Sunday, April 18, 2010

Menyempurnakan Akhlak



Adab membentuk peribadi dalam Islam
3 Jamadil Awal 1431H.
Ahmad Baei Jaafar

Setiap orang yang dilahirkan ke dunia ini dibekalkan dengan akhlak semula jadi. Mereka ada nilai kasih sayang, nilai pemurah, nilai simpati dan nilai kawan. Tetapi semua nilai ini belum sempurna selagi tidak diberi suntikan iman dan Islam.

Umat Islam pada zaman awal Islam mewarisi akhlak Arab Jahiliah dan Arab Badawi, namun Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah mereka menjadi manusia yang paling sempurna. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الاَخْلاَقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Rasulullah Berjaya membina akhlak mulia dalam kalangan para sahabat, malah Arab Badawi yang kasar juga dapat dibentuk supaya menjadi murni. Akhlak Rasulullah sendiri berjaya menarik minat orang lain untuk menerima Islam.

Wanita Yahudi yang sering memarahi Rasulullah dengan pelbagai tuduhan buruk, meletak halangan najis pada laluan Baginda, pada suatu hari jatuh sakit. Baginda yang menyedari laluannya tidak ada halangan najis dan sebagainya cuba bertanya orang ramai akan keadaan wanita itu.

“Wanita itu sakit,” jawab mereka.

Mendengar berita sakit itu, Baginda terus menziarahinya. Akhlak Baginda yang tidak ambil hati terhadap sikap wanita itu, menyebabkan wanita itu jatuh hati kepada Islam. Akhlak sebaik Rasulullah itulah yang harus kita warisi pada hari ini.

Akhlak Islam dibina dengan adab-adab yang baik. Adab dalam Islam mencantikkan setiap perjalanan hidup umat Islam dalam memenuhi aturan dan syariat. Orang Islam yang menghiasi diri dengan adab perilaku ataupun perbuatan yang bersopan.

Dalam pergaulan Islam menyediakan beberapa adab dan contoh seperti:

1
Adab sopan dalam bercakap
Tidak berbohong, mengumpat dan buat fitnah.

2
Adab hormat-menghormati sesama manusia
Orang besar mengasihi orang kecil dan orang kecil memuliakan yang besar

3
Adab berpakaian (Jilbab, Hijab, Niqab)
Menutup aurat

4
Adab dalam keluarga
Anak dengan ibu bapa dan adik beradik

5
Adab ketika berhadapan orang yang meninggal dunia
Membaca doa untuk kebaikan arwah dan keluarga

6
Adab memberi salam
Orang di atas kepada yang di bawah, orang kecil terhadap orang besar

7
Adab menepati janji
Masa dan tempat, meminta maaf jika gagal

8
Adab mengucapkan selawat ke atas Nabi
Menyebut dengan baik

9
Adab antara bukan mahram
Tidak berkhalwat dan menyentuh tubuh antara satu sama lain

Adab-adab itu boleh didapati dalam kitab-kitab akhlak Islam terutama yang ditulis oleh Imam al-Ghazali.

Kata ku... MENGAPA MANUSIA MASIH BEGITU BEBAL UNTUK MEMAHAMINYA APATAH LAGI UNTUK MENGAMAL DAN MENGHAYATINYA...fitnah adu domba khianat masih lagi menjadi budaya...Ya ALLAH jauhilah hamba MU ini dari perlakuan sedemikian.

No comments:

Post a Comment