Pelaksanaan PBS tidak bebankan guru
Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran
menjelaskan guru tidak akan berasa terbeban sekiranya memahami konsep
perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).Kenyataan Lembaga Peperiksaan menyebut, daripada kajian soal selidik
yang dijalankan mengenai kesediaan guru melaksanakan PBS secara dalam
talian (online) pada September lalu mendapati 84.2 peratus
daripada 46,929 guru Tingkatan 1 sekolah menengah seluruh negara
memahami konsep PBS.Kira-kira 90.7 peratus daripada 89,618 guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah
rendah juga didapati memahami konsep dan cara melaksanakan PBS.
''Kira-kira 9,006 atau 10 peratus guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah
rendah dan 7,979 atau 17 peratus guru Tingkatan 1 di sekolah menengah
jelas tentang konsep Pentaksiran Sekolah iaitu komponen akademik PBS,"
menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, guru juga kurang
memahami mengenai cara melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses
pengajaran dan pembelajaran (pentaksiran formatif). Hal ini demikian kerana, kesukaran guru membina instrumen pentaksiran
yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan kebiasaan
menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel.
"Pengurusan evidens murid dalam PBS yang dikatakan memakan
masa yang banyak dan ruang yang besar adalah perlu bagi memastikan
penguasaan murid dalam pembelajaran direkod untuk melihat pertumbuhan
dan perkembangan murid sepanjang tempoh persekolahan'', kata kenyataan
itu.
Bagi mengatasi permasalahan itu, Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Fail Showcase (FS) diperkenalkan.Pendekatan itu membolehkan seorang murid memiliki sebuah FPM sahaja untuk menyimpan evidens bagi semua mata pelajaran yang dipelajarinya. FS merupakan fail menyimpan evidens terbaik bagi semua deskriptor untuk setiap mata pelajaran dan digunakan sebagai rujukan piawai evidens serta disediakan mengikut tahun atau tingkatan bergantung kepada keputusan Jawatankuasa PBS sekolah.
Pada masa yang sama, kesukaran guru mengakses Sistem Pengurusan PBS
telah dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada masalah yang
dihadapi guru. Langkah interim (bersifat sementara) yang telah diambil oleh
Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah tersebut adalah dengan
menyediakan hosting khas yang berasingan bagi Sistem Pengurusan PBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
"Proses migrasi hosting bagi sistem tersebut telah selesai
dilaksanakan pada akhir September lalu dan didapati sistem tersebut
setakat ini stabil serta boleh diakses," jelasnya.
Sementara itu, bagi memastikan guru Tahun 1, 2 dan 3 dan Tingkatan 1
dan 2 memahami dan boleh melaksanakan PBS sebelum 31 Disember ini,
Lembaga Peperiksaan telah merangka pelan tindakan penambahbaikan
pelaksanaan PBS. Antara perancangan tersebut termasuklah menyediakan Latihan Hands-on PBS secara in-situ kepada pejabat pendidikan daerah dan guru contoh PBS di seluruh negara. Latihan ini dijalankan mulai pertengahan Oktober hingga pertengahan Disember ini.
Lembaga Peperiksaan juga akan menyediakan bahan sokongan dan khidmat
pementoran PBS dalam talian bertujuan membantu guru memahami dan boleh
melaksanakan PBS seperti yang dihasratkan sekali gus mengurus perubahan
yang berlaku dengan baik setelah memahami konsep agar mudah melaksanakan
PBS nanti.
salam, sekadar nak berkongsi Borang Transit PBS yg fleksibel untuk semua subjek di http://eformrpm-pbs.blogspot.com
ReplyDelete