Friday, October 9, 2009

Renungkanlah....

Khutbah Jumaat 9 Okt 2009 Cabaran Bencana Alam Dan Sikap Muslim Dalam Menghadapinya

Email : Saadiah Awek

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
9 Oktober 2009 / 20 Syawal 1430

Maasyiral Muslimin Rahimakumullah, Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang bertakwa dan sentiasa mengerjakan
kebaikan dan amal soleh. Semoga dengannya, kita mendapat kemuliaan dan kejayaan hakiki, Amin.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati,
Islam menyeru kita agar membuka segala pancaindera; penglihatan, pendengaran dan yang lain, agar kita sentiasa melihat sekeliling dan memahami alam dan dunia kehidupan kita. Keagungan dan kebesaran alam ciptaan Allah s.w.t. pasti tampak jelas bagi mereka yang merenunginya. Di sebalik kehebatan dan keagungan ciptaan Tuhan, tampak kecil dan kerdilnya kita sebagai manusia. Firman Allah s.w.t di dalam surah Yunus ayat ke 101,

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w), perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi (yang membuktikan kekuasaan Allah), dan tidaklah ia dapat memberi faedah kepada orang-orang yang tidak beriman.

Saudaraku sekalian,
Wujudnya kita tidak dapat dipisahkan dari alam sekeliling. Bahkan, keadaan kehidupan kita sangat terkait dengan setiap perubahan yang berlaku padanya. Bayangkan betapa kita perlu menyesuaikan diri apabila cuaca menjadi semakin panas, atau hujan turun menyebabkan banjir. Lihat bagaimana kehidupan sesuatu masyarakat berubah dengan dasarnya apabila paras air laut mula meningkat, seperti yang menjadi keprihatinan di kepulauan Maldives. Kerana itu, di antara tanggungjawab kita sebagai Muslim adalah untuk menjaga alam sekitar dengan sebaik-baiknya.

Contohnya, kita dilarang membazir sumber-sumber alam semulajadi, seperti air, tenaga dan sebagainya. Nabi s.a.w pernah bersabda kepada Saad bin Abi Waqqas ketika beliau berwudhu' yang bermaksud, "Pembaziran apakah ini wahai Saad? Lalu beliau bertanya, "Adakah dalam hal berwudhu pun ada pembaziran? Sabda Nabi s.a.w, "Ya, walaupun kamu berwudhu di tebing sungai yang mengalir airnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Saudaraku sekalian,
Jika kita memerhatikan dengan insaf, kita akan merasakan bahawa perubahan pada alam sekitar lebih kerap berlaku dewasa ini. Bahkan, perubahan ini berlaku dengan kesan yang besar pada kehidupan manusia. Contohnya, sekarang ini, berlaku lebih banyak gempa bumi, tsunami, banjir, tanah runtuh, wabak penyakit dan lain lagi. Manusia hilang harta benda, bahkan tidak kurang yang terkorban dalam peristiwa-peristiwa sedemikian.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh World Bank Study, bencana alam telah meningkat kepada 30% semenjak tahun 1990. Peningkatan ini datang dari bencana yang berkaitan dengan perubahan cuaca. Kita melihat dan merasakan sendiri bagaimana berlaku gempa bumi.

Bagi orang-orang yang beriman, ia pasti menginsafkan kita. Keimanan kita mengajar kita bahawa setiap musibah yang berlaku yang bukan dari perbuatan manusia sendiri sebenarnya adalah dengan ketentuan Allah s.w.t. Pergerakan plat tektonik yang menyebabkan gempa, pergerakan awan tebal yang menurunkan hujan yang lebat, perbezaan tekanan (pressure) di udara yang menyebabkan tiupan ribut taufan, adalah berlaku dengan kehendak dan izin Allah s.w.t. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 22:

Maksudnya: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan dibumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab kami (pengetahuan kami) sebelum kami jadikannya, sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah".
Begitu juga firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-An'aam ayat ke 17,

Maksudnya: Dan jika Allah menimpakan kamu dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia, dan jika Dia melimpahkan kebaikan, maka Dia-lah Maha Kuasa atas tiap sesuatu.

Saudaraku sekalian,
Namun, mungkin kita bertanya, mengapa ia berlaku di suatu tempat, menimpa satu masyarakat dan negara, dan bukan orang yang lain? Pastinya, apa yang berlaku adalah ujian untuk menilai tahap keimanan dan kesabaran seseorang hamba-Nya. Peristiwa sedemikian juga mengajak kita bermuhasabah diri untuk melakukan perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah. Mereka yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t., maka ianya sebagai peringatan serta peluang untuk kembali bertaubat dan mengukuhkan keimanan. Firman Allah s.w.t, dalam surah al-Baqarah ayat 214:

Maksudnya: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu ujian dan cubaan seperti yang telah berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada kamu?. Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya) sehinggalah berkata rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya; "Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat".

Saudaraku sekalian,
Musibah sedemikian juga menguji tahap persaudaraan kita. Adakah kita menyayangi mereka yang terjejas seperti mana kita menyayangi diri kita sendiri? Adakah kita membantu mereka sedaya upaya kita dan mendoakan mereka? Di sini peranan usaha-usaha kemanusiaan sangat penting. Sebagai umat Islam, kita perlu sama-sama menyokong dan mendokong segala usaha tersebut, demi semangat hubungan kemanusiaan yang baik seperti yang diajarkan Islam.

Begitu juga, musibah sedemikian mengingatkan kita bahawa kehidupan kita ini, terutama hari ini, penuh dengan ketidak-tentuan. Apa sahaja boleh berlaku. Makanya, janganlah kita menangguhkan kebaikan yang ingin kita lakukan. Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Jika berlaku hari kiamat dan di tangan kamu ada sebutir benih, maka taburkanlah benih itu." (Hadis riwayat Imam Ahmad) Begitu juga, dosa, kesilapan, dan semua perbuatan yang tidak baik, dan masing-masing kita mengetahuinya, yang ingin kita tinggalkan, maka janganlah kita berlengah-lengah untuk meninggalkannya.

Lahirkan rasa kasih sayang dan berbaik-baik dengan orang yang kita sayangi, ahli keluarga, teman dan sebagainya. Ramai kita yang menyesal tidak sempat berterima kasih, tidak sempat meminta maaf, tidak sempat mengatakan kasih dan sayang kepada mereka. Kita juga perlu terus berdoa kepada Allah agar kita sentiasa dipeliharanya dari musibah dan bala'.

Sidang Jumaat sekalian,
Namun, ada bencana yang berpunca dari perbuatan manusia sendiri. Contohnya, proses industrialisasi menyebabkan pembakaran karbon lantas menyebabkan kesan "greenhouse" dan menaikkan suhu darjah dunia. Membakar hutan juga boleh menyebabkan kerosakan pada alam ini. Sikap penggunaan sumber-sumber alam dengan boros dan berlebihan juga akan menyumbang ke arah alam yang semakin sakit dan melarat. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Rum ayat ke 41 yang bermaksud, "Telah timbul kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia."

Oleh itu, sesuai dengan ajaran Islam, kita masih lagi mempunyai tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik. Itulah amanah yang kita perlu pikul bersama. Bukan sahaja terhadap diri kita dan keluarga, bahkan kepada alam sekitar yang mana kita menikmati keindahan dan segala kemudahannya.

Semoga kita menjadi manusia yang bersyukur kepada Allah di atas
nikmat-nikmat ini, lantas menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya, sesuai
dengan visi menjadi umat pembawa rahmat buat seluruh alam, Amin.


Renungkan lah...

No comments:

Post a Comment