Friday, April 2, 2010
Tarikh 1 April 2010
Tahun 2010, pada hari semalam 1 April, Khamis merupakan tarikh bersejarah buat seluruh warga yang bernaung di bawah bumbung Jabatan Pelajaran Kelantan sama ada di JPN sendiri, PPD maupun di semua sekolah negeri ini.Pada tarikh berkenaan berlangsunglah apa yang dikatakan pertemuan dan perpisahan. Pertemuan adalah antara kami dengan insan yang pernah berkhidmat di JPN Kelantan, dari Putrajaya kembali balik bertugas sebagai Pengarah Pelajaran Kelantan yang baru manakala perpisahan adalah antara kami dengan insan yang tugas terakhirnya sebagai Pengarah Pelajaran Kelantan.
Semua dah mengenal kedua tokoh pendidikan ini.. yang datang ialah YABrs. Tuan Haji Hussain bin Awang manakala yang pergi ialah mantan YABrs. Tuan Haji Mohd Ghazali bin Ab Rahman ( Kini bergelar Dato' ...Sekalung Tahniah dari saya di atas pengurniaan Darjah Kebesaran ini.. yang menggambarkan pengiktirafan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja kepada bidang pendidikan di negeri Kelantan, Negeri Cik Siti Wan Kembang, Tanah Rendah Sekebun Bunga ini ). Pada tarikh ini juga, Jabatan Pelajaran Kelantan telah ada tokoh untuk memenuhi jawatan Timbalan Pengarah Pelajaran Kelantan, iaitu YBrs. Tuan Haji Zahari Daud. Tahniah untuk Tuan bertiga.
Pada sebelah paginya bertempat di Dewan SK Padang Garong 1, berlangsunglah majlis penyerahan tugas secara rasmi manakala sebelah malamnya bertempat di sebuah hotel di Kota Bharu telah berlangsung Majlis Budi Ditabur Jasa Di Kenang.Turut bersama memriahkan majlis ini ialah YBhg. Tan Sri KSU, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Apa yang begitu tertarik hati saya ialah sajak yang tertera pada buku program majlis berkenaan iaitu " Kepada yang Datang... Kepada Yang Pergi" hasil nukilan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Dato' A. Aziz Deraman.
Kepada yang datang
Ucap selamat kami sampaikan
dalam doa dan harapan
Bawalah wasiat turun temurun
Sejak asal kejadian kita dari syurga ke dunia
daripada Adam dan Hawa
Sejarah manusia dan para Rasul
Bagaikan musafir lalu dalam perjalanan
Menuju garis hari kemudian
Kitalah khalifah
Yang pergi dan yang datang
Syukur akan anugerahNYA
Kitalah yang hidup mengenali kehidupan
Upayanya memandang mendengar berkata-kata
Menyedut udara menghirup air
Dan tinggal selesa
Berfikir dan takwa meneguhkan hati
Mengumpul bekal dalam makna budi
Kepada yang pergi
Kepada Yang datang lihatlah
Kita pun tumbuh bagaikan pohon
Akarnya mencengkam bumi
Di Tanah kehidupan
Mengenali diri dan kenali NYA
Yang satu
Kerana itulah janji
Yang dipegang sejak dulu
Tugas adalah AMANAH
Laksana tanpa KARENAH
Taburkan jasa dengan HEMAH
Sempurnakan khidmat bagaikan IBADAH
Seperti mereka yang pergi
Bukti berbudi kepada bumi
Pohonnya merimbum jadi pelindung
Meninggalkan alam menjadi harum
Kita pun mengalir bagaikan sungai
Berikan irama pada rimba
sambil membersihkan batu-batu
Kerana itulah janji
Yang diopegang sejak dulu
Tugas adalah AMANAH
Laksana tanpa KARENAH
Taburlah bakti biar BARAKAH
Sempurnakan janji selama hayat
Seperti sungai yang mengalir
Menempuh berabad
Meninggalkan riak-riak jasa
Mengundang ikan-ikan kecil
Gembira berenang dengan damai di dasarnya
Kita pun tegak bagaikan gunung
Menjadi pasak bumi merdeka
Dijunjung tonggak tanah bertuah
Disinari mentari negara berdaulat
Dinaungi langit jati diri
Angin bangsa bermaruah
Disirami titisan hujan turun
Rahmat yang dipohon
Gununglah jadi pengikat bumi dan pohon
Tugas adalah amanah
Biar tegak tidak berubah
Seperti mereka yang pergi
Sekian lama menyemai bakti demi negara tercinta ibu pertiwi
Kepada yang pergi
Kepada yang datang
Dalam diri insan
Ada pohon ada sungai
Ada gunung bermain
AMANAH yang Maha Agung Rabbul Alamin
Yang perlu kita jaga sepanjang musim
Kepada yang pergi
Kepada yang datang
Kitalah kena membina
Gerbang kalimah syahadah
Jadikan anak kunci hayat
Bagi kita memasuki
Alam yang selamat
Guna mendengar berita gembira
Dan ambil peringatan
Kitalah dalam kalimat itu
Akan mewarnai kehidupan
Mengerjakan perintah
Dan Meninggalkan larangan
Dengan ikhlas dan yakin
Melakukan kebaikan
Tunduk kepada kemahuanNYA
Hingga ke ahir zaman
(13 November 1998)
Juga antara intipati ucapan oleh kedua-dua tokoh ini ialah meneruskan kerja sepasukan ke arah mencemerlangkan pencapaian pendidikan. Untuk itu, saya mewakili pegawai-pegawai Unit Sains Jabatan Pelajaran Kelantan bersama pegawai-pegawi Sains PPD dan semua guru-guru sains seluruh negeri sentiasa bersama Tuan untuk menjayakan hasrat suci ini.Semoga ALLAH memberkati...wassalam
No comments:
Post a Comment