Thursday, September 20, 2012

Di sebalik filem ‘Innocence of Muslim’

 



BACA DAN FAHAM BETUL2

Saya marah, dan marah itu wajar. Hal ini kerana, sebagai umat Muhammad SAW, saya mesti mencintai Nabi Muhammad SAW sepenuh hati. Orang yang mencintai nabi, mereka tidak rela Muhammad SAW dihina. Saya mesti mempertahankan maruah nabi, kerana menghina nabi saya samalah seperti menghina Allah SWT, Tuhan saya. Saya sanggup mati demi Allah dan Rasul-Nya.


Anas bin Malik pernah mengungkapkan daripada Nabi SAW iaitu: “Seseorang kamu tidak beriman (masih tidak sempurna Imannya) sehingga Allah dan Rasul-Nya lebih disayanginya (dicintainya) daripada apa yang selain kedua-dua itu (Allah dan Rasul-Nya).” (Hadis riwayat Ahmad)


Lalu, saya kagum dengan kebangkitan umat Islam serluruh dunia mempertahankan Nabi Muhammad SAW. Dunia seluruhnya menjadi saksi, inilah saki-baki kecintaan umat Islam kepada nabi, walaupun realitinya sunnah nabi semakin dipinggirkan kini. Dunia sedar, mempermainkan Muhammad samalah seperti menendang kepala setiap umat Islam. Ia membawa padah!


Ironisnya, kenapakah kejadian penghinaan ini terus berulang-ulang. Tidak sekadar sekali, bahkan berkali-kali. Nabi Muhammad SAW pernah digambarkan dalam pelbawai watak karikatur yang amat bercanggah dengan sifat mulia baginda yang sebenar.


Elemen keganasan yang ditempel pada wajah baginda, amat tidak tepat. Realitinya Muhammad adalah manusia paling santun dan penyabar. Buktinya dalam sejarah, Muhammad tidak sewenang-wenang menyakiti apatah lagi memerangi manusia lain.


Cuba lihat, ketika masih di Kota Mekah dan kala itu Mekah dikuasai oleh kaum jahiliyah Quraisy, Muhammad pernah dihina dan diaibkan dengan dilempari kata-kata kesat, dianggap gila, pernah dicekik ketika sedang solat di hadapan Ka’abah bahkan tubuhnya pernah dilambakkan najis perut unta ketika sedang sujud menyembah Allah SWT.


Apakah Muhammad bingkas bangkit melawan para pendengki? Tidak, Muhammad bersabar dan darjah kesabaran itu saya yakin, tidak mampu dimiliki oleh manusia lain selainnya. Walhal, sebelum Muhammad menyeru seluruh manusia agar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, baginda digelar al-Amin (paling terpercaya) oleh seluruh manusia Mekah. Mereka mempercayai Muhammad melebihi mereka meyakini anak isteri mereka sendiri!


Apa yang berlaku, penindasan itu turut melanda umat Islam yang bersifat minoriti dan lemah di Mekah. Ammar bin Yasser, Sumaiyah, Bilal bin Rabah, Khabbab dan ramai lagi menderita siang dan malam dibelasah kaum jahiliyah Mekah.


Akhirnya, golongan tertindas ini tidak mampu menahan diri lantas menemui Muhammad dan meminta agar baginda berdoa memohon pertolongan Allah. Muhammad merasa terganggu dengan sikap ‘tidak sabar’ sahabat-sahabatnya, sehingga nabi menyatakan, umat terdahulu lebih teruk diuji dan disiksa, maka kenapakah mereka tidak bisa bersabar?


Ada dua kepelikan di sini. Pertama, pelik betapa penghormatan golongan Quraisy boleh lenyap hanya kerana seruan Muhammad. Kenapakah seruan tidak dibalas dengan seruan. Jika mereka merasa benar, berhujahlah dengan Muhammad secara bijaksana dan bukannya menggunakan kekerasan dan najis unta. Kepelikan kedua, kenapa Nabi Muhammad SAW enggan melawan. Sebaliknya mengambil pendekatan bersabar dan mencari jalan mengelakkan pertempuran.


Masa berlalu. Islam yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW pasca kewafatannya terus berkembang. Islam pernah mendominasi dunia, dari Jazirah Arab sehinggalah ke Benua Afrika. Islam berkembang ke Asia juga Benua Eropah. Kepulauan yang terpencil seperti di nusantara ini pun, turut menerima kehadiran Islam dengan senang hati. Tidak tercatat dalam sejarah Melaka atau di Jawa, berlakunya peperangan menerima kedatangan Islam oleh sultan dan rajanya.


