Zaadut
Seorang jururawat dari Amerika Syarikat bercerita mengenai perjalanannya memasuki agama suci kita, Islam.
Pertama
kali aku mendengar bicara mengenai Islam ialah ketika sedang menonton
satu program di TV. Aku ketawa mendengar apa yang diperkatakan oleh
mereka.
Setahun selepas itu, sekali lagi aku mendengar tentang ajaran Islam. Kamu tahu di mana? Di hospital tempat aku bekerja.
Hari
itu sepasang suami isteri datang membawa seorang wanita tua yang sakit
tenat. Si isteri duduk di hadapan tempat dudukku memerhatikan aku
menjalankan tugasku. Aku perhatikan dia benar-benar dalam keadaan resah.
Sekali sekala dia mengesat air matanya yang tak henti-henti mengalir.
Acuh
tak acuh aku bertanya kenapa dia begitu sedih dan menangis tak
henti-henti? Katanya, dia dan suami datang dari jauh, mencari tempat
untuk merawat ibu mertuanya. Sambil bercakap dia tidak reda menangis dan
berdoa agar ibu mertuanya sembuh dan kembali pulih.
Aku
tergamam. Kagum dan kaget. Dia datang dari jauh bersama suami
semata-mata bertujuan untuk merawat ibunya. Tiba-tiba aku teringatkan
ibuku. Aku bertanya kepada diri sendiri, di mana ibuku? Sudah empat
bulan aku tidak bertemu dengannya dan sampai saat ini aku tidak terfikir
untuk menziarahinya. Itu ibuku sendiri, bagaimana pula kalau ibu
mertuaku?
Sungguh.
Aku benar-benar kagum melihat suami isteri ini, lebih-lebih lagi
keadaan ibu sangat tenat, harapan untuk hidup dan sembuh terlalu tipis.
Dan yang lebih mengkagumkan aku ialah si isteri. Apa masalah dia, walhal
yang sakit ibu suaminya. Buat apa dia menyusahkan diri memberi
perhatian kepada wanita tua yang bukan ibunya, pada hal dia seorang
perempuan muda dan cantik? Kenapa?
Itulah
persoalan yang berlegar di dalam benakku. Segenap ruang dalam fikiranku
seoalah-olah dipenuhi persoalan itu sahaja! Aku bayangkan diriku berada
di tempat wanita tua yang sedang bertarung dengan kematian itu.
Alangkah bahagianya ku rasa! Alangkah beruntungnya wanita tua itu!
Sungguh aku cemburu akan keberuntungannya! Suami isteri yang baik itu
berada di sisinya sepanjang waktu. Panggilan telefon dari luar pula
hampir tidak putus bertanyakan hal keadaan ibu tua yang sedang sakit
tenat.
Suatu
hari ketika aku masuk ke ruang menunggu, aku dapati si isteri sedang
bersendirian di situ. Aku menggunakan kesempatan itu untuk bertanya
beberapa soalan yang aku inginkan jawapannya. Aku begitu terpukau
mendengar penjelasannya tentang hak ibu bapa di dalam Islam dan betapa
Islam mengangkat darjat kedua-duanya serta bagaimana sepatutnya kita
berinteraksi dan melayani kedua-dua ibu bapa.
Beberapa
hari kemudian ibu tua pun meninggal dunia. Wanita muda dan suaminya
menangis sekuat-kuatnya seperti kanak-kanak yang masih kecil.
Selepas
itu keadaan suami isteri muda dan hak ibu bapa dalam Islam terus
menghantui fikiranku. Aku menulis surat kepada sebuah pusat Islam
meminta buku-buku mengenai hak ibu bapa dalam Islam. Setelah membacanya,
aku hidup dalam mimpi indah yang tidak pernah pergi dari sisiku.
Aku
bayangkan aku seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang sangat
menyayangiku, sentiasa mengambil berat tentang diriku dan berbakti
kepadaku sehingga ke penghujung usiaku tanpa mengharap apa-apa balasan
daripadaku. Dengan mimpi yang indah itu membuatkan aku terus
mengisytiharkan keislamanku walaupun aku belum mengetahui apa-apa
tentang Islam kecuali hak ibu dan bapa. Alhamdulillah aku telah
berkahwin dengan seorang lelaki yang juga baru memeluk Islam dan kini
telah dikurniakan beberapa orang anak yang aku sentiasa doakan
kesejahteraan mereka.
Sumber: http://www.way2jana.com
No comments:
Post a Comment