.................
................................................
....Hebatnya Pencipta.....
-----------------------------------------------
Siapa kita untuk membangga diri?

Radio Islamik (Indonesia)

" ISLAM DIHAYATI, RAJA DITAATI, RAKYAT DINAUNGI "

Suara Bacaan Yang Tetap Diingati

Andai ku tahu...

Sentiasa muhasabah diri..aman hidup kita

Pengorbanan

Dari Ku Untuk Mu

Logo KPM Kini

Logo KPM Kini

Ikhlas Bertugas - Menginsafi Perjalanan Ini

Sunday, May 23, 2010

Kreativiti dan Inovasi Dalam Kurikulum Baru

Pengajaran lebih kreatif tarikan pelajar
Petikan Harian Metro

17/05/2010

PEMBELAJARAN melalui eksperimen, reka cipta serta penyelidikan yang kini dilaksanakan melalui subjek sains turut meliputi kemahiran hidup dan keusahawanan sejajar pelaksanaan kurikulum baru.

Dengan pendekatan TURUN PADANG...sistem pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif jika pelajar diberi penerangan sambil menunjukkan contoh mengenai sesuatu topik.

Melalui KREATIVITI...dengan pelaksanaan kurikulum baru, pelajar akan lebih kreatif dan berupaya berfikir dengan lebih jauh. Menerusinya elemen kreatif, inovasi dan kemahiran hidup diterapkan dalam proses pengajaran, pembelajaran dan pengajaran dalam semua subjek.

Pemupukan semangat BERKERJASAMA...pelajar perlu dipupuk bekerja dalam kumpulan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menurut laporan akhbar berkata, menerusi pelaksanaan kurikulum baru itu, strategi pengajaran dan pembelajaran bakal menggunakan pendekatan tertentu.


Ia membabitkan pendekatan penyelidikan membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik fokus.


Malah, ia turut merangkumi uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesaikan masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.


Namun, keberkesanan kurikulum baru ini bergantung kepada keupayaan guru memperbaiki amalan pengajaran dalam bilik darjah dan strategi yang harus diguna pakai.


Antaranya pendekatan pertanyaan yang membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan penuh yang menggabungkan pelbagai teknik berpusatkan pelajaran.


Bermakna guru perlu lebih inovatif dalam amalan pengajaran dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif serta memacu potensi inovatif generasi muda.


Pelaksanaan kurikulum baru itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan menyediakan dan memperluaskan pendidikan berkualiti.

Persoalannya, sudahkah guru bersedia dan adakah mereka mampu melakukannya?

Berdasarkan bebanan guru yang semakin meruncing, tidakkah pelaksanaan ini menambahkan beban dan tekanan selain persoalan sejauh manakah aspek kualiti boleh ditampilkan?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan berkata, pelaksanaan kurikulum baru itu perlu dilakukan kerana guru pada masa ini perlu lebih inovatif dan kreatif dalam pengajaran.


Menurutnya, cara pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlulah terkini dan tidak boleh terikat dengan modul lama kerana pemikiran pelajar sudah berubah.

"Kaedah yang digunakan kini lebih kepada teori, namun pada zaman serba baru ini, cara itu sudah ketinggalan kerana pelajar lebih agresif dalam pencarian ilmu.


"Sudah sampai masanya guru menggunakan mekanisme baru dengan menukar kaedah yang diguna pakai ke arah yang lebih inovasi, kreatif dan ke depan supaya pelajar juga tidak berasa bosan," katanya.


Pembelajaran subjek geografi umpamanya, pelajar lebih gemar maklumat berbentuk fizikal berbanding teori kerana mereka suka meneroka, bertanya dan melihat subjek yang dipamerkan termasuk tanah dan batuan.

"Jika teori saja, sudah tentu mereka bosan dan natijahnya bukan saja tidak berminat, malah boleh menyebabkan maklumat yang ingin disampaikan gagal.


"Tapi jika digabungkan dengan fizikal serta kerja luar, sudah tentu mereka suka dan berminat. Guru perlu tahu perbezaan ini, justeru pelaksanaan kurikulum itu memang bersesuaian dengan kehendak sektor pendidikan masa kini," katanya.


Azam berkata, guru berinovasi perlu bersedia kerana cabaran dunia pendidikan kini sebagai tinggi dan sukar.


"Zaman sudah jauh berubah, pelajar semakin kreatif dan ada kalanya guru gagal memberi jawapan dikehendaki.

"Mengendalikan pelajar perlukan persediaan yang kuat, bukan saja emosi tapi juga pengetahuan ilmiah. Guru jangan berpeluk tubuh, sebaliknya perlu 'bergerak' seiring permintaan dunia semasa," kata Azam.


Sementara itu, Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Agama Bestari Subang Jaya, Abdul Raouf Dahlan berkata, pelaksanaan kurikulum baru berkenaan lebih membebankan guru jika tugas remeh yang digalas tidak dimansuhkan.


