Thursday, November 11, 2010

Standard Kurikulum Sains 2011

Tidak akan disebut lagi mata pelajaran sains tetapi akan disebut sebagai Modul Sains dan Teknologi (DST) dengan pendekatan bertema.Begitulah juga bagi kebanyakan modul yang lain (yang telah dipaparkan dalam posting sebelum ini). Sepatah kata dari Kata Pengantar Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, iaitu:

" Standard Kurikulum yang dibangun ini tidah hanya menekankan penyepaduan antara pemerolehan pengetahuan, penggunaan kemahiran dan pengamalan sikap saintifik dan nilai murni tetapi juga menekankan kebolehan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi dalam kehidupan seharian"

Dalam Tema DST, menggabungkan elemen Sains, Reka Bentuk & Teknologi (RBT) dan Teknologi Maklumat & Komunikasi (TMK). Modul khas penggunaan TMK turut disediakan bagi membolehkan guru membimbing murid mengaplikasikan TMK dalam pembelajaran mereka.
Mengikut displin Dunia Sains dan Teknologi, murid Tahun Satu akan didedahkan kepada penguasaan ICT yang memfokus kepada kemahiran menggunakan aplikasi dan program komputer-mempelajari Microsoft Word, Microsoft Power Point dan Painting.
Bagaimanapun, penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid Tahun Satu sebagai menyuntik nilai tambah dari segi kreativiti dan inovasi.

Selepas mendapat pendedahan selama 12 waktu setahun ini ( 1 waktu = 30 minit), murid akan mengasah dan memantapkan kemahiran dikuasai itu secara berterusan dan menggunakannya merentasi kurikulum untuk membantu keberkesanan pembelajaran displin pelajaran yang lain.

Dari segi pengisian kurikulum Sains pula ia di pecahkan kepada ,
1. Sains Hayat akan mendedahkan murid Tahun Satu kepada pembelajaran objek hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan,
2. Sains Fizikal berkaitan semua jenis deria, dan
3. Sains Bahan pula membabitkan teknologi serta kehidupan lestari yang merangkumi cipta bahan dan reka bentuk.

Bagi guru yang terlibat, Pengajaran subjek Dunia Sains dan Teknologi untuk murid Tahun Satu ini membabitkan dua waktu seminggu di mana mereka akan banyak terdedah kepada proses pembelajaran menyeronokkan menerusi kaedah inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik.

Standard kurikulumnya telah menyediakan peluang yang secukupnya untuk murid menjalankan penyiasatan saintifik melalui aktiviti hands-on. Jika dalam KBSR, perkara ini juga diberi fokus utama, tetapi dengan peluang masa dan ruang tidak begitu mencukupi buat guru dan murid untuk melaksanakan aktiviti amali ( yang amat penting ialah habiskan silibus yang agak padat).

Pendekatan inkuiri, penerapan kemahiran berfikir dan strategi berfikir serta pembelajaran berfikrah perlu ditekankan sepanjang proses P & P bagi membolehkan murid bersedia dalam alam pekerjaan mereka nanti.

Standard Kandungan merupakan pernyataan umum tentang domain kognitif yang mengandungi unsur pengetahuan,kemahiran saintifik, kemahiran berfikir,dan domain efektif yang mengandungi sikap saintifik dan nilai murni yang boleh dicapai oleh murid dalam sesuatu subtopik .

Manakala Standard Pembelajaranya pula merupakan penyataan khusus tentang apa yang murid patut tahu atau konsep yang difahami dan keupayaan melakukan sesuatu yang membolehkan murid menunjukkan profisiensi mereka dalam pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni dalam bentuk yang boleh diukur.Standard Pembelajaran tidak menujukkan langkah pengajaran -pembelajaran di mana guru diberi ruang dan peluang untuk berkreativiti dalam penyediaan persekitaran pembelajaran kondusif di mana akhirnya murid dapat membentuk konsep dan mengembangkan kemahiran, sikap saintifik dan nilai murni.

Proses pengajaran dan pembelajaran sepatutnya dirancangf secara holistik dan bersepadu bagi membolehkan beberapa Standard Pembelajaran dicapai bergantung kepada kesesuaian dan keperluan pembelajaran.Justeru, guru yang mengajar DST ini sewajarnya meneliti semua Standard Pemebelajaran dalam Standard Kurikulum yang berkenaan sebelum merancang aktiviti P & P

Standard Kandungan bagi domain efektif diterap secara tidak langsung semasa Standard Kandungan bagi domain kognitif dijalankan.

Aktiviti boleh dipelbagaikan untuk mencapai satu Standard kandungan bagi memenuhi keperluan pembelajaran sesuai dengan kebolehan serta gaya pembelajaran murid.


------------------------------------------------------------------------------------
Petikan Berita Harian Online:
Dunia Sains dan Teknologi dedah murid kemahiran ICT

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran baru, Dunia Sains dan Teknologi akan diperkenalkan bagi murid Tahun Satu mulai tahun depan untuk menggantikan subjek Sains di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Mata pelajaran baru itu akan memberi pendedahan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara praktikal atau `hands-on’ bermula Tahun Satu, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan ilmu itu merentasi kurikulum untuk pembelajaran subjek lain.
Selain itu, mereka juga akan mempelajari asas sains hayat, sains fizikal dan sains bahan yang diberi penilaian berasaskan sekolah melalui kaedah pemerhatian secara berterusan serta pelbagai pendekatan meliputi secara bertulis dan projek ditentukan guru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru yang terbabit dalam subjek baru itu sudah mula menjalani kursus peringkat daerah.

Mengikut sukatan pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, murid Tahun Satu akan didedahkan kepada penguasaan ICT bagi enam minggu pertama yang memfokus kepada kemahiran menggunakan aplikasi dan program komputer.

“Pada dua minggu pertama, murid akan mempelajari Microsoft Word, diikuti Microsoft Power Point pada minggu ketiga dan keempat, manakala minggu kelima dan keenam pula didedahkan kepada Painting.
“Bagaimanapun, penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid Tahun Satu sebagai menyuntik nilai tambah dari segi kreativiti dan inovasi.

“Selepas pendedahan enam minggu, murid akan mengasah dan memantapkan kemahiran dikuasai itu secara berterusan dan menggunakannya merentasi kurikulum untuk membantu keberkesanan pembelajaran mata pelajaran lain,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dari segi pengisian kurikulum Sains pula, Mohamed Sabri berkata, sains hayat akan mendedahkan murid Tahun Satu kepada pembelajaran objek hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, manakala sains fizikal berkaitan semua jenis deria, dan sains bahan pula membabitkan teknologi serta kehidupan lestari yang merangkumi cipta bahan dan reka bentuk.

“Pengajaran subjek Dunia Sains dan Teknologi untuk murid Tahun Satu ini membabitkan dua waktu seminggu di mana mereka akan banyak terdedah kepada proses pembelajaran menyeronokkan menerusi kaedah inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik,” katanya.

Bagaimanapun bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, Mohamed Sabri berkata, Kementerian Pelajaran perlu bertindak proaktif melengkapi semua sekolah rendah dengan kemudahan makmal komputer atau sekurang-kurang peralatan komputer di setiap kelas Tahun Satu menjelang sesi persekolahan tahun depan.

“Masih ada sekolah rendah yang tidak memiliki kemudahan makmal komputer atau peralatan itu di bilik darjah. Sekiranya tidak ditangani segera, dikhuatiri akan menjejaskan matlamat pelaksanaan KSSR,” katanya.


------------------------------------------------------------------------------------
Seorang guru DST disemestinya berkebolehan merancang aktiviti yang dapat melibatkan murid secara aktif bagi menjana pemikiran secara analisis, kritis, inovatif dan kreatif disamping menggunakan teknologi (TMK) sebagai wahana dalam mencapai Standard Kandungan tersebut dengan lebih berkesan.

Standard Kurikulum Sains turut menerapkan Elemen Merentas Kurikulum (EMK) selain TMK (yang telah sedia ada dalam DST) iaitu Keusahawanan dan Kreativiti & Inovasi sebagai persediaan ke arah menyediakan modal insan yang beruapaya menyumbang ke arah menjadikan negara sebagai negara yang berpendapatan tinggi selaras dengan hasrat Model Baru Ekonomi (MBE).

No comments:

Post a Comment