Saturday, May 4, 2013

Menjelang undi Esok

Asri: 'Undi esok ubat ketegangan selama ini'
Wartawan Sinar Harian
4 Mei 2013
Dr Mohd Asri
Dr Mohd Asri
BEKAS Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, meskipun dilihat sebagai tokoh Islam progresif di negara ini, beliau juga bukan wajah asing dalam perjalanan politik negara ini. Meskipun tidak aktif berpolitik, pandangan beliau sering diambil perhatian dan dijadikan pertimbangan khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Awalnya, Asri antara tokoh yang disebut-sebut akan menwarnai gelanggang PRU13.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online baru-baru ini, Asri yang menegaskan tidak akan turun bertanding PRU13 menyifatkan hari keramat 5 Mei esok sebagai "hari untuk mengubat ketegangan" politik yang disaksikan sepanjang lima tahun lalu.

"Saya rasa rakyat tak sabar hendak mengundi kerana  dah lama, undian adalah ubat pada ketegangan ini," kata Asri. Ikuti temu bual penuh beliau bersama G MANIMARAN dan MUHAMMAD SHAMSUL ABDUL GHANI


SINAR HARIAN ONLINE: Orang menunggu Pilihan Raya Umum ke-13. Dan, Dr mengikuti perkembangan lima tahun lepas, dari 2008 sampai sekarang. Apa yang Dr nampak mengenai perjalanan politik Malaysia?

DR ASRI: Bismillah... saya rasa kita kena buat perbandingan antara apa yang rakyat peroleh pada pilihan raya ke-11 dan ke-12 . Kalau kita lihat pada pilihan raya ke-12, kita akan dapati nilai dan harga diri sebagai rakyat lebih dihormati apabila pihak pemerintah, kuasa mereka atau pun undi mereka dikurang dengan begitu banyak.

Jadi, ini menunjukkan, lagi berkuasanya suara rakyat, lagi kuatnya kesedaran rakyat terhadap politik, pemerintah mana-mana pun sama ada dalam konteks BN atau PR mereka akan sentiasa menghormati rakyat. Jadi, hatta kita melihat pemberian itu dan ini kedua belah pihak tuntutan rakyat, kebebasan mahkamah, kes suruhanjaya polis, akta ISA, diberi perhatian oleh kerajaan kerana rakyat dilihat ada kesedaran politik, dan bersedia untuk berubah.

PRU adalah satu saluran penting yang menentukan nafas kehidupan rakyat dalam negara ini. Tak seperti sebahagian orang sangka kerajaan mana-mana yang datang pun boleh menyediakan benda yang sama, tetapi sebaliknya iaitu pengaruh rakyat yang menentukan sikap kerajaan.


Hak rakyat dihormati

SINAR HARIAN ONLINE: Buat pertama kali?

DR ASRI: Buat pertama kali dalam sejarah kita, kita melihat kerajaan begitu menghormati hak rakyat, mungkin ada sudut boleh dibaiki tapi kita lihat apa saja rakyat suara dapat perhatian, kedua belah pihak PR dan BN. Sebelum ini, bukan tidak ada, tetapi mungkin banyak perkara kesombongan dan bongkah politik itu agak jelas tetapi sekarang, ahli politik agak merendah diri.


SINAR HARIAN ONLINE: Kalau nak mengundi kali ini, Dr lebih gembira untuk mengundi berbanding 2008?

DR ASRI: Kita gembira kerana rakyat rasa negara ini mereka yang punya, mereka boleh menentukan hala tuju mereka, dulu kita rasa kita undi macam mana pun tak banyak perubahan. Tapi akhirnya perubahan sudah datang.


SINAR HARIAN ONLINE: Dr telah berjumpa dengan pelbagai rakyat. Bagaimana penantian rakyat terhadap PRU kali ini?

DR ASRI: Orang politik bermati-matian sama ada dari BN dan Pakatan Rakyat untuk memenangi hati rakyat... rakyat banyak berubah dengan bantuan perkembangan teknologi, media kita tak banyak berubah, media masih dikuasai oleh kerajaan BN dan ia tidak memberi  ruang kepada pembangkang. Oleh kerana ada ruang media alternatif seperti internet, dapat  liputan penggunaan luas, rakyat ada kesedaran segala isu. Dulu mereka tidak menanti mereka macam tak ada ruang untuk memilih, mereka pilih parti yang mereka mahu tetapi pilihan mereka seolah-olah seperti ditentukan. Kita memang memilih. Dengan kehendak kita. Kita tak tahu sama ada pilihan kita adalah kehendak... kita tak pakar tentang perkara itu.

Sekarang rakyat diberi peluang atau mempunyai peluang  untuk mendengar kedua-dua belah pihak, sebab anak-anak ada masuk universiti walaupun ayah masih di kampung. Orang mula bercakap melalui 'smart phone', jadi rakyat lebih tahu isu, dan saya lihat sebahagian rakyat walaupun di kampung, lebih cepat dapat isu semasa lebih cepat dari wakil rakyat, lebih pantas, kita rasa setiap kali isu datang, ia akan membentuk pendirian mereka hari demi hari dalam nak mengundi jadi walaupun bantuan itu dan ini mungkin mempengaruhi rakyat tapi ia tak seperti dulu banyak faktor lain membentuk diri mereka. PRU kali ini saya lihat rakyat lebih bersedia dari sudut penilaian berbanding PRU sebelum ini, sebelum ini mereka ada saluran Utusan, TV3, RTM itu sahaja , sekarang tidak, anak muda tak banyak tengok benda-benda ini, mereka lebih bersiap!


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah rakyat takut nak hadapi PRU kali ini? Mereka rasa bimbang?

DR ASRI: Saya fikir rakyat, ada yang ditakutkan. Saya fikir isu yang babitkan kaum, umpama orang Melayu hilang penguasaan mereka terhadap negara ini... saya rasa itu bukan tajuk utama mereka. Ada rakyat yang takut, pertama yang takut adalah golongan yang ada kepentingan sama ada di negeri, ia termasuk sama ada di sebelah BN ataupun PR, terikat perniagaan, kepentingan ekonomi, mereka bimbang. Kedua, sudut keamanan, berlaku tindakan luar biasa pihak tertentu dalam mempertahankan kuasa. Di Algeria, membawa kepada rusuhan, pihak nak merebut kuasa, itu juga ada kebimbangan. Saya rasa rakyat tak sabar hendak mengundi kerana  dah lama, undian adalah ubat pada ketegangan ini.


Ubat PRU13

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana ubat ini patut digunakan ?

DR ASRI: Ubat ini patut digunakan dengan cara PRU yang tidak menimbulkan sebarang keraguan kepada rakyat bahawa rakyat yakin PRU berlaku melalui proses adil, adil dari segi hak mendengar adil diuruskan, jadi jika ada undur ketidakadilan yang didakwa oleh sesetengah pihak dan dakwaan dapat dirasai kebenarannya, kerana ada bukti tertentu saya rasa  ia akan boleh menjerumuskan negara ini kepada keadaan tak adil, hilangnya kepercayaan pada sistem, saya bimbang berlaku kepada sesetengah negara ada protes, turun ke jalan, saya harap tak berlaku.


SINAR HARIAN ONLINE: Kerajaan BN kata PRU adil PR kata masih meragui. Dr, sebagai orang tengah, bagaimana melihat proses PRU kali ini?

DR ASRI:  Saya rasa melalui penggunaan dakwat kekal mungkin kita dapat mengelak sedikit pengundi hantu, undi dua kali... kita rasa di sudut ruang media kerajaan tidak memberi ruang yang cukup pada pihak pembangkang, tanpa memihak pada mana-mana saya rasa ruang perlu ada pada sebuah negara. Pihak lain tidak boleh memiliki saluran TV mereka, lihat di Thailand umpamanya, Muslim minoriti, tetapi mereka ada  lima saluran TV swasta mereka. Boleh suarakan pandangan mereka. Dalam negara ini kerajaan Kelantan misalnya tak boleh ada media sendiri, walaupun sebuah kerajaan. Pimpinannya tidak diberi ruang yang adil untuk bercakap dalam media ataupun pihak lain... di sudut itu, kita ada kekurangan yang jelas untuk rakyat. Rakyat berhak menerima maklumat yang sama, mungkin orang kata pihak ini  ada IT. orang Felda, kampung, sangat bergantung pada TV saluran ini. Astro sudah banyak saluran tetapi masih di bawah kongkongan.


