Alhamdulillah pada pagi ini, jam 10.00 pagi saya berada di SM Sains Tengku Muhamad Faris Petra, Pengkalan Chepa mewakili YABrs. Tuan Pengarah Pelajaran Kelantan ke Majlis Perasmian "Kempen Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2010. Program anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan ini telah dihadiri oleh seramai hampir 300 tetamu jemputan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan, swasta, pelajar-pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi dan juga orang awam dari negeri ini.
Mengikut pihak penganjur, Kempen Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon ini merupakan salah satu program Jabatan Alam Sekitar ke arah memupuk semangat cintakan alam sekitar serta memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peranan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar terutamanya dalam perlindungan lapisan ozon.
Sebagaimana sedia maklum, Bumi kita dilindungi lapisan Ozon yang nipis di mana ianya bertindak menapis sinaran UV yang berbahaya. Lapisan Ozon adalah terdiri daripada satu molekul yang mengandungi 3 atom oksigen. Ozon wujud secara semulajadi di lapisan atas atmosfera 10-20 batu dari bumi yang menjadi lapisan pelindung dari sinar Ultra Unggu matahari yang merbahaya.Lapisan Ozon dimusnahkan oleh bahan kimia buatan manusia. Pendedahan melampau kepada sinar UV menyebabkan barah kulit, sakit mata dan melemahkan sistem imunisasi. Peningkatan UV mengurangkan hasil tanaman dan rantai makanan marin.
Bahan kimia buatan manusia yang menjadi pemusnah lapisan Ozon ini terdiri dari CFC (Kloroflorokarbon) merupakan sebatian kimia yang mengandungi atom karbon, florin dan klorin. Atom klorin dari CFC boleh merosakkan lapisan Ozon dan ianya akan mengurangkan keupayaan untuk melindungi bumi dari pancaran UV matahari. Pertambahan pancaran UV dari matahari akan mengakibatkan kesan negatif kepada kehidupan di bumi.
Manakala Hidrokloroflorokarbon (HCFC) sama seperti CFC tetapi mempunyai potensi pemusnahan rendah terhadap Ozon. Ianya digunakan sebagai satu penggantian sementara bagi CFC, dan akan dihapuskan pada tahun 2030 nanti. Tetapi bahan kimia yang dikenali sebagai Hidroflourokarbon (HFC) tidak mempunyai potensi pemusnahan kepada Ozon dan lebih mesra Ozon.
Sebagai pengguna, pastikan setiap produk yang dibeli atau digunakan adalah mesra ozon dan tidak mengandungi bahan CFC. Sila pastikan sistem penghawa dingin kenderaan (MAC) anda diservis oleh juruteknik bertauliah di bengkel servis penghawa dingin yang diiktiraf oleh Jabatan Alam Sekitar.Jangan lepaskan refrigeran daripada sistem CFC-12 MAC anda.Ianya adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar ( Pengurusan Refrigeran) 1999. Sebarang pemasaran baru yang menggunakan sistem CFC-12 MAC adalah dilarang di bawah peraturan tersebut. Setiap bengkel servis yang mengendalikan refrigeran CFC untuk sistem MAC hendaklah mempunyai mesin Perolehan dan Kitar Semula (R&R).
Pastikan sistem MAC HFC-134a diservis oleh juruteknik yang bertauliah dibengkel yang telah diiktiraf bagi mengelakkan penambahan (top-up) sistem MAC dengan CFC-12.Juga pastikan sistem MAC HFC-134a tidak diisi atau dicampur dengan CFC-12 refrigeran kerana ia akan mengurangkan jangkahayat kompresor sistem MAC HFC-134a dan merosakkan sistem MAC disebabkan ketidaksesuaian gabungan refrigeran CFC-12 dengan minyak PAG (plyalkylene glycoloil) yang digunakan dalam sistem MAC HCF-134a.
Sumber-sumber pemusnah ozon ialah Metil Bromida digunakan untuk fumigasi tanah, rawatan ke atas kuarantin dagangan terutamanya perabot kayu dan balak, serta penyelengaraan rumput dipadang golf, CFC dalam peti sejuk, CFC dalam sistem penghawa dingin kenderaan, CFC dalam penyembur aerosol, HALON dalam alat pemadam api , CFC dalam alat penyedut bermeter pada pesakit asma, pelarut dalam cucian kering (1,1,1-TCA atau Metil Klorofom )
Itulah antara intipati ucapan yang disampaikan oleh YABrs Tuan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan sewaktu merasmikan Kempen Kesedaran ini.
Sedar tidak kita..bahang panas dunia kini amat berbeza dengan bahang panas ketika kita masih kecil dulu. Rumah tempat tinggal biasanya dikelilingi dengan pokok-pokok hajau sungguh nyaman udara dan sejuk terasa. Yang biasa berkunjung ke Geting Highland atau Cameron Highland, dulu begitu sejuk walaupun jam ditangan menunjukkan pukul 1.00 tengahari, tetapi kini keadaan demikian tiada lagi bahkan ada ketikanya kena pasangkan kipas untuk menyejukkan badan.Kerana apa..sebabnya pokok-pokok ditebang tebas untuk aktiviti ekonomi..tanpa ditanam semula. Oksigen yang banyak dihasilkan melalui proses fotosintesis menjadi semakin berkurangan bahkan Karbon Dioksida semakin menebal..panas semakin menjadi. Samatelahan pula , akibat penggunaan bahan terlarang tadi menyebankan lapisan Ozon yang menjadi dinding turut berlubang dan memudahkan UV menerpa bumi dan terus memanaskannya. Air dikutub mencair dan isipadu air semakin meningkat.
Kita perlu tampalkan balik lubang itu dengan ridak menggunakan bahan kimia buatan yang merosakkan ozon serta hijaukan persekitaran tempat tinggal kita dengan menanam pokok-pokok seolah-olah kita berada dalam kebun.Kita perlu simbiosis dengan makhluk ini.Sebab kita tiada tempat lain lagi untuk berhijrah selagi hayat dikandung badan. Cuma di palanet ini..."SAVE OUR PLANET"..untuk anak generasi kita masa akan datang.
Jika semua orang melestarikan diri, keluarga, masyarakat dan dunia, maka bumi ini akan lestari dengan kebahagian dan kemakmuran. Dan ngatlah kelestarian ini akan menjadi realiti jika manusia itu tahu akan asal usul kejadiannya serta sentiasa patuh kepada peraturan hakiki yang diperturunkan bersamanya...Buat renungan bersama.
No comments:
Post a Comment