Amat memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut:
"Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena
buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua".
Ungkapan ini lahir
dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar
difahami dan sukar untuk diamalkan. Ini berpunca dari cara pengajarannya
yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak.
Dengan
kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah,
bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan
mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh
setiap lapisan manusia.
Jika tidak bagaimana mungkin Islam
menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira
lantar kehidupan dan pendidikan.
Antara cuai dengan memayahkan
Memang,
mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang
cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih
adalah kesalahan dalam agama.
Namun begitu, menjadikan agama
begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh
nas-nas agama juga satu kesalahan. Firman Allah (maksudnya):
Mereka
yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) nabi yang ummi, yang mereka
dapati dia tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan
Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan
perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan
perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda
yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan
dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang
ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)
Firman
Allah lagi (maksudnya): Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan
Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).
Firman Allah juga (maksudnya): Allah (sentiasa) hendak meringankan
(beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan
lemah. (Surah al-Nisa: 28).
Menyusahkan gambaran Islam
Saya
tidak ingin membicarakan tentang golongan yang cuai terhadap agama. Ini
telah banyak diperkatakan oleh ustaz-ustaz kita. Saya bicarakan tentang
sikap sesetengah pihak yang cuba menonjolkan Islam seakan ia agama yang
begitu sukar untuk dihayati, dan seakan tidak akan sampai ke dataran
Islam ini melainkan beberapa kerat manusia sahaja.
Maka
hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami,
apatah lagi untuk dihayati. Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa
hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan lamanya.
Ia diajar dengan cara yang sukar disebabkan berbagai faktor.
Salah satunya; tokok tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam
sentiasa keliru dan tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai ayat
dan peraturan yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh
hadis-hadis Nabi SAW yang sahih.
Ini seperti menetapkan berbagai
bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula
bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan
tertentu.
Demikian juga kecenderungan sebahagian
pengajar hukum-hakam syarak untuk menjatuhkan hukuman haram dan batal
amalan seperti terbatal akad nikah hanya kerana terputus nafas, atau
terbatal solat kerana pergerakan lebih dari tiga kali, terbatal puasa
kerana berenang dalam kolam dan seumpamanya.
Sedangkan nas-nas
al-Quran dan al-Sunnah tidak pun menyatakan demikian. Di samping itu,
kecenderungan memperincikan perkara yang tidak perlu sehingga ramai yang
jadi keliru. Umpamanya memperincikan syarat niat yang bukan-bukan.
Sehingga
ada buku yang menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang
faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur. Pada hal setiap aktiviti
insan secara sedar mempunyai niat.
Maka dengan itu kita katakan
"membunuh dengan niat", sekalipun si pembunuh tidak melafazkannya
secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal syarat niat.
Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali bertakbir dalam
solatnya.
Kononnya, belum masuk niat. Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat?
Demikian
juga memperincikan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan
perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang
menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab
wuduk belum habis dibincangkan.
Ekslusifkan agama
Pendekatan
ini menyebabkan Islam menjadi eksklusif seakan hanya untuk sekelompok
manusia sahaja. Sementara selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa
bertaklid buta disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami apa sahaja
hal ehwal agama ini kerana akal mereka tidak kesampaian.
Sebenarnya,
bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah
melanggar garis panduan Nabi SAW lantas menyanggahi logik insan. Hal ini
berbeza dengan arahan baginda SAW.
Baginda bersabda: "Agama itu
mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi
susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah
mereka." (Riwayat al-Bukhari)
Pendekatan Nabi
SAW adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin manusia
merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini.
Antaranya baginda
mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan keadaan
makmun yang berbagai di belakangnya. Baginda bersabda:
"Wahai manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan
orang lari. Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk
orang ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua,
lemah dan yang mempunyai urusan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pendekatan
yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam masalah pengajian
akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi oleh falsafah lama
yang kadangkala tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan
kepada kepenatan akal dan kecelaruan sahaja.
Ini seperti Allah
ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak
berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan
falsafah-falsafahnya yang memeningkan.
Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadang-kala guru yang mengajar pun tidak faham.
Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: "Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya."
Maka
tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya:
Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada?
Maka akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.
Akidah itu mudah difahami
Akidah
Islam adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran
dan al-Sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu,
sangat jelas dan tidak berbelit-belit.
Dalam hanya beberapa
ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep akidahnya, tidak
perlu memayah-mayah. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah
adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk difahami oleh semua
lapisan umat.
Ini kerana memahami akidah satu kemestian termasuk
yang buta huruf, Badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan
yang terpelajar dan cerdik pandai.
Maka tidak hairanlah pada
zaman Nabi SAW, para perwakilan yang datang mengambil ajaran Islam dari
baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu mengislamkan
keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan mudah.
Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami
oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam
yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk
memahaminya?
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Tambahan pula,
perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk
memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah....Lebih daripada itu
perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunani dan cara
Yunani dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf
mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka."
(Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, ms. 92, Beirut: Muassasah al-Risalat)
Sebab
itu, barangkali dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur.
Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan. Proses pemulihan akidah
pun dalam banyak rekodnya adalah gagal.
Ini kerana kita banyak
berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-Sunah.
Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbing jiwa dan akal secara
fitrah. Bukan falsafah yang menyusahkan.
Ruang untuk semua
Ramai
orang muda atau profesional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya.
Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah
apa yang hendak disampaikan.
Anda tidak diwajibkan berkopiah,
atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda selesa. Bukan syarat masuk
ke masjid mesti berketayap. Jangan kita letakkan syarat hendak memahami
agama ini yang bukan-bukan.
Nanti ramai yang tidak sampai
maklumat Islam kepadanya. Atau syarat-syarat itu akan menjadi peraturan
yang dianggap agama, akhirkan diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja
sebahagian wanita Muslimah kita, mereka sekalipun telah menutup aurat,
namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat.
Bahkan
ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung
itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi
menutup aurat.
Kehidupan Islam praktikal
Demikian
sebahagian buku atau filem menggambarkan seorang saleh dalam rupa yang
sempit. Digambarkan insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa
mengasingkan hidupnya dan beruniform berbeza dengan orang lain.
Ini
seperti apabila ditonjolkan watak orang saleh ialah lelaki yang
berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia
biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya.
Adakah
Nabi SAW dan para sahabahnya berwatak demikian sehingga kita jadikan
itu ciri-ciri orang saleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang
tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riyak dalam amalan?
Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan:
"Di kalangan golongan zuhhad (golongan
sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan
membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia
tidak mementingkan dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk)."
(Ibn Jauzi, Talbis Iblis, ms 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)
Lebih
buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak
praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat
manusia ajaib sahaja.
Demikian juga, kadang-kala buku-buku
kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu
sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa.
Pengamal
Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan
dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam.
Padahal
Nabi SAW dan para sahabah tidak demikian rupa kehidupan mereka.
Sehingga Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam
al-Ghazali RH dengan katanya:
"Apa yang dapat difahami dari
himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan
yang kuat - sekalipun secara tidak langsung - bahawa insan contoh di
sisi al-Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang
dikenali oleh para sahabah RA, yang difahami dari al-Quran, al-Sunah dan
sirah.
Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan
yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan
Tuhannya, antara meningkatkan roh dan berkhidmat kepada masyarakat,
antara menikmat nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah Taala, antara
beribadah dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan
rezeki-Nya, yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal
untuk akhirat seakan akan mati esoknya." (Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, ms 164, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Mesti bersifat alternatif
Apabila
ada wartawan bertanya saya tentang; adakah ubat tertentu haram kerana
kononnya ada najis tertentu, saya jawab, begitulah kita berterusan, jika
asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan dalam masa kita
tidak berusaha menjadi pengeluar.
Maka sempitlah umat ini dengan
keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara. Sebelum menjawab saya
ingin kata: kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu
bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah
memerdekakan umat.
Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita
hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk
kebaikan manusia.
Dalam usaha menarik semua
lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat,
Islam yang mudah dan praktikal seperti mana wajahnya pada zaman
teragungnya iaitu era Nabi SAW dan para sahabah baginda.
Jika
tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok
tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.
PROF
MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini
pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian
rasmi
Malaysiakini.