"Kurikulum adalah tugas hakiki guru dan perlu dilaksanakan dengan cara terbaik. Bagaimanapun, dengan adanya tugas bukan hakiki guru seperti perkeranian, pelaksanaan ini lebih membebankan.


"Jika mahu melaksanakannya, tugas kurang penting itu wajar dimansuhkan supaya guru dapat beri sepenuh perhatian kepada pelaksanaannya," katanya.

p.s. Sekiranya faktor yang dianggap menjadi penghalang itu dapat di atasi, bersediakan kita melaksanakan dengan cara terbaik ?. Jawapan tentunya pada diri anda

Tuan semestinya berwatak




Seorang yang baik akan dapat dikenalpasti melalui perwatakan dan interaksi semasa berkomunikasi. Justeru seorang guru yang baik dalam pengamalan P&P nya sudah semestinya juga seorang guru yang baik perwatakannya. Guru sedemikian akan menyumbang kepada suasana pembelajaran yang kondusif dengan:

a. berpakaian sesuai , kemas dan bersih memamtuhi arahan dan surat pekeliling
b. bersifat mesra,mudah didekati dan sedia membantu
c. mengenali semua murid dan prihatin terhadap keperluan mereka
d. berinteraksi secara sopan
e. menggunakan nada suara yang sesuai
f. mewujudkan suasana riang yang merangsangkan pembelajaran
g. menepati masa

Guru sains, orang sains telah dikenali sebagai seorang yang berdedikasi dalam tugasan dan berperwatakan diri yang sentiasa dipuji.

Terus kekalkan identiti ini.

Saturday, May 22, 2010

Bezanya Mata Pelajaran Sains..

Tuan sedia maklum bahawa telah jelas bezanya antara P & P Sains dengan P & P mata pelajaran lain. P & P normal, biasanya merangkumi aspek persediaan, penyampaian umum,teknik penyoalan, penglibatan murid, penggunaan bahasa oleh guru,penggunaan bahasa oleh murid, pemanfaatan sumber pendidikan,latihan dan tugasan,pengurusan kelas serta diakhiri dengan penutupan. Manakala P & P Sains, selain merangkumi segala aspek yang disebut diatas, ia memerlukan perkara berikut sebagai aspek penting melaksanakan P & P.

1. Guru mengembangkan Kemahiran Proses Sains:
a. memerhati (observing)
b. mengelas (classifying)
c. mengukur dengan menggunakan nombor (measuring using numbers)
d. membuat inferens (making inference)
e. meramal (predicting)
f. berkomunikasi (communicating)
g. menggunakan perhubungan ruang dan masa (using spatial and time relationship)
h. mentafsir maklumat ( interpreting information)
i. mendefinasi secara operasi ( defining operationaly)
j. mengawal pembolehubah (controlling variables)
k. membuat hipotesis ( making hypothesis)
l. mengeksperimen (experimenting)

2. Guru mengembangkan kemahiran manipulatif
a. mengguna dan mengendali peralatan sains,bahan dengan betul
b. mengendali spesimen dengan betul dan cermat
c. melakar spesimen, bahan dan peralatan makmal dengan tepat
d. membersihkan peralatan sains dengan betul
e. menyimpan peralatan sains dan bahan makmal dengan betul dan selamat

3. Guru memupuk sikap saintifik dan nilai murni

4. Guru memupuk strategik berfikir
a. mengkonsepsi
b. membuat keputusan
c. menyelesai masalah

5. Amali Sains (aktiviti,eksperimen,eksperimen antara muka berkomputer,demonstrasi dan simulasi amali ) dijalankan:
a. Guru membuat persediaan awal (seperti peralatan, bahan,tugasan)
b. Guru memberi arahan yang jelas untuk melaksanakan amali
c. Guru menengaskan aspek keselamatan
d. Murid mematuhi langkah keselamatan
e. Guru membimbing / menyelia pelaksanaan amali
f. Murid melaksanakan amali mengikut prosedur yang betul
g. Murid mencatat pemerhatian / hasil kerja amali
h. Murid membincang / merumus hasil kerja amali dalam kumpulan masing-masing
i. Ahli kumpulan saling berkerjasama
j. Guru membincangkan hasil kerja amali

Sekiranya Tuan melaksanakan semua perkara di atas semasa berlangsungnya P & P Sains , maka sesungguhnya Tuan seorang yang hebat. Terus laksanakan tugas murni ini. Terima kasih.

Friday, May 21, 2010

Kunjungan Tamu



Alhamdullilah pada tarikh 19 Mei 2010 (Rabu), jam 2.30 petang, Jabatan Pelajaran Kelantan telah menerima tamu dari Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Sesi sambutan telah dibuat di Bilik Gerakan, JPN Kelantan dengan diketuai oleh YBrs. Tn. Hj. Mohd. Adnan Mohd. Noor selaku Ketua Sektor Pengurusan Akademik Negeri. Rombongan SPA Terengganu seramai 22 orang pegawainya yang tiba dengan BAS Jabatan diketuai oleh YBrs. Dr.Hj. Ab.Rahman mewakili Tuan KSPAnya , Tn. Hj. Zuber Embong yang dijangka tiba disebelah petangnya.