SINAR HARIAN ONLINE: Apa rakyat nak daripada pilihan raya ini, berdasarkan pada pertemuan dan perbincangan Dr selama ini?

DR ASRI: Pilihan raya, sama ada mereka hendak kerajaan yang mereka pilih... apa yang mereka pilih tentulah sebuah kerajaan yang mereka percaya, boleh menjaga kebajikan secara umum walaupun rakyat tak sebut dalam politik kita memerlukan lima perkara asas dalam politik... kita perlukan kebebasan, ruang, keselamatan, keadilan, kebajikan, negara teratur dari segi peraturan. Kalau semua perkara ini dapat dipelihara, dengan secukupnya... ini peranan kelompok intelektual supaya mana-mana kerajaan datang kita pastikan hak ini. Jangan fikir  kita ada gaji, saya ada jawatan tak penting. Yang penting adalah hak rakyat awam.. Keadilan itu bukan untuk diri awak sahaja... keadilan untuk semua rakyat yang ada di negara ini... petani di bendang, orang miskin di kampung, mereka mesti mendapat hak yang sama, dengan anak seorang petani patut dapat hak yang sama seperti anak seorang menteri. Lima komponen utama... rakyat tak sebut tetapi itulah kehendak mereka.


SINAR HARIAN ONLINE: Apa dimaksudkan dengan kelompok intelektual ? Adakah Dr salah seorang ?

DR ASRI: Saya sebut golongan terpelajar, pelajar universiti, penulis, para pemikir yang ada institusi. Mereka tidak boleh berfikir dalam, untuk kelompok golongan mereka sahaja. Mereka perlu berfikir setiap rakyat di negara ini. Ini peranan mereka... jika tidak ilmu yang kita belajar mestilah jadi alat untuk membela dan bukannya menjadi alat membantu kepada penindasan mana-mana pihak.


SINAR HARIAN ONLINE: Golongan Intelektual  patut turun padang bertanding dalam PRU13?

DR ASRI: Saya melihat kemampuan menjadi wakil rakyat di Malaysia ini berbeza dengan seorang ahli Parlimen di Britain dan Amerika dan seumpamanya. Ada perbezaannya yang jelas. Oleh kerana kita selalu menjadikan keterikatan antara rakyat dan wakil rakyat dari sudut bantuan. Kadang-kadang golongan intelek pun susah nak jadi wakil rakyat nak kena pandai lepak kedai di kopi ke rumah kenduri, nak kena pandai duduk bersembang, yang mana ini satu kemahiran yang mereka kadang-kadang golongan intelek  tidak boleh buat. Saya melihat ramai juga orang yang cemerlang dalam pemikiran, bila masuk nak jadi wakil rakyat di Malaysia mereka tidak cemerlang, kadang-kadang yang tidak berkelulusan tinggi itu tahu macam mana nak ambil hati orang kampung. Sebab kita membiasakan kerja ahli Parlimen, kerja Adun pergi buat kerja yang ini, padahal bukan kerja yang asal. Kerja dia menyampaikan  kepentingan, membawa kepada kebajikan kawasan itu ke Parlimen ke Dewan Undangan Negeri.

Tapi sekarang tak. Bila orang nak pergi haji, dia nak kena pergi, bila anak sakit, dia kena pergi... dia semua, dia doktor, dia bomoh... semua dia. Kalau tidak, orang kata sombong dan kata macam-macam. Itu saya melihat ramai ahli intelek yang terlibat akan mensia-siakan sudut intelektualisme mereka yang penting itu. Oleh sebab kerana buat kerja-kerja yang tak  ini , kita benarkan orang yang kerjakan kerja ini, orang yang ada bakat. Tetapi ahli intelek perlu menjadi pengimbang dalam masyarakat.

