NKRA capai KPI, kata Perdana Menteri Jun 5, 10 11:50am
Sumber : BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memaklumkan kesemua enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang diperkenalkan pada Julai tahun lepas bagi menjadi kayu ukur prestasi kerajaan, telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Dalam ucapannya pada majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di ibu negara, Najib berkata enam NKRA itu dikenal pasti setelah kerajaan merundingi rakyat dan mendengar keluh kesah serta pandangan mereka.
Enam NKRA itu ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambahbaik pengangkutan awam.
"Alhamdullilah, pucuk dicita ulam mendatang, kesemua enam bidang NKRA yang telah dikenal pasti telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI yang telah ditetapkan," katanya.
Najib berkata langkah-langkah yang diambil dan diperkenalkan adalah bersifat berani dan di luar kelaziman pemikiran biasa bagi merealisasikan matlamat pencapaian NKRA.
Katanya anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) umpamanya telah ditugaskan bersama-sama anggota polis untuk melaksanakan tugas rondaan bagi membolehkan NKRA mengurangkan jenayah dicapai.
Selain itu, katanya, lebih 7,000 pegawai dan anggota polis yang melaksanakan tugas di pejabat telah 'kembali' kepada tugas hakiki mereka yakni dekat dengan orang ramai manakala tugas mereka di pejabat pula diganti oleh lebih 4,000 penjawat awam.
Di bawah NKRA mengurangkan jenayah, KPI yang ditetapkan adalah bagi menurunkan indeks jenayah sebanyak 5 peratus serta jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun ini.
Ternyata hasil daripada langkah-langkah yang diambil amat memberangsangkan di mana pada suku pertama tahun ini, indeks jenayah telah turun sebanyak 15.1 peratus manakala jenayah jalanan sebanyak 39.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, katanya.
"Mudah-mudahan usaha untuk mewujudkan satu persekitaran hidup selamat, aman lagi tenteram kepada rakyat akan mencapai objektifnya," katanya.
Najib berkata selain inisiatif berhubung peranan dan fungsi kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), kerajaan juga memperkenalkan inisiatif bersabit ekonomi melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), sebagai tujahan bagi memastikan wawasan nasional dapat direalisasikan mengikut jadualnya.
Di bawah inisiatif ETP, kerajaan telah menggubal model baru ekonomi sebagai hala tuju yang akan menunjangi dua Rancangan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11 di mana kedua-dua Rancangan Malaysia itu adalah jambatan terakhir yang perlu dilalui sebelum Malaysia tiba ke ambang 2020, katanya.
Katanya kerajaan akan meneruskan langkah-langkah perlu untuk memastikan pertumbuhan yang memberangsangkan berterusan secara mapan serta telah pun memulakan inisiatif untuk memastikan asas kewangan kerajaan berada dalam keadaan yang lebih baik.
Beliau berkata hasil kerajaan perlu ditambah manakala perbelanjaan dibuat secara berhemah serta mampu mendatangkan impak yang paling maksimum kepada rakyat.
"Dalam hal ini, dua prinsip utama yang dipegang utuh oleh kerajaan Tuanku untuk merealisasikan matlamat tersebut ialah, kita tidak akan membebankan generasi akan datang serta akan terus merundingi dan menyelami denyut nadi rakyat apabila mengambil sesuatu keputusan sesuai dengan falsafah rakyat didahulukan," katanya.
Najib berkata kerajaan tidak akan sekali-kali lari daripada tanggungjawab kepemimpinan dan tidak akan mengelak daripada membuat keputusan sukar sekiranya dikala perhitungan genting sesuatu itu dirasakan wajar bagi meletakkan Malaysia di trajektori yang betul.
"Moga-moga tercatit kemas dalam lipatan sejarah kelak bahawa barisan kepemimpinan hari ini adalah generasi yang bertanggungjawab, jauh sekali hendak mensia-siakan amanah yang terjunjung di jemala, apa lagi meninggalkan negara yang longlai kepada pewaris kepemimpinan yang akan datang.
"Pucuk pangkalnya, kita mahu mewariskan kepada generasi hari muka, sebuah Malaysia yang bermartabat dan bermaruah lagi disegani sahabat maupun pesaing. Insya-Allah," katanya.
Najib berkata soal pengukuhan perpaduan nasional diberi perhatian oleh kerajaan kerana menyedari peri penting bahawa tanpa perpaduan nasional yang mantap, wawasan nasional seperti yang diimpikan bersama tidak mungkin akan tercapai.
"Sehubungan itulah, melalui falsafah induk 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang merentas dasar dan pelaksanaan sebagai panduan utama kerajaan Tuanku pelbagai inisiatif dan dasar telah, sedang dan akan dirangka demi kemaslahatan rakyat di bawah lembayung mahkota Tuanku," katanya.
Najib berkata punca kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing adalah kerana ia sentiasa berusaha berada di hadapan keluk kontemporari dan kekinian dan kerajaan bertekad untuk meneruskan strategi yang telah terbukti berkesan tersebut.
"Bertolak dari satu titik di garisan ini, dalam memeta perjalanan seterusnya bagi mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, kerajaan Tuanku berpendirian supaya tidak mengambil sikap dogmatik serta menolak pegangan bahawa hanya kerajaan tahu segala-galanya," katanya.
Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa usaha-usaha mencipta masa depan yang lebih baik untuk rakyat jelata telah mula menampakkan hasilnya.
Angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku pertama 2010 misalnya telah menunjukkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan yakni 10.1 peratus, katanya.
Tambahan lagi, katanya, daya saing negara di peringkat global turut mempamerkan peningkatan yang bersifat lonjakan berganda dan dalam "ranking" "World Competitiveness Report 2010", Malaysia telah meningkat naik prestasi daya saingnya dari tangga 18 pada tahun 2009 ke tangga 10 pada tahun ini.
Katanya kerajaan beriltizam mahu menyaksikan Malaysia naik kepada lima kedudukan teratas dalam senarai daya saing dunia pada masa mendatang.
"Apa yang penting, kita tidak boleh berpeluk tubuh, bersimpuh dan membiarkan peluang berlalu begitu sahaja. Kita harus bertungkus-lumus untuk mencapai sasaran," katanya.
- Bernama
< p.s.: Sudah tentunya apabila ada kemahuan maka ada jalannya, usahakan dengan perancangan untuk berjaya. bagi Tuan pengamal pendidikan, kesan P & P cemerlang dalam bilik darjah akan bernatijahkan pelajar yang hebat dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Tidak akan ada lagi pepatah "jika guru kencing berdiri, maka anak muridnya tentu kencing berlari".Guru yang hebat tidak lagi akan kencing berdiri sama telahan di tempat terbuka ditepian jalan sewaktu perjalanan >
No comments:
Post a Comment