Rombongan telah diberi taklimat program Jabatan oleh Tn. Hj. Himli Abdullah mengenai 8 KPI sasaran JPN Kelantan dan oleh En. Mohd. Razali Talib mengenai program e-Cakna.Manakala Dr. Hj. Ab. Rahman yang mewakili SPA JPN Terengganu pula mengulas mengenai strategi bersama untuk mencapai kecemerlangan akademik dalam peperiksaan awam. Perkongsian untuk saling lengkap melengkapi amat perlu. Kata Dr. Hj. Ab. Rahman " Kita ini masih anak-beranak dalam kategori sepupu"

Sesi soal jawab yang rancak semakin menceriakan pertemuan tersebut. Banyak input yang begitu berguna telah diperolehi antara kedua pihak. Sepatah ayat dari Tuan KSPA Kelantan.."Walaupun kita mempunyai program yang hampir sama, tetapi kita bermain dipadang yang berbeza dengan pemain yang juga berbeza"

Majlis berakhir dengan minum petang hampir jam 5.00. Ada dikalangan rakan pegawai JPN Terengganu menjemput kami untuk lawatan balas ke JPN Terengganu..Insyaallah jika tiba masanya.

Keesokanya rombongan ini melawat ke SK Zainab 2, sebuah sekolah "Sekolah Berprestasi Tinggi" yang satu-stunya SBT di Pantai Timur ini sebagai lawatan penanda aras bagi sekolah di negeri Terengganu.

Teringat saya mengenai sebuah lagi popular dulu-dulu mengenai "lain padang lain belalang".. hanya sekadar hiburan yaa....
Terima kasih.


Thursday, May 20, 2010

Banyaknya sumber asli kita..



Pada hari Selasa 18 Mei 2010, untuk mewakili Jabatan Pelajaran Kekantan saya berada di Ballroom Hotel Grand Riverview, Kota Bharu menghadiri majlis pelancaran Persidangan Kebangsaan Sumber Asli 2010. Penganjuran oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini bertujuan antara lainnya ialah untuk memberi input serta menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pengekalan dan pemuliharaan secara berhemah mengenai kepelbagaian hidupan alam floura dan fauna serta sumber asli yang begitu mewah terdapat di negara tercinta ini.

Bumi Malaysia ini amat kaya dengan hasilnya, dalam bumi , di muka bumi mewah segalanya. Di dalam perut bumi, emas, perak, tembaga, besi timah berserta emas hitam yang bernilai tinggi. Di muka buminya pula, segala hasil mahsul pertanian dan tumbuhan juga, pantang ditanam akan tumbuh segar melata.Di laut lepas, banyak lagi yang belum diterokai. Banyaknya rezeki ALLAH kepada kita. Tetapi terkadang jika difikirkan mengapa kajian, eksplorasi serta nilai ekonomi ini di manfaatkan oleh orang lain.Herba untuk perubatan telah diambil dari bumi kita oleh orang lain lalu dipatenkan menjadi milik kekal mereka. Kita hanya mampu dengan mata terkebil-kebil melihat hasil mahsul ini di bumi kita dengan milik orang. Adakah ini satu kesilapan yang disengajakan kerana kita 'kekurangan' serba serbi dalam segala bidang. Amat tak berguna harta diribaan kita mengayakan orang lain.

Sepatutnya banyaknya sumber asli kita, banyaklah manfaat kepada kita.
Sama-sama kita renungkan.

Dalam ucap utama Prof. Emaretus Dato Dr. Latif Mohamad dari LESTARI, Fakulti Sains dan Teknologi UKM juga merangkap Presiden WWF Malaysia menekankan agar kita semua bertindak untuk pengekalan dan pemuliharaan alam floura dan fauna serta sumber asli di negara ini untuk generasi akan datang . Jangan rosak dan musnahkan apa yang ada.. berfikir dan bertindak bijak agar mana-mana yang ada ini tidak luput dan lupus.Akibat tindakan rakus tangan-tangan manusia akan mengakibatkan 'heritage' yang ada kini akan di telan masa. Keseimbangan hidupan akan terganggu dan akibatnya akan berlaku kerosakan kepada seluruh hidupan di mayapada ini.

p.s: Prof Emaretus Dato Dr. Latif Mohamad merupakan pensyarah semasa saya di UKM dulu, dan sewaktu menyambung pengajian untuk program Diploma Pendidikan di UKM, saya dan lima rakan ( Sufian Nor,Mohd Zahari Othman, Wan Hussain W Ismail, Awang Mohd Zaid Mohd Zain dan Ab. Rashid Saad ) menyewa rumah beliau di Taman Hijau, Jalan Reko, Kajang, Selangor. Begitu banyak kenangan menyewa di Taman ini, antara yang menjadi jiran ialah Prof. Dato Dr. Kamal Hassan (bekas Reaktor UIA)..petang bertakraw bersama beliau, Bulan puasa, bertarawih di rumah Dato Dr. Haron Din serta banyak lagi..Hujung bulan bila dapat elauan guru, berjamu sakan satay kajang... kenangan yang sukar dilupakan