Dengan cara kita memastikan sistem kita berubah, kita ahli intelek ramai tetapi tidak boleh bersuara kerana ruang bersuara sebelum ini terhad, jika dia pensyarah universiti bersuara lantang, dia tak boleh masuk dalam TV kerajaan, dia mungkin diambil tindakan, jika kita merubah kerajaan yang lebih adil, telus terbuka, beri hak bersuara kepada semua rakyat, kita akan melihat ahli intelek akan bersuara, dan bersuara dengan secara yang adil, saya mencadangkan hatta  kita perlu majlis fatwa kebangsaan sekarang dibebaskan dari keterikatan dengan  kerajaan, supaya mereka boleh berfatwa tanpa perlu terikat ataupun ada kebimbangan jawatan mereka pelantikan yang dibuat oleh kerajaan. Di Indonesia misalnya, kita ada majlis Ulama Indonesia... majlis ini dianggotai oleh seluruh ulama, dari semua aliran. Kita boleh katakan banyak aliran pemikiran dalam pemikiran rakyat Indonesia, ada dalam majlis ini, dan majlis ini tidak dibiayai oleh kerajaan. Jadi, kita tengok yang fatwa-fatwa mereka menyanggah kerajaan dengan berani, yang pertama kita lihat adanya ketelusan, ini kelompok intelektual dalam agama umpamanya jika adanya kebebasan yang dalam erti kata yang baik, jika kita lihat ketelusan fatwa , fatwa rentas parti dan kepentingan. Hari ini fatwa mengenai individu dalam parti politik kita rasa macam sangat naif, ada isu-isu besar yang membabitkan negara ini majlis fatwa mungkin tidak dapat mengeluarkan fatwanya kerana dia tidak ada keberanian dalam melakukan perkara itu, kalau kita ada kebebasan media mungkin ramai tokoh intelek boleh masuk media... mungkin pensyarah-pensyarah universiti yang kritis pemikirannya boleh masuk dalam media kalau tidak boleh dalam media kerajaan, mungkin media swasta yang mana swasta ada hak untuk menyiarkan. Jadi rakyat akan dapat berkongsi, pergi universiti dan tidak pergi universiti, akan diberikan satu ilmu pengetahuan, “Open Universiti” di mana semua rakyat dapat belajar dan matang dalam ilmu, sekarang ini kita susah nak dengar kita tahu sebahagian pembicara dalam TV itu, sangat naif pemikirannya tapi dia muncul tetapi ada orang yang sangat bagus pemikirannya tidak diberikan peluang disebabkan sikapnya yang kritis kita ada kekangan intelektual, oleh sebab itu saya rasa golongan intelek tak terjun dalam politik, tetapi kita dapat merubah landskap politik yang memberi ruang golongan intelek untuk berfungsi itu akan memberi manfaat yang besar kepada negara.


SINAR HARIAN ONLINE: Dr dalam tiga empat tahun orang memerhatikan gerak-geri Dr dalam politik apa perkembangannya ?

Dr ASRI: Saya fikir sehingga hari ini, saya rasa secara peribadi Datuk Seri Anwar telah berjumpa dengan saya dan Datuk Najib berjumpa dengan saya, secara bersendirian memberikan pendirian dan pandangan mereka saya rasa saya perlu untuk  kekal dalam daerah ini, sebab kalau ditakdirkan kerajaan bertukar pun, saya mesti kekal dengan sikap kritis untuk mengkritik kerajaan yang akan datang... di atas janji-janji yang telah mereka buat pada rakyat, jika  semua orang telah mengambil posisi mereka, siapa nak kritik kerajaan yang kita tahu "gelombang yang ketiga, rakyat ini agak kuat... kerana rakyat sudah cerdik, dan saya fikir sudah tiada rakyat yang fanatik parti, buat masa sekarang ini mereka mungkin tidak suka akan parti tertentu, tetapi saya fikir dari sudut pengharapan mereka begitu sepenuhnya pada parti. Dari sudut kesetiaannya saya rasa kesetiaan pada parti ini makin terhakis, rakyat menunggu hasil dan mereka mungkin boleh berubah bila-bila masa yang mereka mahu. Dan, ketika itu, dan nak pandu mereka, kelompok pemikir diperlukan, selepas PRU13.


