SUNGAI PETANI, 1 Okt (Bernama) -- Hidangan ayam masak merah yang dihidangkan dalam kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini Sabtu lepas dicemari bakteria Salmonella, menyebabkan empat kematian dan ratusan lagi keracunan makanan setakat ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata bakteria itu ditemui di dalam spesimen hasil bedah siasat ke atas mangsa dan sampel yang diperoleh dari tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati ayam yang diguna untuk majlis perkahwinan itu tidak disimpan dengan baik dan dibiar pada suhu bilik selama semalaman, sebelum dimasak pada hari kenduri, katanya dalam sidang media di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini petang tadi.
Katanya berdasarkan keterangan tuan rumah, kira-kira 130 ekor ayam dibeli pada Jumaat dan digoreng sebelum disimpan di dalam sebuah bilik pada suhu biasa.
"Ini menyebabkan ayam tersebut dicemari dan dijangkiti bakteria Salmonella. Ayam itu berbau bila hendak dimasak keesokan harinya, tetapi tuan rumah mahu memasak kerana bimbang makanan untuk tetamu tidak mencukupi," katanya.
Beliau berkata mangsa yang makan makanan tercemar itu tidak mengalami simptom keracunan pada kadar segera sebaliknya bakteria Salmonella hanya meragam selepas lebih 12 jam sebelum menjadi keracunan, menyebabkan mangsa mengalami cirit-birit, loya, muntah, perut memulas dan kehilangan air dalam badan secara teruk.
Katanya setakat ini 200 mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital berdekatan sekitar daerah ini dan daripada jumlah itu 127 pesakit mendapatkan rawatan di HSAH dengan 38 dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata 127 lagi pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Yan dengan 62 orang ditahan untuk rawatan lanjut dan selebihnya dibenar pulang selepas mendapat rawatan.
Dr Ismail berkata seorang pesakit lelaki berusia 58 tahun kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH.
"18 kes pesakit dirujuk ke Hospital Sik dan Baling ekoran keadaan Hospital Yan tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai. Saya nasihatkan mangsa yang mempunyai simptom keracunan makanan selepas makan kenduri di rumah tersebut agar tampil mendapatkan rawatan segera.
"Saya berharap pengendali makanan untuk kenduri menyimpan makanan atau bahan mentah secara betul dan menitik berat aspek keselamatan makanan agar perkara sama tidak berulang," katanya.
Semalam, tiga mangsa keracunan makanan meninggal dunia selepas menghadiri satu majlis kenduri kahwin itu manakala hari ini seorang lagi meninggal dunia.
Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, yang meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam dan Mohammad Nor Rahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia kira-kira 1 petang.
Seorang lagi mangsa Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di HSAH kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Hari ini, Wan Razali Yaakob, 56, dari Kampung Banggol Belau, Merbok disahkan meninggal dunia pukul 7.15 malam selepas dimasukkan ke ICU HSAH pagi semalam.
-- BERNAMA
MKF KAY NM
No comments:
Post a Comment