Jika kita terus membaca sejarah, ramai tokoh pemimpin Islam yang mewarnai peperangan dan siasah dengan pertunjuk Rasulullah SAW. Ambil sahaja Umar al-Khattab yang ditangannya Kerajaan Farsi menyerahkan mahkota kaisarnya, bukankah Farsi tunduk kepada Islam lantaran akhlak pemimpin dan tentera Islam. Begitulah juga, saat Umar al-Khattab dikhabarkan datang membuka pintu kota Baitul Maqdis di Jerusalem, beliau hanya mengenakan jubah yang bertampal sahaja!


Begitu juga, sewaktu Sultan Muhammad al-Fateh mahu membuka pintu Kota Konstantinopel, siapakah yang membantu baginda jika bukan bekas musuh-musuh Islam yang akhirnya memeluk Islam dan membantu semahunya. Kenapakah mereka berpaling tadah menyebelahi Islam? Tidak lain, kerana pemimpin dan tenteranya berakhlak mulia seperti mana Rasulullah SAW.

Terlalu banyak teladan mulia pemimpin Islam dan juga tokoh-tokoh rakyat biasa yang boleh dijadikan pedoman. Namun, tidak perlu rasanya kita mengulang baca sejarah itu di sini. Yang lebih utama, hari ini kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW tidak lagi menjadi realiti. Ia hanya menjadi bahan kajian, dibukukan dan disyarahkan, sama ada di dalam dewan kuliah universiti ataupun di masjid dan surau. Seerah nabi memang dibaca, tetapi kosong, kurang penghayatan apatah lagi pengamalan. Lalu, di manakah buktinya cinta?

Allah SWT menyatakan: “Katakanlah (wahai Muhammad kepada seluruh manusia): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani).” (Surah Ali Imran: 31)

Ingatlah, cinta kepada Muhammad, mestilah mengikut neraca Allah iaitu wajiblah mengikuti akhlaknya Muhammad. Itulah sunnah yang dititipkan buat seluruh umat. Sunnah ini, bila diamalkan secara leluasa, ambil sahaja sunnah memberi dan menjawab salam, maka akan menzahirkan kemuliaan Islam. Ia menjadi tunjang kepada akhlak bermuamalah dan bermua’syarah (berhubungan) sesama manusia. Inilah intipati Islam, iaitu akhlaknya.

Lalu, apabila mutakhir ini musuh-musuh Islam cuba mencari titik-titik kelemahan umat Islam, ternyata pekerjaan mereka menjadi mudah. Ia mudah, lantaran umat Islam sendiri memang sudah menjauh daripada al-Quran dan as-sunnah. Maka, dengan hanya melontarkan sebiji bola, umat Islam pun tenggelam dalam kesibukan mengejar bola tersebut. Pada masa yang sama, musuh-musuh Islam pun memulas leher, kaki, tangan dan kepala umat Islam lain di luar padang bola berkenaan.

Inilah realiti umat Islam dalam menangani pelbagai isu hari ini. Isu penghinaan nabi memang serius, ia amat tragis dan tidak patut dibiarkan tanpa pembelaan. Yakinlah, andai Nabi Muhammad SAW ada hari ini, pasti baginda menitiskan air mata melihat betapa tabahnya umat baginda bermandi peluh dan menyedut asap pemedih mata kerana mempertahankan dirinya.

Namun, persoalan saya, apakah nabi juga tidak menitiskan air matanya melihat betapa ramai umat Islam di dunia hari ini, dibunuh dan dinafikan hak kehidupan mereka, rumah dibakar, anak dan isteri diperkosa, anak kehilangan bapa dan dihalau dari kampung halaman tanpa salah dan dosa. Inilah situasi di luar padang bola yang sedang berlangsung di Myanmar, di Syiria, di Palestina bahkan di mana-mana saat ini di dunia.

Nah! Berjayalah musuh-musuh Islam melarikan perhatian kita. Mereka berpesta pora meneruskan penindasan di atas helah dan penipuan yang mereka sendiri reka dan cipta. Itulah sebiji ‘bola’ yang mereka lemparkan. Sayangnya, umat Islam terus bersorak-sorai mengejar dan menendang ‘bola’ itu dengan perasaan marah yang membara, walhal pada masa yang sama, mungkin mereka tidak sedar dan terus lalai untuk bingkas membela maruah umat Islam lain yang masih bernyawa.

Bagi saya, sebagai muslim, bukan sekadar perlu bagi saya untuk membela maruah umat yang telah tercalar di dada media; bahkan menjadi lebih utama dan wajib bagi saya mempertahankan maruah Islam seluruhnya yang terus diinjak di depan mata di mana-mana. Soalannya, mahukah kita kembali berpaksakan kepada pertunjuk dan cinta Rasulullah SAW ‘sebenar’ dalam membela agama? Wallahua’lam.

www.hamizul.com

No comments:

Post a Comment