Thursday, January 6, 2011

"Hari Tanpa Beg Plastik"

Pada hari Sabtu lepas bermulanya hari pertama tahun baru 2011, sempatlah saya mengunjungi KB Mall, sebuah pasaraya besar di Kota Bharu. Belilah sedikit barangan keperluan berpadanan dengan duit yang ada dalam poket. Sampai di kaunter, juru jualnya memaklumkan beg plastik tak disediakan hari ini, malah setiap Sabtu kerana kempen jangan guna beg plastik. Maka respon segera dari saya kepada adik pelayan dikaunter berkenaan..sesuatu yang positif dan amat bagus, kita pelihara dan jagalah alam sekitar kita ini. Alternatifnya saya beli beg yang bukan dibuat dari bahan plastik sebagai bekas untuk barangan berkenaan.

Tujuan kempen adalah bagi mengalakkan budaya kitar-semula dan mendidik masyarakat mengurangkan penggunaan beg plastik sekaligus mengurangkan pencemaran putih atau white pollution

Tanpa hipokrasi setiap warga negara yang prihatin terhadap masa depan wajar mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan di atas pelaksanaan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik”. Bermula 1 Januari lalu, kempen dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu akan diteruskan pada setiap Sabtu di seluruh negara.

Kesan negatif penggunaan bahan plastik dalam aktiviti harian sudah dimaklumi umum. Ia bukan sahaja dibuktikan secara saintifik berupaya memudaratkan kesihatan penggunanya, malah turut meninggalkan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar.

Justeru, sebagai usaha menyelamatkan bumi yang bakal diwariskan kepada generasi akan datang, kerajaan dianggap mengambil langkah tepat menggerakkan kempen lebih bersungguh mengurangkan penggunaan pelbagai barangan dari bahan yang sukar dihapuskan itu.

Sasaran utama buat masa ini ialah mengajak rakyat mengurangkan penggunaan beg plastik. Menerusi kempen ini pelanggan pasar raya, pasar raya besar dan beberapa premis perniagaan terpilih di seluruh negara tidak lagi dibekalkan beg plastik percuma tatkala membeli-belah di situ.

Sebaliknya, mereka akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dibekalkan premis berkenaan pada setiap Sabtu. Hasil jualan beg tersebut akan dikumpulkan dalam tabung khas bagi melaksanakan program kepenggunaan dan kemasyarakatan, terutama yang menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Kerajaan Pulau Pinang dikatakan telah memulakan kempen itu untuk sehari seminggu sejak 1 Julai 2009 hingga Disember tahun sama. Ia diperluaskan kepada tiga hari seminggu menerusi fasa kedua bermula 1 Januari 2010. Dan apabila masuk fasa ketiga nanti, maka tidak akan dibekalkan dengan beg plastik.

Kini, kempen itu bukan sahaja dilaksanakan setiap hari, bahkan turut diperluaskan kepada lebih banyak premis perniagaan termasuk farmasi, rangkaian kedai nasi kandar, restoran makanan segera dan kedai serbaneka.

Ia menampakkan usaha serius menghampiri hasrat menjadikan negeri itu bebas dari beg plastik, sepertimana dialu-alukan pelbagai pihak yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar.

Tambahan pula penguatkuasaan peraturan terbaru itu tidak dibuat secara mengejut. Ia dilakukan setelah didahului dengan proses pendidikan berperingkat sejak Julai 2009

Mulai Januari 2010, Kerajaan Selangor juga telah melaksanakan satu kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” setiap sabtu.

Bagi kita kaum pendidik yang terus bekerja untuk mendidik, marilah kita amalkan budaya ini terlebih dahulu.

Kini apabila ke pusat membeli belah di pasar raya, saya telah menyedia dan membawa beg bukan plastik untuk mengisi apa yang dibeli.

Dan kita tidak boleh lupa bahawa tiada makhluk lain yang akan merosakkan bumi yang indah ini kecuali kita yang bergelar manusia.

Kita realisasikan "Hari Tanpa Beg Plastik" ini dan lebih afdalnya lagi " Hari-hari Tanpa Beg Plastik "

Renunglah petikan ini..

LOS ANGELES: Majlis Bandaraya Los Angeles yang mengundi semalam mengharamkan penggunaan beg plastik di pusat beli-belah mulai 1 Julai 2010.

Sehubungan itu, pengunjung hanya dibenar membawa beg sendiri untuk memasukkan barangan yang dibeli atau membayar 25 sen untuk mendapatkan beg kertas.

Pegawai majlis bandaraya itu berkata, pengharaman beg plastik itu sebagai langkah mengurangkan sisa buangan di Los Angeles, yang menyaksikan penggunaan lebih 2.3 bilion beg plastik setahun.

Majlis itu juga mengundi supaya pentadbiran negara meluluskan undang-undang mengharamkan penggunaan beg plastik pada 2012 dan mengenakan caj sekurang-kurang 15 sen untuk beg kertas kepada pengguna.

Tahun lalu, San Francisco menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat mengharamkan beg plastik yang berkuatkuasa November. - AP


Lantas mari kita guna beg kertas (paper bag)


Semasa saya masih lagi kecil,rata-rata kedai runcit/borong menggunakan beg kertas (brown paper bag) untuk mengisi barang yang dibeli pelanggan seperti yang dipraktikkan oleh negara-negara barat sekarang. Beg kertas amat mudah dilupuskan dan bagi saya ia adalah penyelesaian untuk masalah penggunaan dan pelupusan bahan plastik.

SAYANGILAH ALAM SEKITAR KITA

No comments:

Post a Comment