Najib: Tujuh dosa besar pembangkang terhadap rakyat dan umat Islam
15 Mac 2013
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
TANAH MERAH - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat supaya menolak
pakatan pembangkang termasuk parti Pas di Kelantan pada Pilihan Raya
Umum (PRU) ke-13 akan datang kerana mereka telah melakukan tujuh dosa
besar terhadap rakyat dan umat Islam di negara ini.
Perdana Menteri menggariskan antaranya dosa parti Pas ialah membenarkan
penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam, gagal menunaikan janji
kepada rakyat Kelantan, membenarkan pemimpin DAP secara rakus
membotakkan kawasan di Tanah Tinggi Lojing serta mempermainkan matlamat
perjuangan Pas sendiri.
"Dosa Tian Chua (Naib Presiden PKR) terhadap isu di Lahad Datu dan
tahaluf siyasi (kerjasama politik antara Pas, PKR dan DAP) merupakan
antara tujuh dosa besar pembangkang terhadap rakyat.
"Kalau saya dahulu mengumumkan tujuh perkara untuk rakyat Kelantan,
kini tujuh dosa besar mereka yang ambo nok sebut hari ini," katanya pada
Majlis `Bekwoh' Rakyat Bersama Perdana Menteri di Sekolah Menengah
Tanah Merah 1 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri
Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin, Pengerusi MCA
Kelantan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Pengerusi Parti Progresif Penduduk
Kelantan Datuk Nik Sapeia Nik Yusof dan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah,
Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Kira-kira 50,000 rakyat hadir pada majlis tersebut.
Menyentuh mengenai Pas mempermainkan matlamat perjuangannya, Najib
berkata sebelum ini parti itu mahu melaksanakan hukum Hudud di negara
ini tetapi demi politik dan takut kepada DAP, akhirnya mereka telah
mengubah kepada dasar negara berkebajikan.
Katanya jika dahulu Pas menghentam cara Barisan Nasional (BN) berkongsi
kuasa dengan parti lain tetapi kini mereka juga mengambil langkah yang
sama dengan DAP dan ia jelas membuktikan sikap sebuah parti yang
berubah-ubah demi mahukan kuasa.
Beliau berkata kehadiran besar rakyat Kelantan pada majlis itu
membuktikan mereka telah bersedia pada bila-bila masa untuk menolak Pas
pada pilihan raya umum kali ini.
"Kita mahukan transformasi bukan reformasi. Transformasi
mensejahterakan rakyat. Transformasi bawa rahmat pada rakyat," katanya.
Perdana Menteri berkata cara bijaksana kerajaan mentadbir negara telah
menjadikan negara ini makmur dan sebagai bukti ekonomi negara telah
mencapai pertumbuhan kepada 6.4 peratus.
"BN cukup cakna kepada masyarakat. Cukup sengoti buat bermacam-macam
demi faedah rakyat dan oleh itu yakin dan percayalah apa yang kita buat
ini adalah yang terbaik untuk mensejahterakan rakyat," katanya.
Beliau berkata tidak seperti pembangkang yang berjanji dalam manifesto yang dianggap seperti penjual ubat tepi jalan.
"Satu ubat semua boleh sembuh. Kita bukan mahu mengundi orang yang
petah berkata-kata tetapi pilihan raya adalah untuk rakyat memilih
kerajaan yang benar-benar boleh berjasa kepada negara.
"Dan oleh itu yakinlah kepada BN," katanya.
Najib berkata kehadirannya untuk merasmikan Majlis Pecah Tanah Program
Perumahan Rakyat di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, adalah mencerminkan
ketelusannya kepada rakyat melalui slogan 'Janji Ditepati'. - Bernama
Sebelum itu
KUALA KRAI - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perwira negara tidak
keseorangan dalam perjuangan mereka mempertahan tanah air daripada
penceroboh militan di Lahad Datu, Sabah.
Perdana menteri berkata, rakyat Malaysia menyokong penuh apa jua tindakan untuk menghapuskan musuh durjana negara itu.
"Kita sebagai rakyat Malaysia mesti mengatakan bahawa perwira-perwira kita itu tidak keseorangan dalam perjuangan mereka.
"Kita, rakyat pada perhimpunan di Kuala Krai ini dan rakyat Malaysia
teramai, menyokong penuh apa jua tindakan menghapuskan musuh durjana
negara," katanya ketika berucap di hadapan lebih 45,000 orang pada
Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala
Krai di sini hari ini.
Najib yang dalam lawatan sehari ke negeri ini, berkata beliau marah
dengan sikap pembangkang yang mempermain isu pencerobohan militan di
Lahad Datu itu kerana soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh
dipermain-mainkan.
