Saturday, January 24, 2009

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina

Buat sahabat dari kalangan pendidik berbangsa cina , saya mewakili Unit Sains Jabatan Pelajaran Kelantan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina. Semoga ceria sentiasa.

Monday, January 12, 2009

MENJANA UMMAH GEMILANG

ASSALAMUALAIKUM !

Pada 11 Januari 2009 bersamaan 14 Muharram 1430 , Jabatan Pelajaran Kelantan telah mengadakan Sambutan Maal Hijrah 1430H bertemakan 'Menjana Ummah Gemilang". Sambutan yang melibatkan semua warga Jabatan Pelajaran Kelantan bermula jam 8.00 pagi bertempat di Dewan Bestari, SK Padang Garong 1, Kota Bharu diisi dengan Bacaan doa, Ucapan Aluan oleh YABrs. Tn. Hj. Mohd. Ghazali bin Ab. Rahman dan seterusnya ceramah khas yang disampaikan oleh YB.SS Dato' Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan.
Antara intipati ceramah ialah melaksanakan tugasan dengan mengikut skrip yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Hijrah bukan hanya melihat kepada perubahan fizikal semata-mata tetapi yang penting kepada perubahan yang menjurus kepada melaksanakan yang makruf dan meninggalkan segala apa yang menjadi larangan Allah S.W.T.
Sekiranya itu kita semua dapat laksanakannya, insyallah kejayaan akan memihak kepada kita. Akhir kalam, mengulangi kata YB.SS Dato' Mufti, sayangi ISLAM, kita akan menjadi umat yang hebat lagi terbilang.
Sekian, Wassalam.

Wednesday, January 7, 2009

Bersedia Seawalnya Dengan Perancangan Untuk Berjaya

Assalamulaikum!

Alhamdullillah, sesi baru persekolahan bermula sudah. Pada tanggal 4 Januari 2009 adalah merupa tarikh yang ditunggu oleh ibu bapa / penjaga , oleh guru-guru dan yang utamanya oleh pelajar.Terlintas juga dalam pemikiran saya, adakah hari yang dinanti itu merupakan hari yang penuh makna seperti mana kita menunggu tibanya Hari Raya Aidilfitri atau hari kebesaran yang lain. Bila tibanya bulan Ramadhan, kita amat bersedia dengan persiapan juadah berbuka. Bila hampir dengan 1 Syaawal, kita sibuk dengan persiapan pakaian raya dan juadah raya. Bahkan sebelum Ramadhan pun ada dikalangan kita lebih kedepan untuk menyambut kedatangan Hari Lebaran ini.

Berbalik kepada persediaan untuk sesi persekolahan ini, ibu bapa/penjaga bersama anak mereka sibuk ke kedai pakaian dan kasut serta kedai buku untuk membeli keperluan persekolahan. Banyak juga duit yang dilaburkan untuk kepentingan pendidikan anak-anak mereka. Mungkin dikalangan mereka ini adalah merupakan kita kepada anak-anak ini. Itulah persediaan mereka untuk anak-anak mereka, tetapi bagaimana kita sebagai pendidik telah membuat persediaan yang secukupnya untuk menyambut kedatangan sesi baru ini ?.

Pada hari pertama persekolahan, kami pegawai dari JPN/PPD telah 'turun padang' ke semua sekolah di negeri ini untuk memantau persediaan sekolah menyambut sesi baru ini. Program khas yang dinamakan PPSAT09 ini memberi tumpuan kepada aspek pengurusan fizikal sekolah, pengurusan sumber manusia, pengurusan akademik, kokurikulum dan Hal Ehwal Murid disamping mengenalpasti masalah/isu yang berkaitan secara langsung dengannnya.

Dapatan secara umumnya yang kami perolehi terutamanya dalam P & P ialah masih ada lagi dari kalangan guru yang tidak membuat persediaan yang sepatutnya. Adalah menjadi kewajiban setiap guru apabila telah diberi tugas, dengan jadual waktu lengkap maka persediaan buku perancangan pengajaran juga hendaklah lengkap sebagaimana yang arahkan. Perancangan yang dibuat adalah mengikut SukatanPelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran mata pelajaran yang diajar berdasarkan Rancangan Tahunan dan Rancangan Harian. Rancanglah mengikut kemampuan pelajar tanpa meninggalkan sebarang tajuk. Rancanglah apa yang boleh kita lakukan untuk melaksanakan P & P pada hari berikutnya. Elakkan rancang lain, buat lain. Bagi rakan guru sains , perancangan hendaklah melibatkan pelaksanaan amali sains di makmal.

Ya, sewajarnya analogi menjelang hari lebaran memberi pengajaran yang bermakna untuk dihayati bagi menyambut sesi baharu persekolahan ini. Perancangan yang dibuat untuk berjaya Insyaallah akan berjaya. Kami dari Unit Sains akan membuat pemantauan secara berkala untuk membantu Tuan sebagai rakan pendidik berdasarkan pengalaman dan ilmu yang seadanya. Sebesar harapan, Tuan juga dapat membantu kami.

Sekian, jumpa lagi.

Thursday, January 1, 2009

Kewajiban Mendidik

ASSALAMUALAIKUM!

Hari ini, Khamis merupakan hari pertama bermulanya tahun baru masehi 2009. Hari yang disambut gembira disegenap jagat raya ini dengan meninggalkan tahun 2008 yang penuh pengajaran untuk membina masa depan yang lebih gemilang. Lebih mengembirakan lagi ialah pendaftaran pelajar baru yang akan memasuki gerbang persekolahan.. mula mendapat pendidikan secara formal di sekolah. Jika dulu mereka hanya mendapat pendidikan pra sekolah tetapi kini mereka akan berada di Tahun Satu. Gembira tergambar di wajah mereka ini bersama cerianya ibubapa yang menghantar mereka untuk urusan pendaftaran ini.

Begitu besar harapan ibubapa kepada pihak sekolah untuk mentarbiahkan anak mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Jadi tugas ini bukan tugas orang lain, tetapi telah menjadi tugas kita selaku kaum pendidik melaksanakannya. Ayuh teman dan rakan, peluang memberi pendidikan pada mereka yang baru ini amat terkesan.. melentur buluh biarlah dari rebunnya...Didiklah mereka untuk berjaya menjadi sebaik manusia. Kemungkinan juga akibat kecuaian kita sebelum ini telah melahir manusia yang lupa tentang diri dan harga dirinya sendiri. Tunaikanlah kewajiban ini kerana ia sememangnya tugas utama kita.

Buat sahabat yang terlibat dalam P & P untuk PMR 2008, jasa Tuan begitu dihargai kerana keputusan PMR 2008 telah menunjukkan peningkatan yang baik. Teruskan kerjasama Tuan demi kecemerlangan pendidikan di tanah tumpah darah ini. Sekian, Wassalam.

( Nukilan ini dibuat setelah selesai pendaftaran anak bongsu saya, Wan Nur Syaziyah di SK Tiong, Kota Bharu oleh bondanya)