Friday, March 23, 2012
Akademik Dan Kemahiran : Asas Berkerjaya
Hari Rabu, 21 Mac 2012 terungkai sudah debaran setiap pelajar yang telah menjadi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011. Dah menjadi tanggapan umum bahawa SPM telah diiktiraf sebagai penanda aras pencapaian akademik bagi menentukan hala tuju masa depan pelajar.
Maka akan bermulakah sebuah perjalanan untuk kehidupan masa depannnya. Yang cemerlang tentunya bercita-cita melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sementara bagi keputusan sederhana pula mencari institusi setara kelayakan.Yang dianggap gagal juga akan merencanakan hala tuju untuk mencapai kerjaya masa depan masing-masing.
Setelah melihat slip keputusan yang berada ditangan dengan catatan makna tersendiri menyebabkan emosi sedikit terganggu.. nagis gembira atau terkedu atau hiba. Tetapi walaupun berada dalam situasi manapun setiap pelajar yang rasional amat perlu bersikap optimis dan segera merancang langkah seterusnya bagi memulakan penghijrahan kehidupan baru.
Berjaya atau tidak bukan persoalan kerana setiap pelajar mempunyai peluang dan pilihan sama tara untuk membina masa depan. Mungkin caranya saja berbeza,paling penting, pemilihan peluang perlu tepat supaya dapat membantu pelajar membina masa depan lebih baik.
Setiap pilihan perlu diberi pertimbangan wajar dengan menekankan segala aspek kemungkinan walaupun pelajar membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pengajian, menceburi bidang kerjaya atau menduduki semula peperiksaan.
Keputusan yang diambil juga mestilah selari dengan hasrat pelajar dan bukan disebabkan paksaan bagi mengelakkan masalah pada masa depan.Pelajar perlu tahu kehendak sebenar diri sendiri. Pilih pilihan yang benar-benar diingini supaya tidak menyesal atau menimbulkan masalah.Pertimbangan perlu dibuat secara rela dan bukan paksaan demi kebaikan bersama. Jangan buat keputusan terburu-buru atau mengikut kehendak orang lain.Buatlah keputusan bijak biar pun keputusan itu ada kalanya tidak menggembirakan orang lain.Biar apapun keputusannya, pastikan ia tepat dan bersesuaian dengan kehendak diri supaya tidak menyesal hingga memusnahkan masa depan yang baru bermula
Kini akses pendidikan mudah dan pelbagai akan memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk membuat pilihan diingini. Persaingan sengit dalam bidang pekerjaan kini perlu diberi fokus bagi setiap pelajar dalam memilih kursus yang akan diikuti nanti.
Buat mereka yang berjaya, boleh meneruskan hasrat melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pilihan dalam pelbagai peringkat seperti matrikulasi, diploma atau ijazah.Sementara yang gagal atau kurang berjaya pula masih boleh memilih institusi berasaskan kemahiran yang juga banyak menawarkan program berprestasi tinggi di pasaran.
Sesungguhnya ada pelbagai pilihan yang boleh dilakukan termasuk berdasarkan minat dan cita-cita yang memenuhi keinginan pelajar. Pilih saja dan tentukan hala tuju masa depan yang diingini.Jangan rasa rendah diri lantas mengatakan tidak ada peluang untuk melanjutkan pelajaran disebabkan faktor seperti tidak layak atau tidak pandai.Tidak berjaya dalam akademik bukan bermakna kegagalan sepenuhnya dalam hidup.
Membuat pilihan yang betul boleh memberi banyak kelebihan. Akademik dan kemahiran adalah media untuk bekalan penerus hidup.
Sentiasa optimis - resipi kejayaan hidup
Input: MyMetro
No comments:
Post a Comment