Petikan Khutbah Jumaat
Jabatan Agama Islam Perak
اَلْحَمْدُللهِ الْقاَئِلِ :
إِنَّهُمْ يَكِيدُونَ كَيْدًۭا ﴿١٥﴾ وَأَكِيدُ كَيْدًۭا ﴿١٦﴾ فَمَهِّلِ ٱلْكَـٰفِرِينَ أَمْهِلْهُمْ رُوَيْدًۢا ﴿١٧﴾ – سورة الطارق : ۱٥ - ۱٧
Sesungguhnya mereka bermati-mati menjalankan rancangan jahat. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka dan menggagalkannya). Oleh itu janganlah engkau mengharapkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa.
أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita mempertingkatkan keimanan dan kesyukuran kita kepada Allah S.W.T kerana keimanan dan kesyukuran adalah asas kepada taqwa yang dituntut oleh Allah.
Muslimin Muttaqin Yang Berbahagia,
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana pada tahun ini kita sekali lagi menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita. Kita juga harus bersyukur kerana sambutan kemerdekaan pada tahun ini jatuh pada hari raya kedua yang merupakan saat kita mengecap kemenangan menundukkan hawa nafsu kita.
Sesungguhnya kemerdekaan ini adalah salah satu nikmat Allah yang cukup besar kepada kita semua. Islam menuntut umatnya berjihad untuk mendapatkan dan mempertahankan kemerdekaan. Rasulullah S.A.W dan para sahabat telah berjihad dengan berhijrah keluar dari kampung halaman sendiri semata-mata untuk mendirikan sebuah Negara Islam Madinah yang merdeka bagi tujuan melaksanakan Syariat Allah seluruhnya.
Maka kemerdekaan adalah satu wasilah terpenting untuk melaksanakan Syariat Allah, bukan merupakan satu perayaan yang semata-mata diraikan, seolah-olah kita memberikan pengiktirafan kepada dosa-dosa penjajah yang memeras hasil bumi kita yang tercinta. Para Sahabat bukan sahaja mencari kemerdekaan di Madinah malah turut berjihad memerangi Negara-negara lain untuk memerdekakan rakyatnya daripada cengkaman pemerintahan kuffar kepada kebebasan memilih aqidah Islam.
Sidang Jumaat Sekelian,
Sekian lama kita menyambut kemerdekaan, tidak banyak perubahan yang berlaku terhadap Umat Islam dan Bangsa Melayu keseluruhannya. Kita masih lagi menjadi Bangsa yang kerdil dan tidak menjadi pengatur dan penentu dalam kehidupan masyarakat dan negara. Anak-anak remaja kita masih menjadi beban kepada usaha pembudayaan masyarakat dan menghadapi krisis identiti yang tidak berkesudahan. Bangsa kita masih menjadi bangsa yang malas dalam segala hal, malas membaca, malas berfikir dan malas berusaha sehingga kita sering teraniaya.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sudah merdekakah diri dan jiwa kita seiring dengan kemerdekaan Negara ? Ada orang berpendapat bahawa manusia menjadi merdeka apabila negaranya merdeka. Ada orang menganggap bahawa kemerdekaan itu mesti dihayati dan dinikmati sepenuhnya, dengan melakukan apa sahaja yang terlintas di hati dan terlihat di mata.
Ada juga orang yang berpendapat bahawa kemerdekaan bermakna kita mesti berpuas hati terhadap apa sahaja yang ada pada hari ini, walaupun tiada sebarang pembaikan dan perubahan dengan semata-mata bersandar kepada konsep kesyukuran.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Untuk menilai sejauh mana kita telah menghayati kemerdekaan, maka kita perlu mengetahui apakah pandangan Islam terhadap kemerdekaan. Kemerdekaan atau kebebasan merupakan salah satu prinsip asas dalam Syariat Islam. Islam melihat kebebasan sebagai suatu keperluan asasi bagi setiap manusia.
Sebab itulah disebutkan bahawa Islam membuka negeri-negeri ketika menawannya bukan menjajahnya kerana Islam tidak bertujuan menguasai tetapi bertujuan membebaskan manusia bagi menerima kebenaran Allah. Kita tidak melihat mana-mana kerajaan Islam yang memaksa rakyatnya memeluk Islam walaupun kita melihat ramai umat Islam disiksa dan dianiayai semata-mata kerana menerima Islam.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Mungkin banyak kesilapan yang kita lakukan dalam menghayati semangat kemerdekaan selama ini. Kita mewarisi pendekatan penjajah yang menjadikan kita sebagai bangsa yang lemah. Melayu dan Umat Islam menjadi lemah kerana penjajah mahukan kita menjadi lemah. Kita dimomokkan dengan gelaran peribumi dan dibiarkan karam dengan ego sebagai Bangsa Tuan dan ujub yang ketuanan tersendiri. Bangsa asing dilatih dan didedahkan dengan aktiviti ekonomi sehingga mereka mampu berdikari. Jiwa Melayu tidak pernah dibangunkan dengan kekuatan semangat sehingga mereka hilang jati diri. Melayu dibiarkan terus lemah sehingga jiwa dan minda mereka sebati dengan kelemahan. Kebanyakan kita sudah menerima bahawa bangsa kita adalah bangsa yang lemah dan tidak akan ada jalan untuk menghilangkan kelemahan tersebut.
Sidang Jumaat Sekelian,
Islam mempunyai kaedah dan pendekatan yang amat berkesan dalam membangunkan jiwa umatnya. Islam tidak pernah menghina manusia malah menaikkan semangat umatnya dengan pujian dan pengiktirafan.
لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍۢ ﴿٤﴾
Sesungguhnya kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian
– At-Tin : 4
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾
Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang terhebat jika kamu orang-orang yang beriman.
– Ali Imram : 139.
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah
– Ali Imran : 110
Sidang Jumaat Sekelian,
Kita tidak boleh lagi menganggap Bangsa kita adalah bangsa yang lemah. Jangan lagi kita mengulangi ungkapan “Melayu Mudah Lupa”, “Melayu Haprak”, “Janji Melayu” dan sebagainya. Tonjolkanlah kejayaan dan kehebatan yang ada pada bangsa kita agar generasi akan datang merasa malu untuk mengaku sebagai Islam dan Melayu selagi belum memiliki kehebatan tertentu. Anggaplah kelemahan yang ada pada kita sebagai satu cabaran untuk kita melakukan perubahan bukan isyarat kehancuran buat generasi akan datang.
Wahai insan-insan bertaqwa sekelian,
Satu-satunya jalan untuk menjadi bangsa merdeka dan mengekalkan kemerdekaan adalah dengan membentuk masyarakat bertaqwa. Mana mungkin Allah akan mengangkat martabat bangsa yang terus-terusan menderhakaiNya. Apalah gunanya kebebasan fizikal. Jika hati masih terpenjara. Apalah gunanya sorakan kemerdekaan jika di sanubari tiada terdidik sebarang rasa untuk mempertahankannya. Apalah gunanya kibaran bendera merata-rata jika tiada lagi semangat juang untuk mempertahankan agama dan negara. Apa di bangga keamanan dan kemewahan negara jika hari yang berlalu hanya menambahkan dosa.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak