KOTA BHARU: Kalau tahun lepas penerima Bantuan
Rakyat 1 Malaysia (BR1M) lebih berhati-hati ketika datang mendapatkan
bantuan BR1M, tanpa mempamerkan ideologi politik mereka.
Namun
situasi seperti itu sudah beransur hilang. Malah ramai yang datang
mengambil bantuan BR1M daripada pemimpin Umno memakai pakaian termasuk
logo Bersih dan Royalti.
Pengerusi Amanah Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh (gambar)
berkata, sekarang orang ramai sudah faham duit BR1M sebanyak RM500 yang
diterima daripada peruntukan kerajaan dan tiada kaitan dengan Umno.
“Sebab itulah sekarang mereka yang datang menerima bantuan BR1M
memakai baju Bersih dan Royalti. Ini bermakna hasrat pemimpin Umno
mengumpan BR1M bagi menarik simpati rakyat dianggap sudah tidak
berkesan.
“Isu duit BR1M mungkin tidak lagi berbekas kepada majoriti rakyat.
Sedangkan pemimpin Umno menggunakan BR1M bagi memancing undi,” katanya
pada ceramah sempena perasmian Markas Pemuda PAS Kota Bharu di Batu 2,
Jalan Kuala Krai malam tadi.
Perasmiannya disempurnakan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Hadir sama Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin, Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin
Hassan dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Bangunan dua tingkat yang dijadikan markas Pemuda PAS Kota Bharu
mulai beroperasi 1 Febuari lalu. Tingkat atas dijadi tempat mesyuarat
dan bahagian bawah bilik operasi jentera pilihan raya.
Pada Januari Muslimat Kota Bharu membuka secara rasmi Markas Helwa di
Jalan Long Yunus. Manakala Markas Urusan Ulama Kota Bharu akan
dirasmikan pada 14 Febuari ini bertempat di belakang Hospital Pakar
Perdana.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan hari ini
menjelaskan kerajaan BN akan meneruskan program BR1M sekiranya BN
mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-13.
Dr Zaiyadi yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan pada sesi
1996-1998 berkata, kemungkinan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr
Awang Adek Hussin tidak lepas daripada tapisan SPRM memandangkan pernah
mengakui wang sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
“Kita hendak tengok Ketua Umno Bachok lepas atau tidak tapisan dibuat SPRM untuk membolehkan beliau menjadi calon,” katanya.
Mahfuz pula menyifatkan kerajaan cuba membohongi rakyat apabila
sering menyebut kerajaan BN memberi subsidi tambang kepada bakal haji
yang kali pertama menunaikan ibadat haji.
“Sebenarnya duit pencarum sendiri yang digunakan bagi tujuan itu dan
bukannya subsidi kerajaan membolehkan tambang pergi ke Makkah kekal
seperti sekarang,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment