(
Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong manakala Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama)
Ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara hari ini.
“BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG.
DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA.”KUALA LUMPUR: 11 April 2012, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang menaiki takhta menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Ia adalah satu-satunya peristiwa kenegaraan tertinggi bagi Malaysia. Peristiwa itu menepati kehendak Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan: "Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan..." Frasa Kepala Utama Negara di bawah Perkara 32(1) itu tanpa sebarang keraguan atau kesamaran meletakkan Raja bagi Persekutuan Malaysia sebagai peneraju utama bagi negara ini.
Peruntukan itu yang sedia sedemikian semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, susulan kepada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Lord Reid selaku pembentuk kerangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Pada masa sama, Perkara 32(2) pula memperuntukkan bahawa "Permaisuri Yang di-Pertuan Agong yang digelar Raja Permaisuri Agong adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong."
Sementara Perlembagaan Persekutuan menentukan format dan bentuk lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di Jadual Keempat, Permaisuri Agong tidak dikehendaki melafaz apa-apa bentuk sumpah jawatan sekalipun Baginda diberi penarafan dan kedudukan tertinggi selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Sultan yang berpeluang ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi kali kedua.
Baginda menduduki takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 1970 hingga 1975, tempoh yang ditransisikan masing-masing oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu dianggap sebagai mercu perlambangan Ketua Negara yang paling tinggi lagi utama.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara merupakan mercu kedaulatan Malaysia.
Semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama, kebudayaan atau kepercayaan sedia terpanggil untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Benar, Seri Paduka adalah Raja berketurunan Melayu yang beragama Islam tetapi daripada sudut kenegaraan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Raja bagi Malaysia dan rakyatnya.
Selepas 1963 semua negeri yang tiada Raja (Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan) secara automatik menerima Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan walaupun tiada perisytiharan dibuat bagi maksud itu.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Raja yang memerintah mengikut nasihat cabang Eksekutif. Seri Paduka sebenarnya mempunyai senarai tanggungjawab dan fungsi yang panjang lagi rumit bagi ketiga-tiga cabang Kerajaan – Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.
Seri Paduka melantik Perdana Menteri, para Menteri dan Timbalan Menteri, Peguam Negara, hakim mahkamah semua peringkat (kecuali mahkamah majistret) dan mentauliahkan para duta Malaysia untuk bertugas di kedutaan seberang laut.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia di samping bertindak sebagai pihak yang boleh mengampunkan atau menangguhkan hukuman bagi semua kesalahan yang dijatuhi mahkamah tentera dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Seri Paduka bukan saja lambang kenegaraan, keutuhan dan kesatuan tetapi juga simbolisme yang penuh daulat.
Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.
Rakyat dan Raja Berpisah Tiada.
(
Hari ini, cuti umum sempat berada didepan LCD TV tonton pertabalan Tuanku )