Hentikan budaya hutang dan boros
SM Mohamed Idris, | 09 Jan 2013 |
Persatuan
Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan satu laporan berita
akhbar yang mendedahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya
menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang
melibatkan 102 anggotanya.
Menurut berita itu lagi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri
Abdul Aziz Jaafar berkata, bayaran itu merupakan jumlah yang berjaya
dikurangkan hasil perundingan bersama pihak berkenaan walaupun jumlah
sebenar yang sepatutnya dibayar RM370,000.
Katanya, kegiatan meminjam wang daripada ‘lintah darat’ itu
melibatkan anggota pelbagai pangkat dan dalam hal itu TLDM menggunakan
pendekatan penerangan dan ceramah untuk membantu mereka.
CAP berpandangan pihak TLDM tidak sepatutnya menggunakan wang awam
untuk digunakan bagi menyelesaikan hutang ah long yang diambil oleh
anggotanya kerana ini akan memberikan satu contoh yang tidak baik.
Ini kerana ia akan memberikan persepsi atau tanggapan dalam kalangan
anggota TLDM bahawa adalah tidak salah untuk meminjam dan berhutang
dengan ceti haram atau ah long kerana sekiranya gagal untuk membayarnya
pihak berkuasa akan menyelesaikan hutang itu.
Pendedahan ini juga menunjukkan bahawa masih ramai lagi rakyat
Malaysia yang bukan sahaja melibatkan anggota TLDM yang mengamalkan dan
terjebak dengan budaya meminjam wang dan berhutang daripada ceti haram
dan ah long walaupun sudah lama pihak kami berusaha mendidik pengguna
agar mengelakkan budaya hutang dan boros.
Eloklah kita menginsafi hakikat bahawa hutang isi rumah di negara ini
pada 2010 ialah sebanyak RM577 bilion. Segenap lapisan masyarakat di
negara ini sanggup berhutang bagi memenuhi tuntutan gaya hidup moden
termasuk mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Namun hidup mereka akhirnya semakin merana apabila Jabatan Insolvensi
Malaysia terpaksa mengisytiharkan 85,175 daripada mereka sebagai muflis
kerana tidak mampu membayar hutang.
Tiga jenis hutang lazimnya dibuat oleh peminjam yang sesetengahnya
mahu hidup bergaya iaitu hutang sewa beli kenderaan yang tinggi,
pinjaman peribadi, pembelian saham dan kad kredit serta pinjaman
perumahan.
Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan
berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini
seperti yang tertera di atas. Kegagalan menguruskan hutang
mengakibatkan 85,175 rakyat negara ini menjadi bankrap ketika usia muda.
Berikut adalah kes muflis di Malaysia. Sebanyak 85,175 kes dari tahun 2007 hingga Mac 2012.
Sewa beli kenderaan 21,796 kes, pinjaman peribadi 12,547 kes,
pinjaman perumahan 12,098 kes dan pinjaman perniagaan 9,865 kes (Sumber:
Jabatan Insolvensi Malaysia).
Bagi mereka yang sudah pun terjebak dengan budaya meminjam dan
berhutang ini, tidak ada jalan lain kecuali melunaskan hutang mereka
sekiranya tidak mahu menanggung risiko berdepan dengan pelbagai kerenah
ceti haram dan ah long.
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong seseorang itu meminjam atau
berhutang antaranya bermain judi tetapi ada juga yang meminjam dan
berhutang kerana hendak hidup mewah atau terpengaruh dengan gaya hidup
orang lain yang lebih mewah daripada mereka.
Inilah masalahnya yang sering melanda masyarakat kita, kalau tidak
mampu untuk memiliki sesuatu dalam hidup kita ini, usahlah membebankan
diri dengan meminjam dan berhutang yang akhirnya menjerat diri sendiri.
Terimalah hakikat kemampuan gaji dan pendapatan kita serta hiduplah
dengan sikap sederhana (terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Ahmad “Tidak akan kekurangan orang yang hidup sederhana).
Orang yang membelanjakan harta dengan secara berhemat dan sederhana
tidak akan menjurus kepada pemborosan dan berlebih-lebihan dan sudah
tentu tidak akan kekurangan. Satu lagi sikap yang perlu diamalkan ialah
qanaah iaitu cukuplah dengan apa yang ada, seperti kata pepatah Melayu
ukurlah baju di badan sendiri.
Jangan sekali-kali terpedaya dengan iklan-iklan yang terpapar di
dalam media massa baik media elektronik atau media cetak terutama sekali
di musim-musim perayaan yang menonjolkan budaya hidup mewah, boros dan
membazir yang semuanya berpaksikan kepada wang.
Dalam masyarakat kita, memang terdapat mereka yang suka meminjam
wang, gemar hidup bergaya lebih daripada kemampuan serta berbelanja
lebih daripada pendapatan, banyak orang kelihatan hidup senang walaupun
pada hakikatnya kesenangan itu berasaskan kepada hutang.
Satu lagi amalan buruk di dalam masyarakat kita ialah membazir. Kini
amalan membazir di dalam masyarakat nampaknya tidak dibendung malah
semakin dibiarkan.
Perilaku membazir ini dapat dilihat di dalam pelbagai bentuk seperti
membazir makanan, aksesori dan hiasan diri, pembaziran di dalam rumah,
membazir di dalam pakaian, hiasan dan perabot rumah serta pejabat.
Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan
yang sewajarnya bagi mencegah menularnya budaya meminjam, berhutang,
membazir dan boros dalam kalangan rakyat negara ini.
Pihak berkuasa juga digesa agar mengawal dan memantau iklan-iklan
yang disiarkan di dalam media massa itu tidak menggalakkan masyarakat ke
arah budaya hidup mewah, boros dan membazir.
Masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan cara hidup sederhana,
berjimat-cermat, tidak boros dan membazir di dalam hidup dan menginsafi
bahawa masih ada anggota masyarakat yang hidup di dalam kemiskinan yang
memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.
No comments:
Post a Comment