Tuesday, May 18, 2010

Tuan.. Terus Laksanakan P&P dengan TIP's berikut



Buat teman, semua guru sains yang terlibat secara langsung dalam melaksana dan menjayakan P&P sains, di perturunkan di sini sebagai panduan untuk tuan suapaya kualiti P&P sains tercapai sebagaimana yang dihasratkan.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS

A. PERSEDIAAN
1. Guru menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dengan
a. berdasarkan sukatan pelajaran / huraian pelajaran terkini
b. merangkumi sepanjnag tahun persekolahan
2. Guru menyediakan Rancangan Pelajaran Harian (RPH):
a. dengan mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1999, iaitu mengandungi;
i. objektif atau hasil pembelajaran yang boleh diukur
ii. aktiviti
iii. catatan penilaian kendiri/refleksi guru
b. dengan mengambil kira tahap kebolehan murid
3. Guru bersedia dengan bahan P&P yang diperlukan
4. Murid bersedia:
a. secara fizikal dan emosi untuk mengikuti pelajaran
b. membawa bahan pembelajaran yang diperlukan
c. menyiapkan kerja rumah / latihan / tugasan
d. telah membuat rujukan
B. PENYAMPIAN
5. Guru melaksanakan set induksi yang menarik perhatian / merangsang murid/menjurus ke arah kesediaan minda murid
6. Guru mengembangkan pelajaran daripada mudah kepada kompleks dan konkrit kepada abstrak
7. Guru menggunakan pendekatan berpusatkan murid
8. Guru melaksanakan aktiviti mengikut tahap kebolehan murid
9. Guru menggalalkan interaksi pelbagai hala
10. Guru mengaitkanpelajran dengan:
a. pengetahuan sedia ada murid / pengalaman harian
b. pelajaran lepas dan topik lain yang berkaitan
11. Kandungan pelajaran disampikan dengan tepat dan jelas
12. Guru menjalankan penilaian formatif dalam P&P
13. Guru melaksanakan aktiviti berikut:
a. pengukuhan
b. pemulihan
c. pengayaan
C. TEKNIK PENYOALAN
14. Guru mengemukakan soalan ke seluruh kelas
15. Guru mengemukakan soalan mengikut pelbagai aras kognitif
16. Guru memberi masa yang mencukupi untuk murid menjawab
17. Guru membimbing murid untuk mendapat jawapan
18. Guru mengemukakan soalan yang mencungkil pemikiran dan pemahaman murid
19. Guru memberi respons positif kepada jawapan murid
D. PENGLIBATAN MURID
20. Murid memberi perhatian terhadap pelajaran
21. Murid melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran
22. Murid mengemukakan idea,soalan atau pendapat
23. Murid melaksanakan tugasan dengan bersungguh-sungguh
24. Murid mengamalkan strategi pembelajaran yang berkesan
a. Pembelajaran Terarah Kendiri
b. Pembelajaran Akses Kendiri
c. Pembelajaran Penilaian Kendiri
d. Pembelajaran Kadar Kendiri
E. PENGGUNAAN BAHASA OLEH GURU
25. Guru melaksanakan pengajaran dalam Bahasa Inggeris dan atau Bahasa Melayu/Cina/Tamil
a. dengan mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.2/2010
26. Guru menggunakan bahasa penghantar yang mudah difahami
27. Guru menggunakan bahasa penghantar dengan tatabahasa yang betul
28. Guru menggunakan kosa kata yang tepat
29. Guru menyebut perkataan dengan betul
30. Guru fasih dengan bahasa yang digunakan
31. Guru menggalakkan murid memberi respons dalam bahasa yang mudah
32. Guru mengamalkan pengulangan perkataan, ungkapan dan ayat yang perlu dikuasai
F. PENGGUNAAN BAHASA OLEH MURID
33. Murid boleh memberi respons dalam bahasa yang mudah
34. Murid boleh mengemukkan soalan dalam bahasa yang mudah
35. Murid boleh berinteraksi dalam aktiviti kumpulan / pembelajaran dengan menggunakan bahasa mudah
36. Murid fasih berbahasa
G. PEMANFAATAN SUMBER PENDIDIKAN
37. Guru menggunakan sumber pendidikan ICT dengan optimum
a. komputer
b. projektor LCD
c. perisian P&P
d. TV
38. Guru menggunakan sumber pendidikan dengan optimum
a. buku teks/buku amali/buku kerja/buku aktiviti
b. papan tulis
c. OHP
d. carta/gambar/model
e. buku glosari
f. lain-lain (nyatakan)
39. Sumber pendidikan ICT digunakan dengan berkesan
a. komputer
b. projektor LCD
c. perisian P&P
d. TV
40. Sumber pendidikan digunakan dengan berkesan:
a. buku teks/buku amali/buku kerja/buku aktviti
b. papan tulis
c. OHP
d. carta/gambar/model
e. buku glosari
f. lain-lain (nyatakan)
41. Murid berinteraksi dengan
a. komputer guru
b. komputer murid
c. imej yang dipaparkan pada skrin TV
42. Murid memanfaatkan dengan sumber pendidikan:
a. buku teks/buku amali/buku kerja/buku aktiviti
b. papan tulis
c. OHP
d. carta/gambar/model
e. buku glosari
f. lain-lain (nyatakan)
H. LATIHAN DAN TUGASAN
43. Guru memberi latihan dan tugasan
a. mengikut keupayaan dan kebolehan murid
b. dipelbagaikan jenisnya
44. Guru memeriksa latihan dan tugasan
a. dengan menggunakan kesilapan murid
b. dalam tempoh dan kekerapan yang munasabah
c. dengan memberi ulasan membina
d. dengan memastikan murid membuat pembetulan
45. Murid melaksanakn kerja bertulis/tugasan yang berkualiti (kemaskini,kemas,teratur)
I.PENGURUSAN KELAS
46. Guru mengurus kelas / makmal dengan
a. memastikan wujud suasana yang kondusif untuk P&P (susunan perabot,kebersihan)
b. memastikan kehadiran murid untuk mengikuti pelajaran
c. memastikan kesediaan murid untuk mengikuti pelajaran
d. mewujudkan dan memanfaatkan sudut mata pelajaran
e. memastikan peraturan kelas/makmal dipatuhi
47. Guru memberi teguran yang bersesuaian terhadap perlakuan negatif murid
48. Guru memberi pelbagai pujian dan galakan secara lisanatau isyarat kepada perlakuan yang baik.
49. Guru menguruskan masa dengan cekap.
J. PENUTUP
50.Guru membuat rumusan pelajaran dengan melibatkan urid
51. Guru membuat penutup kognitif
52. Guru membuat penutupan sosial
53. Guru memberi tugasan / kerja rumah
54. Hasil pembelajaran tercapai

