Pada tanggal 30 Jun 2010 (Rabu) dan 1 Julai 2010 (Khamis), dua hari ambil cuti rehat. Bukan sekadar cuti biasa tetapi cuti untuk membantu anak ke dua yang telah mendapat tawaran pengajian di salah sebuah IPTA. Bermula belajar di SK Tiong kemudian di SMK Kota, berjaya dengan 4A 1B STPM 2009, setelah melalui ujian bertulis dan temuduga, anak ini telah di tempatkan dalam Program Ijazah Pendidikan di APEX Universiti (USM ) selama 4 tahun. (Anak pertama, abangnya juga merupakan pelajar SK Tiong dan SMK Kota, kini sedang belajar di RCSI, Dublin, Ireland), Terima kasih buat guru-guru di SK Tiong dan SMK Kota di atas banyaknya jasa tuan mengajar didik mereka ini. Tuan guru yang hebat.
Sepanjang seminggu sebelum cuti juga, banyak masa disediakan untuknya dalam membuat serba sedikit persediaan dan persiapan untuk hari pendaftaran kemasukan nanti. Banyaknya masa, banyaknya tenaga mungkin tak berapa kisah, tetapi banyaknya wang ringgit yang terpaksa dilaburkan demi kejayaan dan masa depan mereka, agak menjadi kisah. Terlintas difikiran, Alhamdulillah, bahawa diri ini masih diberi oleh ALLAH sedikit kelebihan rezeki..lantas dapat menyediakan keperluan barangan dan wang ringgit sekadar yang cukup cakup untuk anak belajar di sebuah universiti.
Lantas persoalan timbul, bagaimana dengan jiran-jiran ku dan yang lainnya di mana anak-anak mereka juga di tawarkan belajar di tempat sebegini. Mereka ini berkerjaya petani dan kerja kampung tanpa pendapatan tetap yang tak seberapa. Tetapi, Alhamdulillah masyarakat kampungku masih peka dengan semangat tolong menolong bantu membantu dalam meringankan beban. Bersama membantu mereka dengan sekadar mampu agar anak-anak ini akan menjadi orang hebat.. akhirnya juga akan memperhebatkan orang kampung ini. Pesan buat anak-anak ini.. apabila menjadi orang hebat nanti kita akan bertambah hebat jika jasa kedua-dua ibu bapa, keluarga dan orang kampung kita kekal dikenangi dan balaslah dengan kemampuan yang ada untuk mereka semua walaupun mereka itu tak pernah meminta balasan.Sentiasalah merendah diri walaupun kita berada tinggi melangit.Kita akan disebut dipuji sentiasa.
Pada hari Jumaat, 2 Julai , saya turut menghantar anak ke USM, Pulau Pinang dengan menaiki BAS SKMK Tranasional di Terminal Langgar. Turut berada di terminal ini adalah bonda kesayangan bersama anak cucu. Adik ketiga (Umi Mah) juga turut menghantar anaknya ke UTM di Skudai,Johor manakala adik kedua (Kak Long) akan menghatar anaknya ke UMK di Pengkalan Chepa keesokan harinya. Semua pendaftaran pelajar baru serentak pada 3 Julai 2010.
Bertolak jam 10.00 pagi melalui lebuhraya Timur-Barat agak memenatkan.. bukan apa..dah berusia katakan. Jika dulu,dengan memandu sendiri kereta pantang dicabar, kemana nak pergi tentu saja bisa di atur dan bisa beres. Sekarang ni, mula lah pakai dreber..penat memanjang. Tiba di Hentian Sungai Nibong, P.Pinang hampir jam 5.00 petang, adik jemput ke rumahnya yang hampir 200 m dengan kawasan USM. Jam 8.00 malam mata dah terlelap pejam tanpa diprogramkan..penat sungguh katakan. Keesokannya jam 8.30 pagi dengan kereta proton persona adik, memandu sendiri ke USM untuk urusan pendaftaran.
Suka cerianya wajah mereka yang diterima masuk untuk menyambung pengajian ini. Cerianya bertambah lagi dengan kehadiran ibu bapa, adik beradik sanak saudara merai bersama kejayaan ini. Penat seolah-olahnya tak kelihatan. Sempat jumpa Kak SOM (dulu sama bekerja di SPA, JPN Kelantan) yang turut menghantar anaknya di Apartmen Desa SAUJANA, tempat tinggl pelajar baru ini. Rupanya sama kursus dengan anak saya. Dari SMK Kota sendiri, terdapat seramai 5 orang pelajar yang berjaya memasuki kursus ini.
Setelah selesai, ibubapa jauh dekat mula beredar untuk kembali pulang ke negeri masing-masing. Sebelum menaiki bas pada jam 9.00 malam , bersama adik, sempat juga di sebelah siangnya menikmati nasi kandar yang sebelum ini tak pernah dirasai oleh orang rumah dan kedua-dua anak yang datang bersama. Jika datang berlima, maka pulang berempat. Jam 5.30 pagi tiba di rumah setelah dijemput oleh Pak Teh di Hentian Bas SKMK Kubang Kerian. Selepas solat suboh, sambung tidur memulih penat badan yang lesu di sepanjang tempoh berkenaan. Syukur Alhamdulillah semuanya selamat.
Buat semua yang turut membantu, ucapan berbanyak terima kasih diucapkan. Kepada semua pelajar di IPT tak kira di mana berada, tunaikan tanggungjawab masing-masing untuk diri, ibu bapa , keluarga dan masyarakat... kerana ANDA adalah Penerus Perjuangan.
1 comment:
bagus nye sains ini ,boleh dirujuk
Post a Comment