Sunday, December 16, 2012

Dunia Politik atau Politik Dunia?



BJ Habibie: Dikhianati kawan, berundur dengan senyuman

Ahmad Muhajir, 16 Dis 2012
Mantan presiden ketiga Republik Indonesia Prof Dr Ir Bacharuddin Jusuf Habibie, telah mengukir tinta emas dan sejarah kegemilangan dalam proses transisi reformasi dan demokratisasi di Indonesia.

Dari tahun 1998-1999, dalam masa hanya 18 bulan berkuasa, beliau berjaya membuat perubahan drastik dan besar, yang  tidak diduga kebanyakan orang masa itu.

Sebagai orang yang secara zahirnya begitu setia kepada presiden Suharto dari tahun 1973-1998, namun pada akhir kekusaannya Suharto, BJ Habibie boleh berkata kepada Suharto “banyak kehebatan dan jasa-jasa Pak Harto kepada bangsa dan negara Indonesia begitu lama dan panjang, namun bapak adalah seorang otoriter”.

Sejarah panjang Suharto dengan BJ Habibie begitu rapat, dimana tahun 1950-an dikala Suharto berpangkat Mayor Jeneral semasa itu bertugas di Makassar,  sebagai panglima Mandala tengah mahu membebaskan Papua Barat (masa itu Irian, kemudian bertukar menjadi Irian Jaya).

Pasukannya bermarkaz berdekatan dengan rumah keluarga BJ Habibie di Makassar, saat kritikal di kala Alwi Habibie, ayah BJ Habibie mendapat serangan jantung, ayah BJ Habibie dipangku oleh Suharto. Masa itulah BJ Habibie panggil Pak Harto dengan Om (Pak Cik).

Maka apabila BJ Habibie berada di Jerman, yang sudah lama tamat perkuliahan serta bertugas di syarikat pembuat kapalterbang (kini membuat kapalterbang jenis Airbus).

Apabila didengar oleh Suharto, masa itu pada awal 70-an, Suharto mengutus Leftenan Jeneral Dr Ibnu Sutowo, masa itu ketua pengarah Pertamina (Perusahaan Pertambangan Minyak dan Gas Bumi Negara) semacam Petronas di Malaysia, agar mengajak BJ Habibie agar pulang dan bekarya di Indonesia.

Pada awalnya BJ Habibie tidak mahu pulang, namun berbagai cara dilakukan Suharto, akhirnya hati Habibie lunak dan luluh.

Mulalah dia diberi tugas mengetuai syarikat pembuat kapalterbang masa itu, namanya syarikat Nurtanio dan tahun 1978 BJ Habibie kala itu berumur  42 tahun dilantik menjadi menteri penyelidikan dan teknologi.

Sebelum itu, dia sudah dilantik sebagai ketua pengarah Badan Pengembangan dan Pengamalan Teknologi (BPPT) dan berbagai jawatan lainnya berkaitan dengan industri strategik lainnya.

Berbagai pembaharuan dan kemajuan dibuat dalam pembangunan, apalagi berkaitan dengan keperluan dan penggunaan teknologi baru. Di awal jadi menteri, BJ tidak begitu menonjol dan dia tidak mahu popular, namun diawal tahun 1990-an dia dipilih oleh Muktamar Cendikiawan Muslim Indonesia sebagai ketua umum Ikatan Cendikiawan Muslim Indonesia (ICMI), muktamar ini diusahakan oleh sekumpulan mahasiswa dari Bandar Malang, Yogya, Bandung dan Bogor yang kemudian didokong oleh puluhan sarjana dan cendikiawan Islam terkenal.

Sebagai menteri BJ Habibie minta restu kepada Suharto, presiden Suharto mendukung dengan positif, hanya segelintir cendikiawan yang tidak setuju dengan ICMI apalagi BJ Habibie, termasuk Gus Dur dan juga dipersoal oleh pimpinan negara-negara Barat.

Namun BJ Habibie dengan mantap dan yakin berkata dimana salahnya saya memimpin ICMI, kerana sebagai seorang Islam saya bangga memimpin amanah umat.

Masa inilah BJ Habibie banyak memasuki ranah politik yang diluar jangkaan orang. Dia melakukan islah dengan berbagai pihak terutama dengan orang-orang yang dibenci oleh Suharto, bermula dengan menemui Jeneral (B) Dr Abdul Haris Nasution.