Bersama merealisasikannya...Terima kasih.

Rujukan: Jemaah Nasir Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia

Saturday, May 15, 2010

HIDUP TERUS BERBAKTI



Kerana ada mu guru, aku boleh

kenal alif, ba, ta, a, b, c
kenal 1, 2, 3

kenal huruf boleh tulis baca
kenal angka boleh tulis kira

kenal dosa elak sentiasa
kenal pahala terusan laksana

Kenal syurga hampirinya
Kenal neraka jauhinya

Kenal Pencipta
Allah Yang Maha Esa

.....dan kini
Kita semua adalah GURU

Terus tunjuk ajar didik mereka
Menjadi manusia berguna

Aman bahagia
Di Dunia fana dan di Akhirat baqa'

Selamat Hari Guru
Hidup Terus Berbakti

Saturday, May 8, 2010

Lestarikan Bumi ini





Alhamdulillah pada pagi ini, jam 10.00 pagi saya berada di SM Sains Tengku Muhamad Faris Petra, Pengkalan Chepa mewakili YABrs. Tuan Pengarah Pelajaran Kelantan ke Majlis Perasmian "Kempen Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2010. Program anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan ini telah dihadiri oleh seramai hampir 300 tetamu jemputan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan, swasta, pelajar-pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi dan juga orang awam dari negeri ini.

Mengikut pihak penganjur, Kempen Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon ini merupakan salah satu program Jabatan Alam Sekitar ke arah memupuk semangat cintakan alam sekitar serta memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peranan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar terutamanya dalam perlindungan lapisan ozon.

Sebagaimana sedia maklum, Bumi kita dilindungi lapisan Ozon yang nipis di mana ianya bertindak menapis sinaran UV yang berbahaya. Lapisan Ozon adalah terdiri daripada satu molekul yang mengandungi 3 atom oksigen. Ozon wujud secara semulajadi di lapisan atas atmosfera 10-20 batu dari bumi yang menjadi lapisan pelindung dari sinar Ultra Unggu matahari yang merbahaya.Lapisan Ozon dimusnahkan oleh bahan kimia buatan manusia. Pendedahan melampau kepada sinar UV menyebabkan barah kulit, sakit mata dan melemahkan sistem imunisasi. Peningkatan UV mengurangkan hasil tanaman dan rantai makanan marin.

Bahan kimia buatan manusia yang menjadi pemusnah lapisan Ozon ini terdiri dari CFC (Kloroflorokarbon) merupakan sebatian kimia yang mengandungi atom karbon, florin dan klorin. Atom klorin dari CFC boleh merosakkan lapisan Ozon dan ianya akan mengurangkan keupayaan untuk melindungi bumi dari pancaran UV matahari. Pertambahan pancaran UV dari matahari akan mengakibatkan kesan negatif kepada kehidupan di bumi.