SINAR HARIAN ONLINE : Siapa yang akan menang pada penilaian Dr dalam PRU13 ini?

DR ASRI: Saya rasa sukar nak disebut hal ini. Saya rasa 50-50 dan saya rasa kerusi yang akan menentukannya pun tidak banyak 10 hingga 15 kerusi, yang lain itu mungkin sudah kelihatan ada empunya... tapi perbezaannya tidak banyak.. dan yang menang pun sangat tipis. BN kalau menang dia akan lebih majoritinya bertambah kurang pada PRU yang lepas dan cengkamannya juga bertambah lemah kalau PR menang sekalipun saya rasa majoriti yang sangat nipis, dan saya rasa banyak fenomena-fenomena baru akan muncul di negara ini dan saya rasa kuasa intelek sekali lagi dperlukan pada waktu itu.


SINAR HARIAN ONLINE:  Wujud satu fenomena baru. Wujudnya gelombang kelompok ketiga islamik NGO, BERJASA apa pandangan Dr?

DR ASRI: Saya rasa mereka jadi kelompok ketiga dalam kelompok Islam dan Melayu sahaja, bukan dalam kerangka kepentingan negara, mereka bersuara untuk kepentingan Melayu sahaja. Sebab mereka rasa kepentingan Melayu terancam walaupun hakikatnya suara Melayu kalau dilihat dalam kerusi parlimen dalam pilihan raya yang ke-11 berbanding PRU12, Melayu lebih kurang... pada pilihan raya ke-12 ada pertambahan kerusi Melayu tapi mereka rasa mereka bangkitkan tawar-menawar kerana ikut fenomena politik sekarang mereka perlu akur pada tuntutan-tuntutan bukan Melayu, saya rasa mungkin ada pihak yang terlepas pandang bukan berkaitan dengan politik semata-mata ini adalah fenomena dunia baru. Di mana, manusia lebih cenderung untuk mendengar suara semua pihak, sebab adanya internet, facebook.

Jadi kerajaan mana yang muncul dalam negara ini tidak boleh tidak mempedulikan mana-mana kelompok minoriti. Saya rasa ada yang tersalah dan kita dalam negara ini kita perlu menerima hakikat kita perlu berkongsi. Cuma kadar bagaimana kita berkongsi di sudut keadilan perkongsian hak dengan identiti Islam dominasi Melayu tidaklah boleh dinafikan ini sebahagian daripada identiti Melayu, namun begitu untuk menafikan hak pihak orang lain agak sukar, dulu pun sukar apatah lagi pada era ini.

Sekiranya kita tanya pada pihak ketiga ini apa perkara yang mereka lihat, Melayu begitu tergugat dan mungkin akan hancur, mereka pun tidak boleh sebut, hal ini kerana ia seolah-olah seperti persepsi, emosi, isu nama ALLAh itu bukan isu soal kerana soal kuasa menteri bagi dan tak bagi dan itu bukan isu akidah dalam Islam. Isu ini telah berlaku di dunia Arab dan negara lain. Sebelum ini orang Melayu sensitif pada agama lain. Misalnya dalam filem Hindustan yang menunjukkan  praktis amalan agama mereka dalam filem tersebut semua orang boleh tengok 'enjoy' sahaja dengan lagu tariannya. Mari isu Bible mereka rasa kerana ada satu persepsi, bukan saya rasa kita kena buang sensitiviti diri kita, benda ini banyak dimainkan menjelang pilihan raya.

Bukan kerana orang Melayu dah mula menyanyi lagu Hindustan yang kadangkala ada menyebut mengenai unsur ketuhanan dan mungkin kita tidak perasaan, tak banyak orang Melayu baca Bible dan ia dijadikan isu. Saya rasa tiada isu yang besar, isu biasiswa isu lama yang saya hadiri dengan kelompok ini apa benda yang besar yang mereka boleh sebut  yang mana saya sebagai seorang Islam dan bekas Mufti pulak  sangat rasa terancam.

Semuanya cerita yang tidak dapat ditentukan secara jelas mengenai kemerbahayaan itu.


SINAR HARIAN ONLINE: Dr melihat perkembangan anak muda, adakah pilihan anak muda ini menjurus kepada Pakatan Rakyat ataupun BN ?

