Tuesday, November 8, 2011

Saya antara peminat tinju..



KUALA LUMPUR – Bagi anak-anak yang lahir di zaman millenium ini, mungkin mereka tidak pernah mendengar nama Muhammad Ali,Joe Frazier dan lainnya sebagai peninju lagenda yang pernah berjaya menarik berbilion manusia di seluruh dunia untuk bertumpu kepadanya selama beberapa jam.

Bagi penggemar sukan tinju, nama Joe Frazier atau nama timangannya, “Smokin’ Joe”, begitu hebat dipuja sebaris dengan lagenda tinju nombor satu dunia, Muhammad Ali, yang menjadi seteru utamanya di gelanggang pertandingan tinju kategori heavyweight dunia selama hampir dua dekad.

Pertarungannya sebanyak tiga kali dengan Muhammad Ali ‘memaksa’ seluruh dunia untuk berada di depan kaca televisyen masing-masing dan menyebabkan hampir semua aktiviti tergendala untuk beberapa jam sehingga perlawanan mereka selesai.

Perlawanan pertama antara Joe Frazier dengan Muhammad Ali berlangsung pada 8 Mac 1971, di mana aksi penuh mendebarkan terhidang di sepanjang 15 pusingan merebut kejuaraan tinju heavyweight di Madison Square Garden, New York, yang dipenuhi ratusan ribu penonton dari seluruh dunia.

Dilahirkan pada 12 Januari 1944 di Beaufort, South Carolina, Joe Frazier begitu digeruni lawan dengan tumbukan ceduk tangan kiri yang kencang dan mampu menumbangkan lawannya dengan sekali hayunan sahaja.

Pertandingan yang digelar sebagai “Fight Of The Century” itu berlangsung sengit menyaksikan rahang Muhammad Ali bengkak teruk menerima penangan tumbukan ceduk Joe Frazier pada pusingan terakhir perlawanan tersebut yang membantu kemenangan beliau yang pertama terhadap seterunya itu.

Bagaimanapun, kedua-dua lagenda tinju tersebut kemudiannya dikejarkan ke hospital selepas pertandingan berakhir.

Perlawanan kedua antara mereka berlangsung pada 28 Januari 1974 di lokasi yang sama di mana Muhammad mahu membalas dendam atas kekalahan pertamanya tiga tahun lalu.

Meskipun pertarungan kali kedua ini bukanlah menawarkan kejuaraan tinju heavyweight yang ketika itu menjadi milik George Foreman, namun kehangatannya jelas terasa apabila kedua mereka bertikam lidah dan saling memaki hamun sebelum perlawanan bermula lagi.

Kali ini, mengambil pelajaran dari perlawanan pertamanya, Muhammad yang menyedari bahaya tumbukan ceduk Joe, bijak memilih strategi mengelak ke kanan lawannya dan menyaksikan beliau menebus kekalahan pertamanya dengan memenangi pertarungan kedua itu.

Klimaks pertembungan Muhammad Ali – Joe Frazier berlangsung setahun kemudiannya di Quezon City, Manila, Filipina, yang menyaksikan sekali lagi seluruh dunia meninggalkan aktiviti masing-masing serta bertumpu kepada kedua peninju terhebat dunia itu.

Digelar “Thrilla In Manila” berlangsung pada 1 Oktober 1975, pertarungan finale antara kedua peninju tersebut diadakan bagi menentukan siapakah yang paling layak bergelar ‘Juara Heavyweight Sebenar Abad ke-20’ setelah keputusan pertarungan mereka sebelum ini terikat 1 – 1.

Pada peringkat awal dan pertengahan pertarungan, Joe menampilkan aksi meyakinkan dengan mengawal gelanggang dan memaksa lawannya itu bertahan sepenuh kudrat dari terkena tumbukan maut dari sebelah kiri.

Bagaimanapun, selepas pusingan kesepuluh, Joe mula keletihan dan menyebabkan Muhammad mengambil kesempatan tersebut untuk meng’hadiah’kan beberapa kombinasi tumbukan pada tepat dibahagian muka dan matanya.

Pada pusingan ke-12, meneruskan momentum asakan, Muhammad bertubi-tubi menyerang hingga menyebabkan muka Joe Frazier bengkak teruk, terutamanya di bahagian yang hampir dengan mata.

Melihat lawannya cedera dengan penglihatan yang semakin terhad akibat bengkak-bengkak, Muhammad tidak melepaskan peluang untuk terus membelasah Joe dengan tumbukan yang mengenai bahagian mulut dan menyebabkan penampan gigi lawannya itu tercabut ‘terbang’ ke arah penonton.

Baki dua minit pada pusingan ke-13 itu dipergunakan sepenuhnya oleh Muhammad Ali menyebabkan mulut Joe Frazier mengalami kecederaan teruk sehingga akhir pusingan tersebut.

Pada pusingan ke-14, Joe Frazier masuk ke gelanggang dengan pandangan yang hampir kelam, ditambah pula dengan tumbukan Muhammad Ali yang hampir pada mata sebelah kanannya menyebabkan beliau terhoyong-hayang dan hampir rebah ke lantai gelanggang.

Melihat keadaan Joe Frazier tersebut, pengurus beliau, Eddie Futch, membuat keputusan untuk meminta pengadil menghentikan perlawanan epik tersebut walaupun beberapa kali dibantah oleh anak didiknya itu.

“I want him boss..(Saya mahukan dia boss..),” kata Joe Frazier kepada pengurusnya dengan baki semangat juang yang ada sebelum Muhammad Ali kembali ke sudut gelanggang dan membuka sarung tinjunya.

“It’s all over. No one will forget what you did here today (Semuanya sudah berakhir, tiada sesiapa yang akan melupakan apa yang awak buat di sini hari ini),” kata Eddie sayu melihat peninju yang dilatihnya itu.

Meskipun kemenangan memihak kepada Muhammad Ali, peninji lagenda dunia nombor satu itu tetap memberikan penghormatan beliau kepada “Smokin’ Joe” dengan menyifatkannya sebagai lawan paling hebat yang pernah dihadapinya.

“He is the greatest fighter of all times, next to me..(Beliau adalah peninju paling hebat untuk selamanya, selepas saya..),” kata Muhammad Ali selepas menewaskan seteru utamanya itu.


“Thrilla In Manila” berlangsung pada 1 Oktober 1975



Namun hari ini, Joe Frazier pernah mengukir sejarah dunia itu telah dilaporkan meninggal dunia akibat kanser hati dan dijangka akan mengejutkan Muhammad Ali yang sebelum ini sukar menerima derita pesaing utamanya itu.

Petikan Dari: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

Teringat masa di sekolah dulu ( tahun 1971 di SMK Kota dan 1975 di SM Sains Kelantan ) pihak sekolah menyewa khas TV untuk tengok siaran langsung perlawanan tinju ini lebih-lebih lagi apabila legenda pujaan Muhamad Ali beraksi. Senyap sunyi seluruh sekolah, seluruh kampung, negeri dan negara malahan seluruh dunia. Hebatnya di waktu itu, tetapi sekarang ni kebanyakan orang buat dak saja dengan tinju ini.. Mengapa ya ?

No comments:

Post a Comment