Manakala Hidrokloroflorokarbon (HCFC) sama seperti CFC tetapi mempunyai potensi pemusnahan rendah terhadap Ozon. Ianya digunakan sebagai satu penggantian sementara bagi CFC, dan akan dihapuskan pada tahun 2030 nanti. Tetapi bahan kimia yang dikenali sebagai Hidroflourokarbon (HFC) tidak mempunyai potensi pemusnahan kepada Ozon dan lebih mesra Ozon.

Sebagai pengguna, pastikan setiap produk yang dibeli atau digunakan adalah mesra ozon dan tidak mengandungi bahan CFC. Sila pastikan sistem penghawa dingin kenderaan (MAC) anda diservis oleh juruteknik bertauliah di bengkel servis penghawa dingin yang diiktiraf oleh Jabatan Alam Sekitar.Jangan lepaskan refrigeran daripada sistem CFC-12 MAC anda.Ianya adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar ( Pengurusan Refrigeran) 1999. Sebarang pemasaran baru yang menggunakan sistem CFC-12 MAC adalah dilarang di bawah peraturan tersebut. Setiap bengkel servis yang mengendalikan refrigeran CFC untuk sistem MAC hendaklah mempunyai mesin Perolehan dan Kitar Semula (R&R).

Pastikan sistem MAC HFC-134a diservis oleh juruteknik yang bertauliah dibengkel yang telah diiktiraf bagi mengelakkan penambahan (top-up) sistem MAC dengan CFC-12.Juga pastikan sistem MAC HFC-134a tidak diisi atau dicampur dengan CFC-12 refrigeran kerana ia akan mengurangkan jangkahayat kompresor sistem MAC HFC-134a dan merosakkan sistem MAC disebabkan ketidaksesuaian gabungan refrigeran CFC-12 dengan minyak PAG (plyalkylene glycoloil) yang digunakan dalam sistem MAC HCF-134a.

Sumber-sumber pemusnah ozon ialah Metil Bromida digunakan untuk fumigasi tanah, rawatan ke atas kuarantin dagangan terutamanya perabot kayu dan balak, serta penyelengaraan rumput dipadang golf, CFC dalam peti sejuk, CFC dalam sistem penghawa dingin kenderaan, CFC dalam penyembur aerosol, HALON dalam alat pemadam api , CFC dalam alat penyedut bermeter pada pesakit asma, pelarut dalam cucian kering (1,1,1-TCA atau Metil Klorofom )


Itulah antara intipati ucapan yang disampaikan oleh YABrs Tuan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan sewaktu merasmikan Kempen Kesedaran ini.

Sedar tidak kita..bahang panas dunia kini amat berbeza dengan bahang panas ketika kita masih kecil dulu. Rumah tempat tinggal biasanya dikelilingi dengan pokok-pokok hajau sungguh nyaman udara dan sejuk terasa. Yang biasa berkunjung ke Geting Highland atau Cameron Highland, dulu begitu sejuk walaupun jam ditangan menunjukkan pukul 1.00 tengahari, tetapi kini keadaan demikian tiada lagi bahkan ada ketikanya kena pasangkan kipas untuk menyejukkan badan.Kerana apa..sebabnya pokok-pokok ditebang tebas untuk aktiviti ekonomi..tanpa ditanam semula. Oksigen yang banyak dihasilkan melalui proses fotosintesis menjadi semakin berkurangan bahkan Karbon Dioksida semakin menebal..panas semakin menjadi. Samatelahan pula , akibat penggunaan bahan terlarang tadi menyebankan lapisan Ozon yang menjadi dinding turut berlubang dan memudahkan UV menerpa bumi dan terus memanaskannya. Air dikutub mencair dan isipadu air semakin meningkat.

Kita perlu tampalkan balik lubang itu dengan ridak menggunakan bahan kimia buatan yang merosakkan ozon serta hijaukan persekitaran tempat tinggal kita dengan menanam pokok-pokok seolah-olah kita berada dalam kebun.Kita perlu simbiosis dengan makhluk ini.Sebab kita tiada tempat lain lagi untuk berhijrah selagi hayat dikandung badan. Cuma di palanet ini..."SAVE OUR PLANET"..untuk anak generasi kita masa akan datang.

Jika semua orang melestarikan diri, keluarga, masyarakat dan dunia, maka bumi ini akan lestari dengan kebahagian dan kemakmuran. Dan ngatlah kelestarian ini akan menjadi realiti jika manusia itu tahu akan asal usul kejadiannya serta sentiasa patuh kepada peraturan hakiki yang diperturunkan bersamanya...Buat renungan bersama.