DR ASRI: Saya rasa ada “trend” bukan kerana mereka minat kepada Pakatan Rakyat. Saya secara peribadi tidaklah begitu yakin dengan pakatan rakyat ini saya rasa macam dari segi sikap ahli-ahli PKR tiada banyak bezanya dengan sikap ahli-ahli Umno terus-terang saya sebut. Mungkin orang fikir kita boleh melakukan sesuatu putaran kuasa. Bagi peluang kepada orang lain, nak tengok adakah mereka boleh buat lebih baik daripada kerajaan yang sedia ada. Kecenderungan itu ada dalam fikiran manusia ini, apabila kita miskin kita tiada pilihan, kita makan dengan satu jenis lauk kita rasa OK. Kalau kita berduit dan ada pilihan, kita ada kemampuan memilih. Orang muda apabila ada kemampuan mencapai maklumat dan kemampuan memilih, dia ingin mencuba.

Bukan yang sedia ada tak bagus, tapi mencuba yang baru. Ini kegagalan pihak kerajaan melihat dan memastikan ia kekal  relevan supaya tidak nampak fesyen lama. Dia sentiasa up-to-date perkembangan semasa, kita akan dapati keinginan untuk mencuba yang baru ada pada setengah orang muda, keinginan ini bukan sahaja boleh menggugat BN dan ia boleh menggugat Pas di Kelantan, kerana sudah lama dan orang mungkin mencuba yang baru, kita melihat Kelantan akan mengalami prestasi yang berbeza berbanding dengan negeri-negeri yang lain disebabkan kerana terlalu lama, jadi saya rasa itu yang saya ingat, Datuk Seri Najib cuba buat 'up-to-date' Umno dengan slogan-slogan baru, malangnya saya melihat ada bebanan pada Najib yang ingin dia bergerak tetapi ada halangan-halangannya. Pakatan Rakyat, oleh sebab, dia belum memerintah, kelihatannya mungkin kita boleh beri mereka peluang jika saya rasa jika Pakatan Rakyat tidak mengemaskan dirinya saya rasa mereka dapat memerintah negara ini tidak  lebih dari satu penggal kerana mereka masih dalam keadaan sekarang, kita tahu mereka ada tokoh yang bagus tetapi ada kekurangan secara keseluruhan. Kita jangan lihat pada dua tiga orang ini sahaja, (tokoh) parti secara keseluruhannya.


SINAR HARIAN ONLINE: Apa kekurangan BN dan PR, pandangan Dato?

DR ASRI: Sekarang soal, BN ada pada satu realiti, realiti ini bila dia berjanji dia kena buat, PR dia janji, dia janji belum kena buat. Sebab itu, dia berani berjanji. Di sudut itu, kemungkinan dia mendatangkan hujah-hujahnya, apa dia janji dia boleh buat... jadi rakyat jadi tertarik, di sudut janji menarik bagi masyarakat awam. Contoh pemandu teksi bagi tayar kat lebih baik bagi permit dekat dia, jadi ini lebih menarik... bagi BR1M dengan beri pendidikan percuma kepada satu orang pelajar itu lebih menarik kita lihat, sejauh mana ia boleh buat, dari sudut itu, janji-janji ini, menarik sama ada boleh buat atau tidak, itu pihak dia kata, orang kata bagi dia buat, bukan dia nak memerintah sampai 20 tahun, saya rasa sekiranya keadaan pilihan raya ini, kemungkinan ia akan menjadi pilihan raya yang paling singkat antara PRU13 dan 14... kalau disebabkan kerajaan tidak dapat distabilkan rakyat kecewa. Bila kecewa, sebab kita tahu dia gabungan parti-parti ini, mandat yang paling singkat, pengundi-pengundi baru atau MP yang baru lebih bersifat berdikari dibandingkan yang lepas. Saya rasa dia boleh terjun kem yang lain jika dia tidak setuju kerana tahap intelek mereka telah meningkat, kemerdekaan diri lebih kuat pada era ini. Jadi jika dia tidak berpuas hati, maka dia boleh tinggalkan dan hanya kerajaan yang majoritinya sangat tipis apa-apa pun mungkin akan berlaku jadi ini satu benda dan orang muda mungkin minat dengan janji-janji seperti ini, dan kelebihan Pakatan Rakyat sebab nak dikritik tidak boleh lagi sebab dia belum memerintah.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah wujud fenomena baru iaitu kerajaan yang singkat? Saling bertukar?

