Kita sebagai warganegara Malaysia,
telah dikurniakan kemerdekaan yang kita kecapi ini adalah juga berupa nikmat Allah kepada
kita yang wajib kita syukuri bersama. Dengan nikmat kemerdekaan yang
kita nikmati ini membolehkan kita hidup aman bahgia.
Hari ulang tahun
kemerdekaan Malaysia yang ke-55 yang kita kecapi hari ini, adalah nikmat
Allah Taala kepada kita hasil perjuangan generasi terdahulu yang
berkorban harta benda, jiwa raga dan seluruh kehidupan mereka menentang
penjajahan. Ianya menjadi hadiah yang tidak ternilai kepada kita yang
berupa keselesaan dan keamanan menjalani kehidupan tanpa rasa takut dan
risau dalam melakukan ibadah dan tugas seharian. Sebagai Muslim, kita
hendaklah sentiasa memastikan segala perbuatan dan tindak tanduk kita
bertepatan dengan kehendak Allah.
Timbul
satu persoalan kepada kita, apakah kekuatan yang ada pada generasi
terdahulu sehingga sanggup bersusah payah berjuang membebaskan negara
daripada penjajah ??? Siapakah yang mengerakkan mereka untuk berkorban
harta dan jiwa, demi kelangsungan kehidupan anak cucu mereka???
Sedarilah bahawa yang menimbulkan kesedaran kepada generasi
terdahulu untuk membebaskan negara ini, dan sanggup berkorban harta dan
jiwa adalah Allah SWT. Allah Taala sahajalah yang mampu untuk
menimbulkan kesedaran dan memberi kekuatan kepada mereka untuk berjihad
membebaskan negara. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk
memberi kemudahan dan kemaslahatan kepada kita, untuk melakukan ibadah
kepada Allah dan memudahkan urusan seharian kita. Maka, janganlah kita
cemari pengorbanan mereka dengan membangkitkan kemurkaan Allah dan
mengabaikan segala titah perintah Allah terhadap kita.
Tahap
kesedaran dan penghayatan kemerdekaan bukanlah dinilai dengan
penglibatan kita dalam program sambutan kemerdekaan yang dianjurkan oleh
berbagai pihak. Bukan juga dinilai dengan banyaknya kibaran jalur
gemilang yang ada di kediaman dan dijalanraya. Tidak hanya dikira dengan
imbasan dan penceritaan semula kisah-kisah perjuangan saki baki pejuang
yang masih ada. Namun kesedaran dan penghayatan yang lebih bermakna
adalah dinilai setakat mana kita mengisi kemerdekaan ini sepanjang
kehidupan kita. Pengisian kemerdekaan hendaklah bertepatan dengan
kehendak Allah yang telah mengurniakan kemerdekaan kepada kita. Tidak
ada kemerdekaan yang lebih besar daripada kemerdekaan hati dan jiwa
orang-orang yang beriman yang sentiasa mengingati Allah. Di antara
tanda-tanda kita mengingati Allah ialah:
1. Mendirikan solat.
2. Hati merasa gementar apabila disebut nama-nama Allah.
3. Semakin bertambah keimanan kepada Allah, apabila dibacakan ayat-ayat Allah.
4. Lidah sentiasa basah menyebut nama-nama Allah yang indah.
5. Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah.
6. Merasakan nikmat Allah yang kecil sebagai nikmat yang besar.
7. Sentiasa beristighfar dan memohon taubat di atas maksiat yang dilakukan walaupun dosa-dosa kecil.
8. Merasakan bahawa segala yang kita miliki di atas dunia ini, adalah milik mutlak Allah Taala.
9.
Berlumba-lumba melakukan amal kebajikan dan memberi manfaat kepada
kedua ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan
masyarakat Islam keseluruhannya.
10. Mengambil berat kebajikan saudara seagama yang menerima nasib malang, musibah dan malapetaka.
Maka
marilah kita memerdekakan hati dan jiwa kita agar pengorbanan nenek
moyang kita memerdekakan Negara tidak menjadi sia-sia. Jangan hanya kita
hanya meraikan kemerdekaan yang telah memberi peluang untuk kita
mendekatkan diri kepada Allah, namun kita isikan kemerdekaan ini dengan
aktiviti dan program yang mengundang kemurkaan Allah.
Esok adalah hari ulang tahun kemerdekaan tanah air kita yang ke-55.
Kemerdekaan tanah air kita adalah merupakan ketetapan daripada Allah
Yang Maha Bijaksana, pencipta dan pentadbir alam ini. Segala yang
berlaku adalah dengan kehendak dan iradah-Nya. Segala-segalanya telah
direncanakan sebelum terciptanya alam raya ini. Apabila Allah
berkehendak untuk menjadikan sesuatu, Dia hanya mengucapkan “Jadilah”,
maka jadilah perkara tersebut. Sesungguhnya, Allah tidak sekali-kali
menyalahi janji-janji-Nya kepada makhluk ciptaan-Nya. Segala janji Allah
adalah benar dan pasti berlaku.
Kita sebagai makhluk Allah
Taala, perlu berusaha untuk mengingati Allah dalam setiap keadaan,
menghubungkait segala sesuatu yang berlaku ke atas diri kita adalah
datangnya daripada Allah Taala, bersyukur di atas segala nikmat-Nya,
sentiasa melakukan amal kebajikan dan memberi manfaat kepada orang lain,
dan janganlah kita kufur dan menolak ketentuan dan ketetapan yang
datang daripada Allah Taala. Ingatlah, semua perkara yang berlaku ke
atas diri sama ada baik atau pun buruk adalah untuk menguji tahap
keimanan kita kepada Allah. Ingatlah kita semua kepada Allah, kerana
sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang
tenteram
Rujukan: Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak
Marilah bersama mengisi kemerdekaan dengan redha ALLAH SWT
No comments:
Post a Comment