"Ambo (saya) yang jadi marah sebab dalam isu Lahad Datu ini, kita kena
bersatu, soal keselamatan negara sepatutnya tidak kira bulan (Pas),
roket (DAP), (atau) mata sebelah (PKR), soal keselamatan dan kedaulatan
negara ini, tidak boleh dimain-mainkan," katanya.
Perdana menteri berkata, beliau begitu sedih apabila melihat perwira
negara gugur semasa mempertahan negara daripada pencerobohan musuh
durjana itu.
"Ambo (saya) sedih sebab sebagai perdana menteri satu daripada kerja
yang ambo rasa amat berat sekali bila menerima jenazah perwira-perwira
negara, dibawa dengan kapal terbang turun di lapangan terbang.
Ambo boleh tengok muka balu, suara tangisan balu, ambo boleh tengok
muka anak hilang tempat bermanja, kegembiraan keluarga berganti dengan
duka dan tangisan, (mereka) cuma disambut dengan doa, itu sahaja yang
mampu," katanya sambil menyatakan situasi itu amat memedihkan hati
beliau.
Lapan anggota polis dan dua tentera gugur dalam Operasi Daulat untuk mengusir penceroboh di Lahad Datu.
Perdana Menteri berkata pembangkang yang mempermain-mainkan soal
keselamatan dan kedaulatan negara ini perlu ditolak oleh rakyat pada
pilihan raya umum ke-13 nanti.
Terdahulu, ketibaan Najib disambut dengan lagu patriotik 'Barisan Kita'
yang dinyanyikan hadirin dengan penuh semangat dan kemudian mereka
bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah dan mengangkat doa untuk perwira
yang terkorban.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat
Kelantan perlu memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan
raya umum ke-13 nanti kerana kerajaan BN akan melakukan yang terbaik
untuk mereka.
Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, semua
janji untuk memajukan negeri ini, termasuk tujuh projek yang diumumkan
semasa lawatan beliau Januari lalu, akan ditunaikan BN.
"Janji Barisan Nasional adalah janji ditepati," katanya ketika berucap
di hadapan lebih 45,000 orang pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini hari ini.
Najib yang dalam lawatan sehari ke negeri ini, berkata tindakan sedang
diambil bagi melaksanakan tujuh projek itu termasuk pembinaan lebuh raya
dari Kuala Krai-Kota Baharu, yang bukan sahaja memberi faedah kepada
penduduk jajahan Kuala Krai, tetapi rakyat seluruh negeri ini.
Beliau berkata kerajaan BN juga akan menyelesaikan masalah bekalan air
bersih yang membelenggu rakyat Kelantan berikutan kegagalan kerajaan
negeri pimpinan PAS menyelesaikannya walaupun sudah lebih 22 tahun
memerintah.
Sambil membidas tindakan kerajaan negeri memberi tanah kepada pemimpin
DAP Perak, Najib berkata kerajaan BN bersedia untuk memberi tanah kepada
rakyat Kelantan yang rata-rata 'dahagakan' hak untuk memiliki tanah.
"Jangan beri tanah kepada pemimpin DAP...buat apa beri tanah kepada
pemimpin DAP...rakyat Kelantan dahagakan tanah...pemimpin DAP dapat
10,000 ekar tanah, rakyat Kelantan dapat apa? Kita akan beri tanah
kepada rakyat Kelantan," katanya.
Perdana menteri turut membidas pemimpin pembangkang yang katanya hanya
pandai menabur janji tetapi gagal untuk menunaikannya dan ini dapat
dilihat berlaku bukan sahaja di Kelantan tetapi di Selangor.
Beliau berkata PAS yang sanggup 'melutut' kepada pemimpin DAP, gagal
melaksanakan perjuangan menegakkan negara Islam dan hukum hudud, yang
dicanang selama ini.
Pengerusi BN itu juga berkata kerajaan BN bersedia untuk memajukan
negeri ini dengan membawa masuk pelaburan besar supaya dapat mewujudkan
peluang pekerjaan yang banyak untuk generasi muda.
Najib mahu rakyat negeri ini menolak pemimpin PAS yang memperkecil
pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang dihulurkan
kerajaan pusat kepada rakyat, dengan menyamakan pemberian itu umpama hampas kelapa, jerami dan padi untuk haiwan.
Perdana menteri yakin gelombang sokongan yang kini semakin besar kepada
BN, menunjukkan rakyat sudah tidak sabar lagi untuk memberi mandat
kepada BN pada PRU-13 nanti untuk memerintah Kelantan.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri
Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan,
Timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Umno Kuala Krai Datuk
Ramzi Abdul Rahman. - Bernama