Tuesday, January 8, 2013

Hutang Keliling Pinggang....bengang



Hentikan budaya hutang dan boros

SM Mohamed Idris, 09 Jan 2013
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan satu laporan berita akhbar yang mendedahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggotanya.


Menurut berita itu lagi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, bayaran itu merupakan jumlah yang berjaya dikurangkan hasil perundingan bersama pihak berkenaan walaupun jumlah sebenar yang sepatutnya dibayar RM370,000.

Katanya, kegiatan meminjam wang daripada ‘lintah darat’ itu melibatkan anggota pelbagai pangkat dan dalam hal itu TLDM menggunakan pendekatan penerangan dan ceramah untuk membantu mereka.

CAP berpandangan pihak TLDM tidak sepatutnya menggunakan wang awam untuk digunakan bagi menyelesaikan hutang ah long yang diambil oleh anggotanya kerana ini akan memberikan satu contoh yang tidak baik.

Ini kerana ia akan memberikan persepsi atau tanggapan dalam kalangan anggota TLDM bahawa adalah tidak salah untuk meminjam dan berhutang dengan ceti haram atau ah long kerana sekiranya gagal untuk membayarnya pihak berkuasa akan menyelesaikan hutang itu.

Pendedahan ini juga menunjukkan bahawa masih ramai lagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja melibatkan anggota TLDM yang mengamalkan dan terjebak dengan budaya meminjam wang dan berhutang daripada ceti haram dan ah long walaupun sudah lama pihak kami berusaha mendidik pengguna agar mengelakkan budaya hutang dan boros.

Eloklah kita menginsafi hakikat bahawa hutang isi rumah di negara ini pada 2010 ialah sebanyak RM577 bilion. Segenap lapisan masyarakat di negara ini sanggup berhutang bagi memenuhi tuntutan gaya hidup moden termasuk mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Namun hidup mereka akhirnya semakin merana apabila Jabatan Insolvensi Malaysia terpaksa mengisytiharkan 85,175 daripada mereka sebagai muflis kerana tidak mampu membayar hutang.

Tiga jenis hutang lazimnya dibuat oleh peminjam yang sesetengahnya mahu hidup bergaya iaitu hutang sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi, pembelian saham dan kad kredit serta pinjaman perumahan.

Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini seperti yang tertera di atas. Kegagalan menguruskan hutang mengakibatkan 85,175 rakyat negara ini menjadi bankrap ketika usia muda.

Berikut adalah kes muflis di Malaysia. Sebanyak 85,175 kes dari tahun 2007 hingga Mac 2012.

Sewa beli kenderaan 21,796 kes, pinjaman peribadi 12,547 kes, pinjaman perumahan 12,098 kes dan pinjaman perniagaan 9,865 kes (Sumber: Jabatan Insolvensi Malaysia).

Bagi mereka yang sudah pun terjebak dengan budaya meminjam dan berhutang ini, tidak ada jalan lain kecuali melunaskan hutang mereka sekiranya tidak mahu menanggung risiko berdepan dengan pelbagai kerenah ceti haram dan ah long.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong seseorang itu meminjam atau berhutang antaranya bermain judi tetapi ada juga yang meminjam dan berhutang kerana hendak hidup mewah atau terpengaruh dengan gaya hidup orang lain yang lebih mewah daripada mereka.

Inilah masalahnya yang sering melanda masyarakat kita, kalau tidak mampu untuk memiliki sesuatu dalam hidup kita ini, usahlah membebankan diri dengan meminjam dan berhutang yang akhirnya menjerat diri sendiri.

Terimalah hakikat kemampuan gaji dan pendapatan kita serta hiduplah dengan sikap sederhana (terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad “Tidak akan kekurangan orang yang hidup sederhana).

Orang yang membelanjakan harta dengan secara berhemat dan sederhana tidak akan menjurus kepada pemborosan dan berlebih-lebihan dan sudah tentu tidak akan kekurangan. Satu lagi sikap yang perlu diamalkan ialah qanaah iaitu cukuplah dengan apa yang ada, seperti kata pepatah Melayu ukurlah baju di badan sendiri.

Jangan sekali-kali terpedaya dengan iklan-iklan yang terpapar di dalam media massa baik media elektronik atau media cetak terutama sekali di musim-musim perayaan yang menonjolkan budaya hidup mewah, boros dan membazir yang semuanya berpaksikan kepada wang.

Dalam masyarakat kita, memang terdapat mereka yang suka meminjam wang, gemar hidup bergaya lebih daripada kemampuan serta berbelanja lebih daripada pendapatan, banyak orang kelihatan hidup senang walaupun pada hakikatnya kesenangan itu berasaskan kepada hutang.

Satu lagi amalan buruk di dalam masyarakat kita ialah membazir. Kini amalan membazir di dalam masyarakat nampaknya tidak dibendung malah semakin dibiarkan.

Perilaku membazir ini dapat dilihat di dalam pelbagai bentuk seperti membazir makanan, aksesori dan hiasan diri, pembaziran di dalam rumah, membazir di dalam pakaian, hiasan dan perabot rumah serta pejabat.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mencegah menularnya budaya meminjam, berhutang, membazir dan boros dalam kalangan rakyat negara ini.

Pihak berkuasa juga digesa agar mengawal dan memantau iklan-iklan yang disiarkan di dalam media massa itu tidak menggalakkan masyarakat ke arah budaya hidup mewah, boros dan membazir.

Masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan cara hidup sederhana, berjimat-cermat, tidak boros dan membazir di dalam hidup dan menginsafi bahawa masih ada anggota masyarakat yang hidup di dalam kemiskinan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Penulis ialah Presiden CAP.

No comments:

Post a Comment