Wednesday, February 13, 2013

Kini dah melawan... duhai dunia politik

KOTA BHARU: Kalau tahun lepas penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) lebih berhati-hati ketika datang mendapatkan bantuan BR1M, tanpa mempamerkan ideologi politik mereka.

Namun situasi seperti itu sudah beransur hilang. Malah ramai yang datang mengambil bantuan BR1M daripada pemimpin Umno memakai pakaian termasuk logo Bersih dan Royalti.

Pengerusi Amanah Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh (gambar) berkata, sekarang orang ramai sudah faham duit BR1M sebanyak RM500 yang diterima daripada peruntukan kerajaan dan tiada kaitan dengan Umno.

“Sebab itulah sekarang mereka yang datang menerima bantuan BR1M memakai baju Bersih dan Royalti. Ini bermakna hasrat pemimpin Umno mengumpan BR1M bagi menarik simpati rakyat dianggap sudah tidak berkesan.

“Isu duit BR1M mungkin tidak lagi berbekas kepada majoriti rakyat. Sedangkan pemimpin Umno menggunakan BR1M bagi memancing undi,” katanya pada ceramah sempena perasmian Markas Pemuda PAS Kota Bharu di Batu 2, Jalan Kuala Krai malam tadi.

Perasmiannya disempurnakan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Hadir sama Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Bangunan dua tingkat yang dijadikan markas Pemuda PAS Kota Bharu mulai beroperasi 1 Febuari lalu. Tingkat atas dijadi tempat mesyuarat dan bahagian bawah bilik operasi jentera pilihan raya.

Pada Januari Muslimat Kota Bharu membuka secara rasmi Markas Helwa di Jalan Long Yunus. Manakala Markas Urusan Ulama Kota Bharu akan dirasmikan pada 14 Febuari ini bertempat di belakang Hospital Pakar Perdana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan hari ini menjelaskan kerajaan BN akan meneruskan program BR1M sekiranya BN mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Dr Zaiyadi yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan pada sesi 1996-1998 berkata, kemungkinan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin tidak lepas daripada tapisan SPRM memandangkan pernah mengakui wang sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

“Kita hendak tengok Ketua Umno Bachok lepas atau tidak tapisan dibuat SPRM untuk membolehkan beliau menjadi calon,” katanya.

Mahfuz pula menyifatkan kerajaan cuba membohongi rakyat apabila sering menyebut kerajaan BN memberi subsidi tambang kepada bakal haji yang kali pertama menunaikan ibadat haji.

“Sebenarnya duit pencarum sendiri yang digunakan bagi tujuan itu dan bukannya subsidi kerajaan membolehkan tambang pergi ke Makkah kekal seperti sekarang,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment