Ahli
Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin akan bertanding mempertahankan
kerusi parlimen Beaufort yang dimenanginya dalam pilihan raya umum
(PRU) 2008.
Selain itu, beliau turut memikirkan secara serius untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias.

"Keputusan
awal begitulah, saya akan bertanding di Parlimen sepertimana yang telah
diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika ditemui, sambil
menambah beliau akan menentukan sama ada akan turut bertanding di Klias.
Dalam PRU lalu, Lajim menewaskan calon PKR, Lajim Md. Yusof dengan majoriti 10,914 undi bagi kerusi parlimen Beaufort.
DUN Klias kini disandang oleh Datuk Azizah Mohd Dun daripada Umno yang menang dengan majoriti 2,413 undi.
Menurut
Lajim, dalam PRU kali ini, Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS)
yang diketuainya, akan meletakkan calon di 14 kerusi DUN dan empat
kerusi Parlimen serta menggunakan lambang PKR
"Kita sudah
bersetuju untuk menggunakan lambang PKR. Cuma ada satu, dua calon
daripada Majlis Tertinggi PPPS yang akan menggunakan lambang PAS seperti
di Bugaya dan Sukau," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, senarai nama calon pembangkang di negeri itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya Selasa ini.
Katanya,
calon Parlimen akan diumumkan serentak oleh Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur manakala calon negeri pula akan
diumumkan oleh presiden parti masing-masing.
"Bagi kerusi-kerusi
di negeri ini, 95 peratus telah selesai dan hanya antara PKR dan DAP
sahaja yang masih dalam pertimbangan," ujarnya.