginda bermandi peluh dan
menyedut asap pemedih mata kerana mempertahankan dirinya.
Namun,
persoalan saya, apakah nabi juga tidak menitiskan air matanya melihat
betapa ramai umat Islam di dunia hari ini, dibunuh dan dinafikan hak
kehidupan mereka, rumah dibakar, anak dan isteri diperkosa, anak
kehilangan bapa dan dihalau dari kampung halaman tanpa salah dan dosa.
Inilah situasi di luar padang bola yang sedang berlangsung di Myanmar,
di Syiria, di Palestina bahkan di mana-mana saat ini di dunia.
Nah!
Berjayalah musuh-musuh Islam melarikan perhatian kita. Mereka berpesta
pora meneruskan penindasan di atas helah dan penipuan yang mereka
sendiri reka dan cipta. Itulah sebiji ‘bola’ yang mereka lemparkan.
Sayangnya, umat Islam terus bersorak-sorai mengejar dan menendang ‘bola’
itu dengan perasaan marah yang membara, walhal pada masa yang sama,
mungkin mereka tidak sedar dan terus lalai untuk bingkas membela maruah
umat Islam lain yang masih bernyawa.
Bagi saya, sebagai muslim,
bukan sekadar perlu bagi saya untuk membela maruah umat yang telah
tercalar di dada media; bahkan menjadi lebih utama dan wajib bagi saya
mempertahankan maruah Islam seluruhnya yang terus diinjak di depan mata
di mana-mana. Soalannya, mahukah kita kembali berpaksakan kepada
pertunjuk dan cinta Rasulullah SAW ‘sebenar’ dalam membela agama?
Wallahua’lam.
www.hamizul.com