Monday, November 7, 2011

Bicara Profesional Buat Orang Profesional 2


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah bimbang ketandusan integriti di kalangan ahli politik akan menambah rasa jelak rakyat terhadap politik negara sehingga mereka memulau pilihanraya umum akan datang.

ika ini berlaku, katanya, pembangunan Malaysia akan terjejas kerana parti yang menang hanya mendapat mandat rakyat minoriti tetapi ditolak oleh segmen terbesar penduduk yang bertindak menolak proses demokrasi itu.

"Yang saya bimbang nanti, yang mengundi itu adalah minoriti sebab majoriti tidak mengundi dan tidak kisah tentang politik. Kita mungkin akan mencetuskan suasana di mana negara akan berjalan tetapi sistem-sistem tertentu akan bertemu dengan banyak halangan.

“Ini kerana setiap kali kerajaan membuat keputusan, tidak kiralah kerajaan mana atau parti mana memerintah, majoriti rakyat tidak akan bersetuju (dengan keputusan itu),” kata Saifuddin dalam wawancara eksklusif dengan AntaraPos.com.

Adalah dianggarkan hampir empat juta rakyat daripada 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka adalah generasi belia.

“(Apabila) majoriti rakyat tidak bersetuju, itu akan membantutkan pembangunan," katanya.

Politik melampau

Saifuddin juga membayangkan keadaan sebegitu tidak mustahil akibat politik melampau yang diamalkan sehingga menebalkan sikap acuh tak acuh rakyat terhadap arena politik negara.

Justeru, menurut beliau, ahli politik mempunyai tanggungjawab mendokong perjuangan yang menzahirkan nilai-nilai murni dan bukan yang menambah rasa sinis rakyat terhadap ahli politik dan parti yang mereka wakili.

"Kalau kita sesama kita boleh tingkatkan integriti, termasuk juga idealisme perjuangan dan kualiti dalam perdebatan di parlimen dan dewan undangan negeri, kalau kita boleh tingkatkan secara bersama, misalnya dalam parlimen, kita (boleh) berdebat dengan bahasa yang indah.

"Barulah kita lihat status parlimen sebagai institusi membuat undang-undang yang tertinggi. Kalau kita berbeza pandangan pun, kita bersetuju untuk berbeza pandangan dengan harmoni. Tidak perlulah sampai jerit menggunakan perkataan yang tidak elok,” katanya.

Menurut Saifuddin, perilaku tidak senonoh dalam parlimen tentunya menyuburkan rasa sinis di kalangan rakyat terhadap politik.

"Dia sinis bukan sahaja kepada pihak tertentu tetapi dia sinis kepada parti politik. Jadi apabila saya melihat kenapa orang muda tidak mahu mendaftar sebagai pemilih, saya bimbang bahawa itu sebab utamanya.

"Dia menjadi putus asa dengan politik dan ini malang kepada masa hadapan negara kalau orang muda sudah menolak politik. Maka kita tidak mahu terjadi yang mengundi dalam pilihanraya itu adalah minoriti," katanya.

Sudah muak

Saifuddin berkata fenomena generasi belia semakin muak dengan aliran politik negara memang wujud, jika “sesi-sesi teh tarik” beliau dengan golongan muda dijadikan sandaran.

Sesi-sesi itu menunjukkan adanya belia yang " tidak percaya politik langsung dan ada yang tidak percaya parti- parti politik tertentu.

"(Bagi mereka) majoriti orang politik sama sahaja. Mereka kata orang politik ini suka cakap sahaja tetapi tidak buat dan selepas itu begitu begini dan sebagainya.

"Jadi bila saya tanya sudah daftar sebagai pemilih? Saya tidak mahu daftar (jawap mereka); ditanya lagi kenapa? Mereka menjawab saya tidak mahu mengundi. Buat apa undi, mereka kata, tidak jadi apa pun. Jadi ini yang saya katakan "sinis" atau skeptik terhadap politik," kata Saifuddin.

Walaupun tidak mempunyai angka lengkap mengenai jumlah golongan yang sinis terhadap politik negara dan tidak mahu mengundi, Saifuddin tetap bimbang.

"Katakanlah setiap bulan saya buat dua sesi pertemuan dan setiap kali itu bertemu dengan 20 orang, maknanya katalah 10 kali bertemu, maka dalam 10 kali bertemu itu, saya jumpa dua orang yang berprinsip begitu, maka angka itu besar ya," katanya.

Petikan: AntaraPos.com


< Semoga semua orang tanpa mengira siapa dia wajib mempupuk menyubur nilai murni lebih lagi dia seorang yang beragama >

No comments:

Post a Comment