DR ASRI: Saya rasa kita akan pergi ke arah itu. Dan, saya rasa perkara itu adalah perkara yang baik supaya semua orang akan buat yang berhabis baik untuk rakyat, sehabis yang termampu, kalau tidak mandat dia akan singkat, kerana rakyat ada kesedaran yang bagus, jadi dah tak takut, kita kena berterima kasih kepada (bekas Perdana Menteri) Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kerana beliau memberi sedikit ruang dan kebebasan demokrasi media dan seumpamanya, kebebasan itu, katakanlah Pakatan Rakyat menang dia kena penuhkan apa yang dia janji media umpamanya kalau semua senjata atau ruang ini dikembalikan pada rakyat... 'sivil society' akan kuat. 'Sivil society', orang Cina kuat tetapi orang Melayu sangat daif. Dia sentiasa bergantung pada kerajaan, sebab itu orang Melayu akan takut, kalau kita dapat kembalikan kemerdekaan diri rakyat hak mereka kembali berdikari akan ada ruang media mereka, mereka akan ada suara mereka, mereka boleh wujud, dengan itu, kuasa kerajaan dapat diminimumkan dan suara rakyat dapat di kuatkan. Maka kita akan lihat fenomena demokrasi yang lebih adil dan telus dalam erti kata mana-mana kerajaan yang datang dia tak boleh “enjoy” dengan jawatan mereka. Mereka hendaklah memberi perkhidmatan yang terbaik.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana dengan isu politik agama?

DR ASRI: Politik satu juzuk dalam agama, bukan semua di dalam agama itu sama dalam politik tidak boleh samakan politik dengan sembahyang. Sembahyang ada fiq, ada caranya, tetapi politik dalam Islam bergantung pada kepentingan atau kemaslahatan rakyat ini yang sebahagian gerakan Islam pada era 80-an dan saya rasa Pas juga termasuk. Mereka abai aspek ini, mereka menjadikan politik itu seolah-olah penampilan kelompok mullah untuk menguasai negara, itu bukan tujuan politik di dalam Islam. Tujuan politik dalam Islam ialah pelaksanaan pemerintahan yang baik yang amanah dan telus, al-Quran menyebut, maksudnya orang yang kami beri kuasa di atas muka bumi dia mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kepada yang mungkar, perkataan yang menyuruh kepada melakukan kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran ini pada gambaran kelompok Islamis dahulu tertumpu pada sembahyang, puasa, tetapi perkataan makruf menyuruh kepada perkara yang baik dalam Islam sangat luas pengertiannya, bagi orang makan, bagi rakyat kesihatan, bagi mereka keamanan, beri bantuan kepada mereka, itu semua makruf, mungkar rasuah, salah guna kuasa, penindasan dulu mereka fikir mungkar itu seperti zina, mencuri skop mereka sangat sempit, sedangkan pengertian dalam al-Quran sangat luas. Oleh sebab penaksiran itu sempit, jadi mereka rasa untuk mengendalikan isu pasal agama ini, perlu kepada kelompok mullah, tapi akhirnya kita kena tahu kebaikan yang dimaksudkan dalam Islam, makruf itu luas dan kadang-kadang golongan mullah tidak tercapainya. Akhirnya golongan-golongan profesional tahu untuk mengurus ekonomi dapat tahu bagaimana menguruskan kebajikan rakyat, mereka dapat menguruskan. Agama itu penting, tetapi agama mengawal. Itu pentingnya peranan kelompok intelek agama, mereka menasihati golongan pemerintah, membimbing mereka.


SINAR HARIAN ONLINE:  Sebagai tokoh Agama, bagaimana Dr melihat kepimpinan Najib, Anwar, Hadi dan Nik Aziz?