Kemudian dengan kumpulan 50 yang mengkritik berbagai ucapan Suharto yang dianggap fitnah dan merusak bangsa, serta tidak menghargai langsung jasa-jasa para negarawan dan politisi, bahkan kritik ini juga ditujukan terhadap amalan korupsi, kolusi dan nepotism (KKN) keluarga Suharto dan orang-orang dekatnya.

BJ Habibie mendatangi atau menjemput mereka yang dianggap musuh Suharto, diantaranya Leftenan Jeneral (B) Marin Ali Sadikin, dan puluhan tokoh Islam dan pejuang demokrasi lainnya seperti Mohd Natsir, Dr Ali Akbar, dan nama-nama lainnya.

Terjadilah kemuncaknya apabila demontrasi besar-besaran  berlangsung diberbagai bandar utama di Indonesia bermula dari Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Surabaya, Medan, Makassar kemudian merebak kebagai bandar kecil.

Ia adalah akibat kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap amalan KKN ini oleh Suharto, keluarga dan orang-orang dekatnya.

Malahan setelah Suharto dipilih kembali menjadi presiden pada Mac 1998, dimana BJ Habibie dipilih sebagai Timbalan Presiden, oleh Sidang Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), MPR masa itu dianggap sebagai rubber stamp.

Kekecewaan rakyat semakin menjadi-jadi, demontrasi tidak boleh dikawal, kerana Suharto melantik orang dekatnya Muhammad Bob Hasan sebagai menteri perdagangan dan industri serta anaknya Siti Hardianti Hastuti atau Mbak Tutut sebagai menteri sosial. 

Khutbah dan ceramah agama diberbagai masjid dan surau pada umumnya menghantam kezaliman, kediktatoran Suharto, bahkan ketika penulis solat Jumaat di kementerian pertanian Jakarta, April 1998 khutbah Jumaatnya tidak kalah hebatnya mengkritik ketamakan dan kebuasan Suharto dan rejimnya, khatib menyampaikannya dengan mantap dan yakin, tanpa ragu dan takut.

Penulis masa itu merasakan dan menilai perubahan itu akan segera terjadi, maka awal Mei 1998 terjadilah kerusuhan terutama kerusakan dan penganiayaan terhadap keturunan Tionghua.


Berdasarkan kajian di tempat kejadian, perbuatan ini dilakukan oleh para provakator yang dibayar oleh orang-orangnya Suharto, sebab rakyat biasa, yang digerakan oleh mahasiswa dan pemuda Islam dan pecinta demokrasi lainnya, melaksanakan demontrasi dengan aman dan terkawal, baik di depan Istana mahupun di bangunan parlimen.

Suharto berundur pada 21 Mei 1998, dengan lesu dan lemah, tanpa berbicara dengan BJ Habibie dia menyerahkan jawatannya kepada timbalannya yang dulunya dianggap sebagai anak emas. BJ Habibie bertindak pantas dan cepat, melepaskan semua tahanan politik tidak kira siapa, termasuk yang membenci BJ Habibie sekalipun.

Media dibebaskan terbit tanpa perlu lagi lesen, yang penting perlu ada syarikat yang berdaftar dengan kementerian undang-undang, membenarkan demontrasi aman, polis hanya mengawal dari jauh, dan tidak ada layanan istimewa kepada presiden.

Seorang wartawan senior dijemput ke Istana oleh presiden BJ Habibie melihat BJ Habibie ikut beratur mengambil makanan serta makan bersama, tanpa pengawalan berbeda jauh di zaman Suharto, yang ini tidak pernah terjadi.

Dikala BJ Habibie dijemput oleh menteri kewangan Malaysia tahun 1991 selaku ketua umum ICMI, dimana penulis ikut masa itu, semasa bertukar pandangan dengan timbalan menteri di jabatan perdana menteri (di Pusat Islam, KL masa itu).

Timbalan menteri itu yang kini sudah arwah, mengkritik dasar Negara Indonesia sebagai musyrik, BJ Habibie dengan pantas menjawab “soal dasar Negara itu masalah kecil, yang penting kerja kuat kita sekarang adalah melahirkan manusia- manusia yang beriman, bertakwa, berakhlak serta menguasai ilmu dan teknologi, agar nantinya mereka bekerja dengan jujur dan tidak rasuah.