Thursday, May 6, 2010

Sebagai Orang berteknologi..kita fikirkan





Tuan tentunya ada kereta, tak kisah kereta baru ke atau kereta lama. Kereta baru beli hari ini, masih berbau kedai, atau kereta baru semalam, atau kereta baru minggu lepas, atau kereta baru bulan lepas, atau kereta baru tahun lepas, atau kereta baru 1 dekad atau kereta baru 2 dekad atau berdekad-dekad, itu tak kisah..kerana kereta saya yang diambil pada tanggal 25 November 1985 kereta baru masuk ke tahun 26. Masih baru penuh begaya jika dibandingkan dengan kereta seusianya..pandai jaga beb..Tetapi ada perkara yang mungkin kita telah lakukan dalam penjagaannya. Sebelum bertolak ke destinasi, hidupkan dulu enjinnya dengan agak lama supaya tahan lama, jangan hidupkan enjin terus segera bergerak..nanti mudah rosak. Kadang-kadang terlintas difikiran betulkah ni?. Mungkin artikel dibawah boleh membantu kita sebagai pengguna kereta. Marilah kita renungkaji kerana kita adalah orang berteknologi.

Upacara memanaskan enjin adalah antara amalan yang sinonim dengan hampir semua pengguna kenderaan di seluruh negara. Tak kiralah sama ada pemandu kereta, lori, van, bas sekolah, kereta kebal, motosikal berkuasa rendah dan sebagainya termasuk helikopter. Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Ada yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5 minit. Ada yang keluar rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah, sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk kereta untuk memulakan perjalanan. Gua syak makan masa dalam 15 minit juga. Brader-brader macam tu gua ingat mesti bangun awal punya. Semua ini dilakukan kononnya demi untuk menjaga enjin. Demi untuk memastikan jangkahayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.

Masalahnya sekarang, di manakah pelajaran tentang memanaskan enjin ini diajar? Kalau tak silap gua, masa sekolah dulu pun tak ada pun cikgu-cikgu yang pandai-pandai ajar pasal benda ni. Masa pergi ambil kursus memandu di JPJ pun tak ada belajar benda-benda macam ni. Di univesiti pun tak ada belajar. Sekolah-sekolah agama rakyat pun tak ada menyediakan tajuk ini di dalam silibus pembelajaran mereka. Jadi di mana? Berdasarkan pemerhatian gua dengan sedikit kajian, upacara pemanasan enjin telah dilakukan sejak zaman-berzaman. Mula-mula mungkin datuk gua start panaskan enjin kereta dia sebelum pergi sekolah kerja guru besar. Kemudian bapa gua pula bila dah pakai kereta, teringat pula amalan datuk gua masa nak pergi sekolah dulu. Jadi bapa gua pun setiap pagi sebelum nak pergi kerja panaskanlah juga enjin Volvo kegemarannya.

Kemudian bila gua dah besar, dah pakai kereta sports dua pintu, gua pula ikut panaskan enjin kereta. Tapi sebenarnya gua tak buat. Sebab gua ada ilmu pengetahuan tentang enjin. Tambah lagi biasanya gua bangun lambat. Soalnya sekarang adakah pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa keburukannya? Lagi satu kalau anda bijak laksana, siapa orang yang mula-mula panaskan enjin kenderaan di Malaysia ni?

Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya ditegah. Negara Kanada telah memulakan kempen nasional mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan. Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun, United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan pepura (idling) melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah?

The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya. Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia? Gua rasa memang dah tak payah nak panaskan enjin lagi dah. Start kereta terus jalan saja.

Salah seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata, “Engines run best at their design temperature”. Berdasarkan kenyataan Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin lu orang di dalam keadaan pepura (idling) adalah bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih baik jika memandunya atau dengan kata lain stail Amerika, lagi ‘gentle’ kalau pandu terus.

Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan pepura (idling) dikatakan adalah satu perkara yang tidak baik dan berfaedah. Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahanapi tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan berubah dan hilang kecekapannya.

Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api sebanyak 5%.

Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling), bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.

Kenderaan pada masa kini biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Kereta-kereta Malaysia pun gua tengok dah mula pakai. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah men-convert karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran udara dapat diminimakan.

Walaubagaimana pun, masalah yang timbul jika enjin berada di dalam keadaan pepura (idling), komponen ini tidak berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800 darjah selsius yang dimana adalah pada satu kadar suhu yang sangat panas berbanding enjin. Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya kepada alam sekitar. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana ia boleh beroperasi, lu orang perlulah memandu. Bukan meninggalkan kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling) maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan tak bekerja. Lu orang syak apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar?

Sekarang kita sudah mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita lihat apa pula kebaikkan memanaskan enjin.

Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin. Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara ini benar. Tetapi apa yang lu orang perlu tahu bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir. Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin.. Untuk memastikan crankshaft ini berpusing laju apa yang lu orang perlu buat? Adakah dengan hanya membiarkan enjin dalam keadaan pepura (idling)?

Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita rakyat Malaysia. BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab dia orang tahu kalau enjin cepat rosak nanti mesti lu orang kompelin. Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus blah cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini karang siap boleh masuk rumah pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil sembang-sembang dengan bini tapi enjin kereta terbiar hidup.