DR ASRI: Saya rasa Anwar saya tidak tahu sebab belum menjadi Perdana Menteri lagi, semasa beliau menjadi menteri dahulu ada benda yang boleh dipuji dan dipersoalkan, kemudian berlaku peristiwa tertentu beliau mungkin menjadi yang lebih baik, kita tidak tahu, kita tak cuba manakala Datuk Seri Najib, cukup lima tahun. Kalau kita nak nafikan bahawa beliau cuba untuk memperbaiki kerajaan saya rasa kita tidak adil, beliau mencuba. Cuma berjaya atau tidak itu satu soal lain, tetapi mencuba, ada benda yang cuba dibaiki mungkin itu rentetan daripada Pak Lah dan beliau cuba baiki, mungkin kita fikir itu kehendak rakyat, tetapi beliau cuba baiki, baiki kerajaan dan di belakang kerajaan itu ada parti Umno itu sendiri bukan mudah hendak dilakukan, kerana setiap gerak kerja politik sentiasa diperhatikan, jika satu tindakan drastik yang dilakukan  mungkin akan mengorbankan pemimpin tertentu, tetapi beliau mencuba, ada benda yang kita boleh kritik kegagalan tertentu.

Tok Guru Nik Aziz saya rasa beliau telah membuktikan bahawasanya, beliau amanah terhadap negerinya saya ingat, jika dia ada rasuah dia sudah kena, sebab semua mata tertumpu kepadanya, ada orang cuba mengheretnya tetapi tidak berjaya membuktikannya, ternyata dia kekal sehingga hari ini.

Kejayaan Kelantan saya rasa banyak juga kejayaannya... adakah dia menindas golongan bukan Muslim, tidak, terbukti ternyata orang selesa di bawah petadbirannya. Ustaz Hadi, di Terengganu, tidak dapat mempertahankannya, ada pengurusan di sana-sini yang dipertikaikan, bukan soal amanah tetapi soal kecekapan. Jadi ini semua pemimpin yang ada, dan saya rasa pemain-pemain ini akan berakhir tempohnya ini adalah tempoh yang terakhir untuk mereka berpolitik, rasanya landskap dan  politik ke-14 orang baru. Kerana ini mereka menjadi dana soal politik.


SINAR HARIAN ONLINE: Dr, sebagai tokoh agama dilihat berbeza dengan kebanyakkan tokoh agama yang lain iaitu meminati politik,  mengapa?

DR ASRI: Saya rasa mungkin berkaitan dengan apa yang saya belajar selama ini, iaitu mengenai pengajian Islam, tapi sebagai rakyat saya rasa saya perlu menyentuh soal kebajikan rakyat, saya rasa sensitif jika saya lihat ada orang yang ditindas atau pun orang yang tidak diberi hak walaupun sepatutnya dia mendapat hak tersebut, jadi itu menyebabkan saya terpaksa ambil kira dalam politik. Sebelum ini saya sebagai mufti saya diberi peluang berkawan dengan kedua-dua pihak Pas dan Umno. Kalau saya fikir fasal diri saya, saya rasa saya tidak perlu bercakap fasal politik ini, lebih baik untuk saya dan kedudukan yang boleh saya capai, dengan memberi sokongan kepada pihak-pihak tertentu, dan itu saya rasa bukan sikap yang baik, jadi ini satu keperluan bagi saya.


SINAR HARIAN ONLINE: Apa cita-cita politik Dr? Kalau diberi peluang menjadi menteri dan perdana menteri adakah Dr akan terima?

DR ASRI: Saya tiada cita-cita politik, saya bercita-bercita untuk negara saya sebut ukur baju dibadan sendiri. Kalau saya rasa jawatan tersebut itu tidak sesuai dengan saya, saya rasa jawatan itu tidak perlu saya terima, memerlukan satu tempoh berfikir yang panjang, cita-cita politik saya bukan kepada untuk meraih jawatan tetapi adalah bertujuan melihat kepada negara ini diurus dengan baik oleh kerajaan tersebut, oleh sesiapa memerintah saya rasa ia tidak penting tapi kerajaan itu mestilah adil memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat dan sebagai seorang Muslim sudah tentulah tidak menyanggah nilai-nilai yang digariskan oleh Islam.

No comments:

Post a Comment