"Malaysia apa kurangnya kata BJ Habibie amalan dan politiknya agak kaku dan sangat feudal," katanya dan timbalan menteri ini terus diam dan melongo.

Beberapa bulan kemudian setelah menjadi presiden, dimana diadakan lagi pilihanraya umum, sebelumnya pemerintahan BJ Habibie sudah membetulkan Undang-Undang Pilihanraya agar lebih jujur, adil dan bebas.

MPR yang dikuasai oleh parti PDI-P, Golkar, PKB, PAN,PPP dan PKS masa itu meminta rapor pertanggunganjawab presiden BJ Habibie selama 18 bulan berkuasa.

Golkar yang merupakan partinya BJ Habibie, dimasa itu diketuai oleh Akbar Tanjung yang juga speaker parlimen dan Amien Rais, dari PAN speaker MPR. Akbar Tanjung melakukan konspirasi meminta agar ahli MPR dari Golkar menolak rapor BJ Habibie, ahli MPR dari PDI-P pimpinan Megawati jelas menolak rapor BJ Habibie, kerana sebagai pemenang pilihanraya Megawati ingin menjadi presiden.

Akbar Tanjung, yang bekas ketua umum Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) ini dinaikkan oleh BJ Habibie untuk menjadi ketua umum Golkar, namun akhirnya dia sendirilah yang mengkhianati BJ Habibe.

BJ Habibie sangat tahu semua konspirasi ini, dia melihatnya dengan berlapang dada dan tersenyum. Secara perlembagaan walaupun BJ Habibie masih boleh dicalonkan, namun dengan gagah dan terhormat, dengan senyum keikhlasan beliau merasakan sudah ditolak dan menolak untuk dicalonkan semula.

Disinilah orang banyak melihat elite politik Indonesia masa itu tidak pandai mensyukuri nikmat Ilahi, mencampakkan sebutir mutiara yang tengah bersinar, yang tidak ada duanya bukan hanya di Indonesia, bahkan di Asean dan Asia.

Beberapa jam kemudian di subuh hari jam empat pagi para elite politik berkumpul di rumah BJ Habibie; Hamzah Haz, Akbar Tanjung, Wiranto, Amien Rais dan BJ Habibie sendiri sepakat tiada pilihan lain iaitu mencalonkan Prof Dr Amien Rais sebagai calon presiden untuk dipilih oleh sidang MPR.

Amien Rais masa itu keluar peluh sejuknya, menolak katanya saya tidak berani, rupanya diam-diam sekedar main-main secara bergurau dia sudah mencalonkan Abdurrahman Ad Dakhil Wahid atau Gus Dur sebagai calon. Yang oleh Gus Dur yang masa itu sudah bermasaalah dengan matanya, ini dianggap serius.

Kesempatan itu hanya datang sekali, sebagai pakar ilmu politik Amien Rais, rupanya tidak pandai membaca dan sangat naif bermain politik.

Padahal BJ Habibie, yang cerdas dan bacaan politiknya yang jauh melihat kedepan, semasa mengganti Suharto dan mahu membentuk kabinet sudah menawarkan jawatan menteri kepada Amien Rais, boleh pilih menteri apa saja.

Sebab perancangan BJ Habibie bila sidang MPR 1999, BJ Habibie akan berpasangan dengan Amien Rais untuk menjadi calon presiden dan timbalan,  apabila BJ Habibie mundur maka Amien Rais akan naik menggantikannya, Amien Rais menolak katanya dia hanya mahu menjadi calon presiden dan melalui pilihanaya umum presiden.

Buktinya pilihanraya presiden Julai 2004, Amien Rais yang bersuku Jawa dari Solo ini, namun orang Jawa menilainya Amien Rais, bukan seperti orang Jawa yang berbahasa halus, namun seperti orang Batak bersuara keras dan kasar.

Dia hanya berada dikedudukan nombor empat setelah SBY-Jusuf Kalla, Megawati-Hasyim Muzadi, Wiranto-Salahuddin Wahid, Amien rais hanya menang di Jakarta, Sumatera Barat, Aceh dan dari pengundi di luar Indonesia.

Kini apa sudah jadi dengan Amien Rais, dia banyak dilupakan orang dan jarang lagi menyebut namanya, apakah dia juga mengkhianati BJ Habibie pembacalah yang akan menilainya.

No comments:

Post a Comment