Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
  
Beliau, yang juga menteri pendidikan berkata perubahan nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lepas setelah pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.
  
“Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga telah beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baru, malah nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di Phuket.
  
Beliau berkata proses penggabungan dua kementerian - Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi - yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan telah bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.
  
Muhyiddin berkata penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.
  
“Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan 'Ministry of Education'.
  
Beliau berkata walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.
  
Muhyiddin berkata sebagai contoh, koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.
  
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan melibatkan perubahan kepada dasar tertentu.
  
Muhyiddin berkata proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.
  
“Itu sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu orang bukan Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.



  
“Persoalan besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah...jadi sebelum kita nak buat keputusan yang melibatkan dasar kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya.

- Bernama