Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan Buat Tuan Yang Beriman


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 11 Ogos 2010 bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

1 Ramadan 1431H.
Ahmad Baei Jaafar

Malam ini kita akan mula bertarawih, malam ini juga kita akan mula berniat untuk melakukan puasa Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan. Malam ini jugalah kita akan mula bangun sahur dengan penuh rasa bersemangat untuk memulakan puasa. Mungkin pada malam pertama ini juga ada yang sudah memulakan amalan taddarus al-Quran. Selamat memulakan ibadah atau amalan yang baik pada malam ini kerana lazimnya sesuatu yang bermula pada malam pertama dengan baik akan berakhir dengan yang baik juga.

Ramadan 1431H mungkin merupakan ulang tahun ke 40 bagi sesetengah orang, boleh jadi juga ada yang pada kali ini menyambut ulang tahun ke 60 malah 70 tahun bagi yang kini berusia 85 tahun. Kiraan ini mengambil kira usia seseorang ketika mula berpuasa iaitu pada usia 15 tahun. Tapi kalau seseorang itu berpuasa lebih awal daripada usia itu, tentu lebih lama dia bersama Ramadan.

Walau bagaimanapun mereka yang baru memulakan puasa pada usia yang agak lewat kerana terleka, tidak tahu atau malas, mereka masih ada peluang untuk menyemai kedudukannya dengan ibadah orang sebaya dengannya. Mereka masih diberi peluang untuk mengqada mana-mana yang tertinggal.

Bayangkan dalam usia yang begitu lama kita mengerjakan puasa dan saban tahun kita telah melakukan ibadah sunat, tentu sudah banyak manfaat yang telah diperoleh. Puasa yang dilakukan dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan itu telah dijamin kebaikannya oleh Rasulullah. Sabdanya:

إن الله فرض صيام رمضان وسن لكم قيامه فمن صامه وقامه إيمانًا واحتسابًا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه (أحمد ، والنسائى عن عبد الرحمن بن عوف)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memfardukan puasa Ramadan dan disunatkan bagi kamu qiyam pada malamnya. Maka sesiapa yang berpuasa dan qiyam dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan akan dikeluarkan dosanya seperti hari dia dilahirkan ibunya.”(Riwayat Ahmad, Nasai daripada Abdulrahman bin Auf)

Subhanallah, sudahkah kita berada di tahap itu? Sekian lama kita berpuasa saban tahun, berapa banyak dosa yang telah digugurkan. Masya-Allah, kalau kita sudah tiada dosa, sudah tentu mudahlah kita beroleh ketakwaan. Kalau ini yang terjadi tercapailah matlamat puasa seperti yang dikehendaki oleh Allah. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, difardukan kepada kamu puasa sebagaimana yang pernah difardukan kepada orang sebelum kamu, semoga kamu beroleh taqwa.” (al-Baqarah 2: 183)

Peningkatan taqwa kepada seseorang dapat dilihat pada setiap hari mereka berpuasa dan kemuncaknya dapat diserlahkan pada malam hari raya. Pada hari-hari berpuasa tutur katanya terkawal daripada dosa, ibadahnya lebih baik dari sebelumnya. Bukan itu sahaja, malah kesihatannya lebih bermutu. Dan pada malam raya, dia terus beribadah, memuji Ilahi dengan tahmid, tasbih dan takbir. Mereka ini sedih untuk meninggalkan Ramadan.

Saya percaya anda sekalian sudah mampu memperoleh ketaqwaan seperti yang disebut di atas. Namun jika anda berasa belum memperolehnya, belumlah lagi terlambat untuk anda memilikinya. Mulakan pada malam ini dengan mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Jadi, tidak ada yang mustahil dalam dunia ini. Allah mahu kita beroleh kebaikan dengan pelbagai cara. Puasa adalah jalan pintas untuk mereka beroleh taqwa. Maka rebutlah dengan sebaiknya semoga anda dan saya juga berjaya dalam mengharungi ibadah sepanjang Ramadan kali ini.

((Petikan dari Ahmad Baei Jaafar )

Sesungguhnya kita sekali lagi memasuki institusi tarbiyah ini dan insyaallah semoga kelak kita akan menjadi semakin lebih baik lagi taqwa kepada ALLAH .. Salam Ramadhan 1431 H

No comments:

Post a Comment