Sunday, March 24, 2013

Dr Bouti... perginya seorang ulamak besar



Catatan peribadi mengenali Dr Bouti

Nik Nasri Nik Malek, 24 Mac 2013

Tiada siapa menyangka Dr Muhammad Said Ramadhan al-Bouti akan meninggal dunia dengan cara dibom tetapi penuh misteri. Pelbagai cerita, berita, pandangan diberi. Macam-macam pendapat tentang siapa yang mengebom atau membunuhnya dan mereka di dalam masjid Iman dengan pelbagai versi. Namun, hakikatnya taqdir Allah jua yang mengatasi. Barangkali ada hikmah tersembunyi. Boleh jadi juga niat Dr Bouti yang benar dengan Ilahi. Tiada siapa yang mengetahui. Namun, kebenaran tetap akan terbongkar nanti.

Saya tidak yakin pengeboman dibuat oleh anasir FSA atau aktivis revolusi. Kalau masih ada iman di dalam dada tidak tergamak membunuh diri dan membunuh ulama sedang mengajar dan muridnya yang mengaji. Tidak mustahil kalau diandaikan talibarut regim Basyar yang membuat operasi. Tidakkah Dr Bouti berada dalam kawalan ketat di Damsyik yang tidak mudah anasir FSA menyelinap masuk membawa bom pada diri? Apatah lagi apabila dikatakan Dr Bouti sudah mempunyai kecenderungan untuk tidak menyokong Bashar lagi.

Saya kenal Dr Muhammad Said Ramadhan al-Bouti melalui buku dan karyanya yang dibaca dan dibeli. Pelbagai kitabnya dalam pelbagai jurusan masih banyak tidak dibaca disimpan dalam almari. Kitab Fiqh Sirahnya diterjemah dalam bahasa Melayu saya jadikan teks kuliah Maghrib di Masjid Sultan Mizan, Kerteh dan dikupas selama 7 tahun menelusuri sirah Nabi. Ketika belajar di Jordan, saya sentiasa menonton TV Syria yang boleh dicapai dari Jordan mengikuti kuliah Dr Bouti di TV. Dalam kesempatan ke Syria (Kembara Ilmu 14), saya pernah solat Jumaat di masjid berhampiran rumahnya mendengar khutbah Jumaat dari mulutaya sendiri. Di Masjid Jenghiz Khan di tengah Damsyik, beliau mengajar kitab Fiqh Sirahnya dengan kehadiran melimpah dan Alhamdulillah saya pernah hadiri. Keset syarah kitab Hikam saya beli berjumlah lebih 200 buah dan sehingga kini masih tersimpan tak habis dengar lagi. Barangkali dari keset itu kemudiannya jadi kitab berjilid sekarang yang boleh dibaca dengan huraian menarik dan mudah sekali.

Beliau pernah ditanya tentang bentuk jihad yang dilalui oleh Ibn Taimiyyah dan beza jalan yang dilalui oleh Imam Ghazali. Huraiannya ilmiah dan menarik untuk diteliti. Ketika itu mereka yang mendengar kuliahnya di Damsyik itu ramai juga anak muda dari Algeria yang menurut jalan Salafi jihadi. Banyak juga ilmu dari Dr Bouti yang saya jadikan dalil dan hujah bahan ilmiah dalam disertasi.

Dalam konteks politik, suasana Syria menguji para alim ulama, pendokong gerakan Islam termasuk Dr Bouti. Sheikh Said Hawa dari Hama kalau tak silap tapi anaknya Ahmad, Muaz dan lain-lain berada di Jordan kerana tak dapat kembali. Ramai para ulama dan pendokong Islam dipenjara, dibunuh semenjak zaman ayah Basyar iaitu Hafiz Asad lagi. Ikhwan tidak dapat bergerak malah terpaksa aktif dari luar negeri. Setiap rumah di Syria ada mukhabarat (SB), tak terkecuali majlis ilmu ada yang sentiasa memerhati.

Pada pandangan Dr Bouti dan ijtihadnya, pendekatan silmiyyahnya membuahkan beberapa hasil seperti alim ulama yang dapat dikeluarkan dari penjara dan balik dari luarnegeri. Di zaman Basyar yang muda ini, Dr Bouti sudah begitu tua dan barangkali mengharapkan anak muda ini tidak sama dengan bapanya yang sudah pergi. Namun, sangkaan meleret kerana Dr Basyar yang merupakan seorang doktor perubatan ini juga tak ubah seperti kata peribahasa ‘mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’. Malah fitnah di zaman pemerintahan Basyar ini kelihatan lebih dahsyat lagi.

Dr Bouti dalam kuliahnya banyak sebut ‘nastalihu maaAllah’ (kita mesti sentiasa kembali dan perbetulkan diri dengan Ilahi). Mudah-mudahan ijtihadnya dalam politik penuh fitnah di Syria-walaupun kita tidak bersetuju dengan pandangannya-diberi satu pahala dan beliau diampunkan Allah, sebelum melihat fitnah lain yang entah besar mana lagi.

Kemaman, Terengganu.

No comments:

Post a Comment