Satu perkara lagi yang boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan lu orang tidak bergerak. Kalau tunggu makwe turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut dengan telefon, tunggu bini masuk pasar mini beli barang dapur, dan tunggu anak balik sekolah depan pagar sekolah bawa bawalah matikan dulu enjin. Perkara itu tidak memberi sebarang faedah langsung malah boleh menyebabkan masalah pencemaran udara dan alam sekitar serta pembaziran wang ringgit. Sedarkah anda di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan enjin dibiarkan hidup dalam keadaan pepura (idling) ini mampu menjimatkan beratus ribu juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas rumah hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.

Akhir kata setujukah anda bahawa memanaskan enjin di waktu pagi boleh menjahanamkan enjin dan dunia?


Bagaimana Tuan ????
Dikutip dari kotak email, dari abdulrazakali.

Sunday, May 2, 2010

Besarnya jasa mereka berdua



17 Jamadil Awal 1431H.
Petikan dari Ahmad Baei Jaafar

Anak wajib berbuat baik terhadap ibu bapanya. Sekiranya tidak, ia telah melakukan satu dosa. Di dalam al-Quran tidak terdapat perintah khusus agar seseorang bapa mengasihi anaknya, tetapi sebaliknya yang lebih banyak ialah perintah kepada anak supaya mengasihi ibu bapa.

Walaupun tidak banyak ayat yang memerintah ibu bapa untuk mengasihi anak, namun banyak hadis yang menyebut mengenainya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَلَمْ يُكْرِمْ كَبِيرَنَا

Ertinya: Bukan daripada golongan kami (Nabi Muhammad) mereka yang tidak mengasihi orang kecil (anak muda) dan tidak memuliakan orang besar (orang lebih umur – pemimpin).

Memang secara outomatik ibu bapa akan mengasihi anaknya. Seorang bapa, apatah lagi ibu, amat sayang kepada anaknya sehingga ia sanggup berkorban apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Ia sanggup bersusah payah bekerja siang dan malam, menggerakkan segala usaha dan tenaga, di mana semuanya itu adalah untuk kebahagiaan anaknya.

Namun ada anak yang tidak sedar atau tidak dapat merasai bahawa ibu bapanya mengasihi dan menyanginya. Teguran dan nasihat ibu bapa selalu dianggap sebagai mengganggu kebebasannya. Kesalahan mereka yang cuba dibetulkan oleh ibu bapa sering di anggap sebagai segaja mencari kesalahan mereka. Padahal kalau semua itu tidak diingatkan akan menjadi satu kebiasaan yang merosakkan masa depannya.

Menyedari keadaan ini, mereka perlu terus disedarkan hakikat ini. Maka wajarlah anak berbuat baik terhadap ibu bapa. Di sini mungkin seorang anak akan bertanya, bagaimana mereka harus berbuat baik terhadap ibu bapanya.

Imam Ghazali telah menggariskan dua belas panduan, iaitu:

•Mendengar kata mereka.

•Berdiri apabila mereka berdiri kerana menghormati.

•Taat perintah mereka selagi mereka tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.

•Tidak melintas di hadapan mereka, tetapi hendaklah berjalan di sisi atau di belakang kecuali atas perintah mereka untuk sesuatu maksud.

•Tidak meninggikan suara melebihi suara mereka.

•Menjawab panggilan mereka dengan suara yang lembut.

•Sentiasa memelihara dan merawat apabila mereka sakit. Jangan sampai melakukan sesuatu yang melanggar keredhaan mereka baik dalam sikap, perkataan ataupun perbuatan.

•Merendah diri dengan sopan dan lemah lembut serta sentiasa berusaha meringankan beban mereka.

•Tidak melakukan sesuatu kebaikan kepada mereka atas dasar membalas jasa melainkan atas dasar kewajipan demi keredhaan mereka dan keredhaan Allah S.W.T.

•Tidak memandang mereka dengan menjeling, mengerling, marah atau masam muka.

•Tidak bermuram hati apabila menghadapi wajah mereka.

•Tidak keluar rumah sama ada jauh atau dekat kecuali dengan izin mereka.

Jika anak-anak dapat mengikut adab sopan ini, masa depan anak-anak akan terurus ke arah kejayaan. Ibu bapa tentu akan senang hati dengan kejayaan anak mereka itu.

p.s.:Adanya mereka berdua.. dengan izin NYA ada lah kita [ kini kita juga dah menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak kita ]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

mYcALeNdEr

TUAN ADALAH SAHABAT SAYA


BUAT SAHABAT YANG LAHIR PADA HARI INI SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR DENGAN SENTIASA MUHASABAH DIRI KE ARAH KEBAIKAN

"Insan Berkualiti Sentiasa Berusaha Menambahkan Amal Makruf dan Sentiasa Berusaha Mengelakkan Nahi Mungkar"

KLIK SIARAN PILIHAN ANDA

mY pLAYLIST

&&&&&&&&&&&&& POP Yeh Yeh Ungu

Kelih-Dengar deh