Tinggal beberapa detik lagi akan tibalah Hari Jumaat di mana bermulalah tahun baru Mesihi 2010, yang telah meninggalkan tahun 2009 yang penuh dengan kenangan suka duka menjadi sejarah untuk diteladani.Kejayaan akan menjadi aspirasi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh jujur dan amanah manakala kelemahan akan terus diperbaiki untuk menuju kecemerlangan. Tiada kegagalan dalam bekerjaya cuma matlamat yang dihasratkan tidak dapat dicapai sepenuhnya.Oleh itu perancangan untuk berjaya adalah amat perlu dibuat dan dilaksanakan untuk mencapai segala matlamat tersebut.
Tahun 2010 adalah tahun yang penuh makna dalam merealisasikan dasar pendidikan.Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang bermula tahun 2006 akan berahir pada tahun ini. Dasar 60:40 pencapaian Sains dan Teknologi Negara juga perlu direalisasikan pada tahun ini. Juga begitu di peringkat JP Kelantan, Pelan Pembangunan Pendidikan Kelantan (3PK) yang bermula asasnya tahun 2006 juga akan berakhir pada tahun ini.Di dalamnya tercatat visi sebagaimana yang dipaparkan pada header blog ini iaitu "Cakna Pendidikan Kelantan Tersohor 2010".Masa yang dah tak sampai 365 hari ini penuh dengan cabaran.Cabaran agak getir untuk mencapai kejayaan.
Bermula langkah mengatur strategi dan olahan pendekatan semestinya semua yang terlibat dalam menterjemahkan kecemerlangan ini bersiap siaga dengan tumpuan dan komitmen daya juang yang tinggi, tanpanya kita hanya melihat kejayaan itu berada di atas kertas sahaja. Kejayaan hanya dapat dicapai sekiranya gembelingan tenaga dan buah fikiran, hatta wang ringgit dilaburkan untuk tujuan suci ini. Kejayaan anak bangsa akan menjadi kebanggaan kita semua.
Pada tanggal 3 Januari 2009, Hari Ahad, bermulalah sesi persekolahan tahun 2010. Guru datang dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menabur jasa, pelajar datang dengan penuh bersedia untuk merebut sebanyak ilmu, manakala ibu bapa sibuk menghantar anak supaya anaknya menjadi anak yang berjasa kepada mereka.Menjadi anak yang terpelajar lagi terdidik menyejukkan hati.
Semestinya pihak pentadbir sekolah bersama guru dan kakitangan telah menyediakan segala keperluan dengan selengkapnya.Pejabat, Bilik Guru, Bilik Darjah, Bilik Mesyuarat, Bilik Buku Teks, Bilik Sukan,Kantin, Makmal Sains,Makmal Komputer, Bengkel Kemahiran Hidup,bilik ERT, Dewan, Dewan Makan, surau serta bilik lain yang berkaitan cukup lengkap dengan keperluannya seperti kerusi meja, papan tulis, lampu, alat tulis, bekalan air dan lain-lainnya. Juga tidak lupa tentang tandas bersih lagi berfungsi.
Semestinya juga pihak sekolah lebih bersedia untuk menerima pelajarnya yang datang dari pelbagai ragam manusia. Mendidik mereka menjadi insan bertaqwa, walaupun ada di kalangan mereka agak rendah tentang kebolehan akademiknya.Pelajar yang datang ini penuh semangatnya untuk menuntut ilmu, mereka telah menyediakan kelengkapan persekolahan mereka dalam cuti persekolahan akhir tahun 2009, begitu sibuk ibu bapa atau penjaga mereka menyediakan uniform sekolah, kasut stokin, pensil pen, beg dan seumpamanya.Banyak belanja dihabiskan. Justeru, semangat belajar oleh pelajar ini perlu dikekalkan sehingga ke penghujung tahun 2010. Peranan Guru amat penting dalam perkara ini, kerana ketidakcanaan guru dan sekolah dalam mengekalkan semagat belajar ini akan melunturkan harapan mereka, akhirnya gejala ponteng dan masalah displin akan berulang lagi.Jika tak percaya, peratus hadir sekolah pada hari pertama,minggu pertama ini akan capai 100 %.
Semestinya lagi, mulai hari pertama sesi persekolahan ini, P & P guru wajib dilaksanakan di mana Jadual Waktu Kelas, Jadual Waktu Persendirian,Sukatan Pelajaran,Rancangan Pelajaran,Buku Teks, Buku Rancangan Mengajar,Buku Jadual Kedatangan Murid, Penyata Kamjuan Murid, Kad Kesihatan Murid telah disediakan Guru melaksanakan P & P secara terancang akan mengelakkan bebanan kerja dan memudahkan pembelajaran pelajar. Mulai hari ini, guru perlu menumpukan tugasnya hanyalah untuk menjayakan P & P secara berkesan melalui pelbagai pedagogi dan kaedah, menyampai ilmu, memberi tugas kepada pelajar, menyemak hasil kerja pelajar, memupuk nilai murni disamping sentiasa momotivasikan pelajar ke arah mencapai kejayaan dalam hidup mereka nanti.
Khusus buat sahabat, guru sains, sebagaimana sedia maklum bahawa belajar sains adalah berbeza dengan belajar mata pelajaran lain kerana sains memerlukan amali.Oleh itu, bagi mata pelajaran sains, fizik, kimia dan biologi melakukan amali di makmal adalah "wajib" ke arah menghayati Kemahiran Proses Sains dan Kemahiran Manipulatif di samping penerapan nilai murni yang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung. Peralatan bahan yang sedia ada digunakan dengan melibatkan kerjasama Pembantu Makmal. Pelajar membuat laporan amali dalam buku laporan amali dan guru mata peajaran perlulah menyemak dan menanda hasil kerja pelajar di bawah kawalan mereka.Insayaallah, pelajar sains yang baik akan dapat dihasilkan.
Di samping itu, sekolah perlulah sentiasa diceriakan dengan manusia dan persekitarannya. Suasana kondusif itu adalah produktif.
Bersama bertekad menjaya kecemerlangan untuk UPSR, PMR, SPM dan STPM tahun 2010. Tentunya nanti anda tersenyum bangga atas kejayaan mereka.
Teringat akan ucapan YABr. Tuan Pengarah Pelajaran Kelantan sempena sambutan Maal Hijrah 1431H Peringkat Jabatan pada 21 Disember 2009, dengan memfokuskan pengisian tahun 2010 ini kepada:
1. Gerakan Memperkasakan 3M dan LINUS
2. Meningkatkan Kualiti Kepimpinan Pengetua/Guru Besar
3. Meningkatkan peranan dan penglibatan kakitangan sokongan
4. Memperkasakan Latihan dan Pedagogi Guru Mata Pelajaran
5. Meningkatkan kuantiti dan kualiti Peperiksaan Awam
6. Menangani Masalah Displin pelajar
Tanpa cekal usaha , kejayaan tak sampai kemana.
Kepada Tuan, rakan seperjuangaan dan pengunjung blog ini, terima kasih atas kesudian mengunjunginya dan sekiranya terdapat kelemahan, insyaallah saya akan sentiasa update agar blog ini lebih kontemporari dan dipenuhi dengan bahan ilmu untuk manfaat bersama. Sebarang komen atau cadangan, amatlah saya alukan.
Langkah pertama kita pada 1 Januari 2010, hari ini, merupakan langkah menuju kejayaan dan kecemerlangan dalam kerjaya kita bersama.Siap siaga mencapai cita. Terima kasih dan Happy New Year 2010.
Perbezaan Rumpai dan Rumput Laut
2 days ago
No comments:
Post a Comment